Hudud : Bukan Sekadar Isu Politik

Wednesday, September 28, 2011

Mutakhir kini, rata-rata orang bercakap tentang ‘hudud’. Media cetak, media massa malah media alternatif tidak terlepas menulis tentang perkara ini. Isu ini kembali hangat apabila pihak Kerajaan Kelantan mengeluarkan kenyataan telah bersedia untuk melaksanakan hukum hudud dan menyifatkan bahawa ia adalah tanggungjawab yang wajib dipikul oleh pemerintah bagi sesebuah kerajaan. Cumanya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Madya Dr Mohd Asri tentang suasana yang ‘kondusif’ perlu dititikberatkan sebelum melaksanakan hukum hudud perlu dilihat dan dikaji dengan lebih mendalam. Bagi saya, setidak-tidaknya kita dapat berbicara tentang hudud setelah kenyataan yang dikeluarkannya. Lihatlah isu ini dengan ilmu serta berlapang dadalah dengan pandangan-pandangan yang ada.


Mengambil kira kenyataan Dr Mohd Asri, maka pelbagai pihak memberi kenyataan, tidak kira pemimpin atau pihak yang berwajib seolah-olah ‘melatah’ dalam menjawab isu ini. Tidak kira yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam, mereka punyai pandangan tersendiri dalam menjawab isu ini. Terfikir juga, di mana golongan agama atau institusi yang berwajib untuk menjawab isu ini, rata-ratanya adalah di kalangan golongan politik dan juga pemerintah. 


Banyak aspek yang perlu dinilai sebelum menjawab isu ini. Bimbang-bimbang ia akan menjadi mainan politik dan ‘senjata’ untuk saling jawab menjawab dalam isu ini. Tambahan pula bahang pilhanraya sudah kian terasa. Cuma, bagi yang beragama Islam, saya ingatkan bahawa ia bukanlah sekadar isu politik sahaja, malah ia jauh lebih besar daripada itu kerana melibatkan soal aqidah atau pegangan kita terhadap agama itu sendiri. Jika tersilap cakap, bahayanya cukup besar kerana ia mampu membawa kepada ‘riddah’ atau terkeluar daripada agama Islam. Itulah yang saya bimbangi dan takuti. Dalam menjawab atau mengulas isu hudud ini, sentimen kepartian atau emosi kita seakan-akan lebih terkehadapan berbanding kefahaman serta rasional yang ada. Pepatah Melayu ada menyebut, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Beringatlah serta berfikir dahulu sebelum berkata-kata atau mengeluarkan kenyataan.


Saya juga yakin dan percaya, isu sebegini mungkin boleh mengelirukan masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang cetek ilmu agamanya. Andai tidak diberi penerangan serta penjelasan yang sebetulnya, sudah pasti ia akan menjadi masalah besar kepada kita nanti. Jika yang terpelajar sekalipun, jika tersilap kata, sudah pasti padahnya sama sahaja malah ia lebih berat daripada golongan yang jahil. Jika diambil positif, isu ini boleh membuka mata kita untuk lebih belajar dan cuba memahami salah satu hukum Allah. 


Bagi saya, lihatlah hukum hudud dalam erti kata sebenar. Hukum tetap hukum, malah ia salah satu daripada syariat yang wajib kita tegakkan di atas muka bumi ini. Sebuah ketetapan dan hakikatnya sudah jelas disebut di dalam al-Quran. Banyak aspek yang perlu dilihat apabila berbicara tentang hukum hudud ini, jangan sesekali kita sempitkan dengan aspek politik sahaja. Ia juga melibatkan aspek aqidah, pengetahuan, perundangan, kehakiman, sosio masyarakat dan pelbagai lagi. 


Rata-rata pemimpin seolah-olah tidak menafikan tentang hakikat hukum ini. Cuma ada juga yang beranggapan bahawa hukum hudud adalah hukuman primitif serta ketinggalan zaman jelas bertentangan dengan kehendak Allah. Ada juga yang berpandangan ia tidak sesuai untuk diamalkan di dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Bimbang-bimbang kita terlalu merajakan hukuman buatan manusia tanpa ada inisiatif sedikitpun untuk mengamalkan hukum yang dijamin Allah ini kebaikannya. Ingatlah bahawa hukum hudud ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam itu sendiri. Bukan pula untuk dijadikan bahan senda-gurau melalui lakaran kartun atau sekadar berfikir logik akal semata-mata tanpa merujuk mereka yang berpengetahuan di dalam isu ini. 


