Promosi

Wednesday, June 29, 2016

(sumber : Google)

Semalam saya ada singgah di sebuah pasaraya di pinggir bandar Kota Bharu.

Semasa berjalan-jalan menuju ke satu rak barangan bayi, saya terdengar satu pengumuman dibuat oleh jurukaunter bertugas.


"Promosi .. Promosi .. Belian bernilai RM100 ke atas dalam satu resit anda layak untuk membeli sepeket Meggi dengan nilai RM1.99 .." berkali-kali pengumuman dibuat.
.
Minda saya pantas membuat ulasan, "Baik beli Maggi terus kalau nak sangat berhemah sewaktu berbelanja. Nak cukupkan RM100 baru nak beli Meggi, itu sudah dipengaruhi namanya. Banyak perkara lagi boleh dimanfaatkan dengan nilai RM100 itu!"

Acapkali 'promosi' mempengaruhi minda bawah sedar, terkadang tidak sedar-sedar bahawa diri telah berjaya dipengaruhi.

Ubat untuk mengawal diri daripada dipengaruhi oleh sebarang promosi ialah ILMU, IMAN serta TAQWA. Tanpa ketiga-tiga elemen tersebut, nafsu yang sifatnya teramat liar mudah termakan jerat.

Gerhana Matahari

Wednesday, March 9, 2016


(sumber foto : Google)

"Fenomena gerhana bukan sekadar fenomena alam," ulas seorang pakcik. Ulasannya terhenti seketika apabila rakan baiknya pantas menyampuk, "Maksud kamu?"


"Yelah .. Di sebalik kejadian alam, ada tanda kebesaran Tuhan yang wajib kita amati dan hayati. Jika tidak, sia-sia sahaja!" Jelas pakcik berkain pelikat berwarna hitam.

Disebabkan penjelasan yang diberikan tidak memuaskan hati, rakannya sekali lagi melontarkan soalan, "Sia-sia? Apa maksud kamu sia-sia?"

"Ohh .. Janganlah cepat melatah. Begini maksud saya .." Sambil menguntumkan senyuman manis tanpa paksa.

"Sia-sia apabila fenomena yang berlaku itu tidak memberi kesan walau sedikit dari sudut ketuhanan. Ya .. Secara saintifiknya, ia merupakan fenomena luar biasa dan tidak selalunya berlaku. Tidak salah untuk kita sama-sama melihatnya. Lagipun agama Islam menyarankan agar kita melakukan solat sunat gerhana." Pakcik itu mula berkilas kata.

Pantas rakannya menyambung, "Bab itu aku setuju."

"Apabila fenomena alam tidak dikaitkan dengan kebesaran serta keagungan Tuhan, maka ia akan menjadi sia-sia. Di sebalik kejadian dan fenomena yang berlaku sepatutnya mampu menghadirkan rasa kehambaan serta ketaqwaan dalam diri. Bukankah di sebalik kejadian itu terzahirnya keagungan serta kebesaran Tuhan?"

"Erm .. Erm .." Mulut rakannya mengiakan persoalan yang dilontarkan.

"Benar .. para saintis mengkaji soal 'bagaimana' fenomena itu berlaku secara terperinci. Namun bagaimana pula dengan soal 'siapakah' yang menjadikan fenomena ini? Adakah ia turut diperincikan sebaik mungkin oleh setiap daripada kita? Kaitan persoalan bagaimana dan siapakah semestinya hendaklah seiiring dan tidak boleh dipisahkan." 

"Oo .. Maksud kamu, apabila melihat kejadian gerhana sepatutnya kita semakin mengenali Tuhan?"

"Benar sekali! Mengenali Tuhan melalui fenomena alam adalah tanda seseorang itu beriman." Pakcik itu menutup bicara sambil meninggalkan kawasan kaki lima sebuah surau yang usang.  


Air Kosong

Sunday, January 31, 2016

(sumber gambar Google)


Di sebuah kedai makan di Pengkalan Chepa tadi, saya pesan secawan kopi o panas kepada pelayan kedai. Sampai ke sudah air kopi tak sampai-sampai. Yang sampai ialah segelas air kosong.

Saya sedikitpun tidak marah, melenting ataupun kecewa. Jauh sama sekali untuk melatah yang bukan-bukan.

Namun, pada sudut lain ada sesuatu yang membuatkan akal saya pantas berfikir dan merenung sedalam-dalamnya ialah tentang kehidupan ini.
 
Ya. Kehidupan.

Adakala yang kita pohon dan minta dari Tuhan tidak 'segera' ditunaikan sepertimana kisah saya memesan secawan kopi o yang tidak tertunai.

Adakala kita minta lain dengan Tuhan, tapi Tuhan berikan yang lain. Juga seperti kisah saya memesan kopi o, tapi yang tiba ialah segelas air kosong.

Apa-apapun, Tuhan terlebih mengetahui apakah yang terbaik untuk ditunaikan ke atas hamba-hamba-NYA. Mungkin apa yang diminta di dunia, ditangguhkan pada hari akhirat untuk ditunaikan. Wallahu'alam ..Tiada siapa mampu menduga dengan tepat Kebijaksanaan Tuhan.

Jadi kalau setakat kopi o panas, apalah sangat ya .. Senyumlah sikit! 
 
Jadi kalau apa-apa permintaan kita pada saat ini masih belum tertunai lagi, usah terlalu gelisah atau gundah-gulana. Apatah lagi mahu bertindak di luar kawalan akal fikiran yang waras.

Yakinlah .. Selagimana kita mempunyai harapan, teruskan berusaha dan jangan sekali-kali berhenti berdoa pada Tuhan.

Insya' Allah .. Tuhan pasti tunaikan apa yang kita minta atas rahmat dan kasih-sayang-NYA 'suatu hari' nanti.

Yakinlah!