Solat Orang Jahil

Sunday, August 24, 2014

Suka saya berkongsi sebuah cerita yang dipetik daripada sebuah buku Himpunan Kisah-Kisah Lucu terbitan Pustaka Nu'man.

Kisahnya begini ..

Ada seorang Arab Badwi bersolat subuh secara berjemaah di sebuah masjid. Kebetulan tok imam pada waktu itu membaca surah al-Baqarah (lembu) setelah bacaan surah al-Fatihah.

Hendak dijadikan cerita, si Arab Badwi ini sakit perut dan mahu menunaikan 'hajat' sesegera yang mungkin. Cuma terhalang dengan bacaan yang terlalu lama surah al-Baqarah oleh tok imam.

Selesai sahaja imam memberikan salam, si Arab Badwi ini terus ke tandas untuk menyelesaikan hajatnya yang tertangguh itu.

Pada keesokan hari, si Arab Badwi pergi ke masjid untuk bersolat subuh secara berjemaah. Kali ini beliau agak terlewat sedikit dan beliau mendengar dengan jelas dari luar masjid tok imam sedang membaca surah al-Fil (gajah) selepas bacaan al-Fatihah.

Lalu beliau berfikir sendirian, "Kalau surah al-Baqarah (lembu) pun dah lama, inikan pula surah al-Fil (gajah). Pasti siang hari baharu selesai solat subuh dengan tok imam. Bukankah gajah itu lebih besar daripada lembu? Tentulah banyak yang nak dibaca nanti."

Junjung Atau Jaja Keputusan?

Saturday, August 23, 2014



"Sungguh berat amanah memegang jawatan dalam organisasi," beritahu seorang sahabat baik awal pagi tadi.

"Kenapa?" Saya segera menerjah dengan soalan agar suasana sejuk malam menjadi hangat dengan diskusi bermanfaat.

"Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Semuanya tak kena," keluh pula seorang sahabat saya yang lain. Air nescafe panas dihirupnya perlahan-lahan.

"Yalah... Kalau tak lakukan apa yang telah diputuskan oleh organisasi, itulah yang menyebabkan serba tak kena." Tambah sahabat yang memulakan diskusi sedikit bersemangat. 

"Organisasi ni bukan tempat membawa kepala kita seorang sahaja. Kalau nak bawa kepala kita seorang, baik tak payah terlibat dengan organisasi. Duduk diam-diam kat rumah!" 

"Kenapa cakap macam tu?" Soalan kedua yang sempat saya lontarkan segera dijawab beliau.

"Organisasi ni ada adab-adab serta peraturan untuk dipatuhi. Orang paling beradab adalah orang yang membawa serta menjunjung keputusan organisasi, bukannya membawa serta menjaja keputusan diri sendiri. Jika keputusan itu tidak selari dengan kita, terimalah seadanya. Tidak perlu bertindak dan bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat. Jika lakukan juga, itulah yang menjadi penyebab tindakan serba tak kena."

Jawapan beliau kali ini cukup rasional. Ada benar juga apa yang diperkata oleh sahabat saya ini. Cukup-cukup terkesan sekali adalah ungkapan beliau ini, "...Orang paling beradab adalah orang yang membawa serta menjunjung keputusan organisasi, bukannya membawa serta menjaja keputusan diri sendiri..."

Janji

Tuesday, August 12, 2014

Saya ada membuat 'janji' dengan seorang klien untuk berjumpa di pejabatnya pada hari Selasa. Kebetulan pula, saya dapat merasakan bahawa saya tidak mampu untuk menunaikan janji dengan beliau atas sebab-sebab yang sememangnya saya sendiri tidak boleh elak.

Lalu saya segera menelefon beliau untuk memberitahu bahawa janji yang dibuat pada hari Selasa perlu ditangguhkan pada hari Rabu (hari ini).

Beliau tidak mengulas panjang dan hanya berkata kepada saya, "Saya ingat kamu lupa untuk bertemu dengan saya. Nasib baik kamu telefon beritahu untuk tangguhkan. Kalau tak, asyik menunggu kamu datang sahaja."

Allah ya Allah ...

Teringat perkongsian dengan seorang sahabat dua hari lepas, "Boleh dikatakan setiap hari manusia membuat janji. Apa guna janji yang dibuat itu untuk dimungkiri. Bukankah orang yang mungkiri janji itu ciri-ciri orang munafik?"

Ya. Munafik. Itulah kategori manusia yang sering diingat-ingatkan di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Harga Sebuah Senyuman

Saturday, August 2, 2014

(sumber foto - Google)
 
Setengah jam yang lalu, saya keluar membeli makanan di sebuah kedai makan berdekatan dengan rumah. Kebetulan hujan turun dengan lebat tatkala kaki melangkah ke pintu utama kedai. Sementara menunggu makanan siap dibungkus oleh tuan kedai, saya duduk di kerusi yang tersedia.

Saya bermain telefon cap ayam yang ada. Sambil-sambil itu, saya baca mesej yang tersimpan dalam kotak mesej. Belum sempat habis membacanya, seorang lelaki memasuki kedai di mana tempat saya duduki. Usai beliau memesan makanan, beliau duduk di hadapan saya. Saya hulurkan senyuman walau beliau tidak meminta saya berbuat begitu. Pesan ustaz, "senyuman itu sedekah." Sedekah itu saya berikan tanpa sebarang kos. Ia percuma.

Namun, senyuman saya itu tidak berbalas. Wajah beliau sedikit serius. Langsung tiada sebarang reaksi. Seolah-olah senyuman saya itu diberi kepada patung yang tidak bernyawa. Telahan awal saya begitu. Biarlah...

Sepuluh minit berlalu, makanan kami berdua pun siap dibungkus. Saya ambil dan bayar makanan saya di kaunter. Lelaki itu pun sama.

Sewaktu mahu beredar dari kedai makan, saya berhenti melangkah kerana hujan masih lebat di luar pintu kedai. Namun lelaki itu berbeza. Beliau mempunyai payung. Saya pula tiada. Perlahan-lahan payungnya dibuka. Sekali-sekala saya menjeling ke arah beliau.

Tiba-tiba muncul sapaan ini, "Bang, jom tumpang payung saya. Mari saya hantarkan abang ke kereta. Takut-takut basah makanan abang tu nanti."

Allahu Akbar... Tak terlintas dek akal bahawa lelaki itu mahu tumpangkan payungnya. Mulia sungguh hatinya. Yang saya telah tentang diri beliau ternyata berbeza. Nyata berbeza.

Semasa menumpang payung lelaki itu, hati terus-terusan berkata, "Adakah ini harga sebuah senyuman?" Ia menjadi hal tersirat yang saya sendiri tidak mampu berikan jawapan. Biarlah ia menjadi rahsia Allah yang saya sendiri yakin bahawa hanya DIA sahaja mampu menjawabnya.