Semoga hukum ini didaulatkan di negara yang kita cintai, Malaysia.

15 Syawal…

Tuesday, September 13, 2011


Sekejap sahaja masa berlalu. Hari ini sudahpun memasuki hari kelima belas bulan Syawal. Segala-galanya terasa begitu cepat berlalu. Namun, itulah hakikat perjalanan hari dan masa dalam kehidupan ini. Aturan cukup sempurna oleh Pencipta kita, adanya siang dan juga adanya malam. Putaran masa tidak akan melebihi daripada tempoh 24 jam atau 1,440 minit sehari. Tidak akan terlebih walaupun seminit atau sesaat sekalipun bagi setiap hari. 


Bagi mereka yang telah menamatkan Puasa Enam pada bulan Syawal ini, tahniah buat diri anda kerana berjaya mengamalkan sunnah yang dituntut dalam ajaran Islam. Buat mereka yang masih berpuasa, ayuh teruskan kerana masa masih lagi ada untuk kita amalkan sunnah tersebut. Bagi mereka yang masih belum memulakannya, ayuh kita mulakan esok kerana kita masih ada baki sebanyak 15 hari sahaja lagi untuk menjayakannya. Jangan pula kita menjadi mereka yang sedikitpun ‘tidak terniat langsung’ untuk berpuasa enam kerana fadilatnya cukup besar sekali seolah-olah kita berpuasa setahun lamanya. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :


“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim).


Mungkin dalam tempoh seminggu selepas 1 Syawal, kita agak sibuk dengan kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara atau memenuhi undangan kenduri membuatkan kita mempunyai sebab yang agak kukuh untuk tidak memulakan berpuasa enam lagi. Kini, suasana tersebut sudah ‘reda’ sedikit, cuma jika ada sekalipun berkemungkinan pada hujung minggu sahaja. 


Justeru itu, marilah kita merebut masa atau hari yang masih berbaki ini untuk berpuasa enam kerana selepas ini kita tidak berkemungkinan lagi bertemu dengannya. Aturkanlah hari yang sesuai untuk berpuasa. Pandai-pandailah kita menyusun waktu minum atau makan bersama sahabat-handai atau rakan di pejabat ketika hari pada bulan Syawal ini masih berbaki. Jangan pula timbul alasan, “saya tidak sempat”, “saya banyak urusan” atau sebagainya lagi. 


Sebagaimana kita tidak mahu melepaskan bulan Ramadhan berlalu pergi, biarlah perasaan tersebut juga ada untuk tidak membiarkan Syawal berlalu pergi tanpa kita sempat berpuasa enam. Tulisan ini juga sebagai dakwah serta ajakan untuk diri saya juga. Mudah-mudahan kita semua sempat berpuasa enam.

Rebutlah Kesempatan dan Peluang Yang Ada...

Sunday, September 11, 2011



Hampir sebulan atau lebih kurang 26 hari juga saya tidak menulis di blog ini. Bukannya tiada perkara yang ingin dikongsi, tetapi ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ yang amat terbatas membuatkan saya tidak berjaya berkongsi tulisan di sini. Tambahan pula, saya bukanlah blogger tegar dan tulisan yang ada pada blog ini hanyalah sekadar berkongsi rasa hati, idea dan sedikit coretan pengalaman atau peristiwa berdasarkan pemerhatian saya sahaja. Cuma, agak terkilan juga jika hampir satu bulan baru ada entri atau tulisan terbaru daripada saya di sini, setidak-tidaknya saya mampu menulis untuk beberapa tulisan dalam tempoh satu bulan. Itulah azam awal saya apabila berblog. Semoga saya mampu terus beriltizam dengan azam awal saya, insya’ Allah.

Berbicara tentang ‘kesempatan’ dan ‘peluang’ ini, saya lebih suka untuk mengimbau kesempatan kita untuk bersama-sama dengan bulan Ramadhan yang lepas. Ucapan syukur harus kita nyatakan sama ada melalui hati, lisan mahupun dengan perbuatan. Syukur kerana Allah SWT masih lagi memilih kita dan memberi ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan baru-baru ini. Ada juga di kalangan kita yang tidak ‘berkesempatan’ serta tidak ‘berpeluang’ untuk bertemu dengan bulan tersebut kerana sudah kembali ke rahmatullah

Apakah perasaan kita jika kita diberi ‘peluang’ atau ‘kesempatan’ untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan kebaikan ini? Sudah tentu kita akan berasa menyesal dan berasa rugi jika tidak bersungguh-sungguh untuk memanfaatkannya, bukan? Sesungguhnya orang yang paling rugi adalah orang yang mensia-siakan apabila diberi sesuatu peluang yang amat bernilai untuknya. Sesalannya adalah bukan hanya di dunia, malah ia membawa sehingga ke hari akhirat kelak. 

Begitu juga dengan nikmat kehidupan ini. Ia sebuah 'peluang' serta ‘kesempatan’ yang dihadirkan untuk kita isikannya dengan segala kebaikan serta amal soleh. Manual pengisiannya adalah al-Quran dan as-Sunnah, kedua-duanya tidak boleh ditinggalkan. Segala kehidupan kita semestinya hendaklah berteraskan kepada dua manual agung ini. Andai kita meninggalkannya atau menjadikan sebagai khazanah dan digunakan ketika perlu sahaja, kita sebenarnya masih belum memahami kehendak sebenar manual agung tersebut. Sudah pasti kita sungguh bertuah kerana telah dipilih untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang lalu kerana suasananya cukup efektif untuk kita melakukan apa sahaja kebaikan. Tidak seperti pada bulan-bulan lain. Kini, bulan tersebut telahpun berlalu pergi. Namun, manual agung ini masih lagi tetap bersama dengan kita walaupun Ramadhan sudah berlalu pergi. Yang tinggal adalah bagaimana kita menggunakan manual yang ada secara keseluruhannya demi memandu sebuah kehidupan yang ada ini. Jika manual yang ada tidak dimanfaatkan, apakah jaminan kita untuk memastikan bahawa kehidupan kita ini terarah dan sentiasa berada di atas kehendak Yang Maha Pencipta?

Benar, kita tidak mengetahui bilakah saat kematian kita, malah kehidupan yang ada pada hari ini belum tentu mampu menjamin kehidupan yang sama untuk hari esok. Mungkin lebih baik atau mungkin juga lebih teruk daripada hari ini. Dengan segala kesenangan dan kemewahan yang ada, kita juga belum tentu mampu membeli sebelah mata kita dengan segunung emas yang ada. Nilai sebelah mata yang diciptakan untuk kita melihat sudah pasti tiada tolok bandingnya, apatah lagi nilai sebuah kehidupan yang ada untuk kita nikmati ini. Hanya amal soleh sahaja yang mampu menjadi aset yang bernilai untuk diisi sebelum ajal menjemput tiba. Kemewahan yang ada pada kita bakal kita tinggalkan melainkan ia mampu juga menjadi ‘aset’ di sisi Allah kelak. 

Sungguh rugi andainya ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ untuk merasai nikmat kehidupan ini disia-siakan dengan begitu sahaja. Lebih parah lagi, kita seolah-olah lupa untuk menjadi hamba-Nya yang patuh dan taat terhadap setiap suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukan hanya untuk menjadi baik atau alim pada bulan Ramadhan sahaja. Malah, sepatutnya kita menjadi baik atau alim untuk setiap masa dan saat yang ada kerana sebuah nikmat kehidupan bakal berlalu pergi apabila kematian menjemput tiba. Rebutlah waktu ketika hidup ini sebelum datangnya waktu mati. Sebagai peringatan buat diri saya dan juga anda semua, suka saya memetik maksud daripada firman Allah di dalam surah al-Jumu’ah, ayat 8 :  

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

Ayuh, jadikanlah setiap ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ yang ada di hadapan kita merupakan saat-saat terakhir untuk kita beramal soleh dan meninggalkan segala dosa yang ada demi menjadi insan yang benar-benar bertaqwa di sisi-Nya, insya’ Allah.