Ujian Duit

Wednesday, June 20, 2012

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM10, kita terlupa nilai duit RM1.

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM100, kita terlupa nilai duit RM10.

Ketika duit berada di tangan sebanyak RM1000, kita terlupa nilai duit RM100.

Apabila nilai duit sudah meningkat, kita seakan-akan terlupa nilai kecil sebelum daripada ini. Sedangkan daripada nilai kecil itulah duit kita membesar dan terus membesar. Jika sudah membesar, kita mahu ia membesar lagi. Begitulah duit mempengaruhi hidup kita seharian sehinggakan kita terlupa banyak perkara penting dalam hidup. 

Ketika kita tidak berduit sangat, impian kita pun kecil juga barangkali. Jika berimpian sekalipun, mungkin ia sekadar membahagiakan diri yang tidak berduit. Impian tersebut dapat dicapai dengan syarat kita melakukan pelan tindakan serta bertindak untuk menjayakan impian yang ada. 

Bayangkan jika sudah berduit pula, bagaimana kita pada ketika itu? Andai sudah punyai impian untuk ditunaikan, maka kita tidak teragak-agak untuk menunaikannya. Inilah masa yang terbaik untuk menunaikan impian yang terpendam sekian lama. Jika tidak ada impian sekalipun, kita secara automatik akan membina ‘impian segera’ kerana duit sudah berada dalam genggaman. Sungguh berbeza ketika kita tidak berduit. Mana mungkin untuk membina ‘impian segera’ untuk ditunaikan.

Alahai…Sungguh besar pengaruh duit dalam kehidupan kita. Tidak hairanlah ramai yang terpesona apabila memiliki duit yang banyak. Tidak kecil juga bilangan mereka yang tertewas dengan ujian duit ini. Ia ujian yang amat dekat dengan diri kita. Nilai RM1000 akan hilang serinya apabila RM10000 pula berada di tangan. Ia bukan ujian mudah untuk kita.

Maka, tidak hairanlah ada orang boleh berkata-kata sebegini ketika mempunyai duit yang agak banyak daripada kebiasaan. “Alah…Dengan RM100, apalah sangat nilainya. Nak beli itu dan ini pun belum tentu cukup. Setakat nak itu dan ini bolehlah!” Sedangkan sebelum daripada ini, nilai itulah yang dimahukan serta diimpikan. Apabila nilai yang dimahukan tercapai, maka mulalah berimpian dengan nilai yang lebih besar pula. Aduhai manusia…Cepat sekali kita berubah!

Begitulah duit apabila sudah menguasai diri dan nafsu. Ia ujian berterusan buat kita yang mahu mencari duit. Ujian duit tidak semestinya dalam nilai yang besar, dengan RM1 pun kita boleh diuji. Allahu Rabbi…Apatah lagi nilai yang agak besar berada dalam genggaman atau di bank. Tidakkah duit yang ada itu akan diuji juga pada suatu masa nanti? 

Manusia mudah merungut sekiranya duit yang ada semakin berkurangan atau lesap terus. Walhal, dengan nilai yang kecil itulah kita bermula dan berdikit-dikit. Jika duit bertambah dan semakin bertambah, jarang pula kita merungut dan mengeluh. Yang ada ialah kita mahu ia bertambah lagi. Seakan-akan sifat tamak sudah menjadi jatidiri terkuat pada diri kita, sifat ‘qanaah’ atau berpada-pada sudah ditinggalkan. Itulah yang dibimbangi dan mohon dijauhkan.

Jangan pula sifat ujub, riyak dan takabbur menguasai diri. Usah sesekali melazimi budaya menindas, merasuah serta berlaku zalim menjadi budaya kerja kita. Suburkanlah amalan bersedekah, infaq atau berzakat terhadap duit kita. Nescaya, berkat hasilnya.

Ayat 28 dalam Surah Al-Anfaal menjadi ingatan ketika saya menulis entri ini. Ia cukup bertepatan untuk renungan kita bersama.

“Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”

Biarlah duit yang kita ada dan kumpulkan tidak menjadi halangan untuk kita beribadah kepada-Nya. Agama tidak menghalang untuk kita menjadi kaya harta, tetapi ikutlah aturan yang ada.  

Biarlah dengan duit yang ada mampu mendekatkan diri kita kepada Allah. Itulah sebaiknya.

Demam EURO 2012

Thursday, June 14, 2012


Demam bola semestinya buat peminat bola. Sanggup bersengkang mata dan bangun awal pagi untuk menonton perlawanan bola. Begitulah kita apabila kita sudah meminati sesuatu, kita sanggup lakukan apa sahaja. Allahu Rabbi…

Pesta bola yang menyaksikan pelbagai negara bertanding, membuatkan pelbagai lapisan umur dan masyarakat mampu bersembang mengenai bola. Sungguh seronok apabila bersembang perkara yang kita suka, bukan? Malah, semangat penceritaannya pula sudah pasti berkobar-kobar dan berlainan nadanya.

Suka saya ingin menarik perhatian teman-teman sekalian, tidak salah meminati dan menonton bola asalkan kita tidak melanggar suruhan agama yang telah ditetapkan. Jangan sampai melewatkan solat atau tertinggal solat, itu sudah di luar batasan dan menyebabkan dosa pula. Jagalah pergaulan dan akhlak agar tidak menimbulkan masalah ketika menonton. Jika terlalu fanatik dengan bola, bimbang-bimbang perkara yang tidak diingini berlaku.

Jika kita pandai menguruskan masa, kita dapat jadikan musim bola pada kali ini sebagai tempat untuk kita melakukan ibadat sunat seperti bersolat tahajjud, taubat ataupun witir. Ia adalah amalan yang dituntut apabila sudah memasuki satu pertiga malam. Bukankah ia saat terbaik untuk kita melakukan amalan sunat tatkala pesta bola sedang berlangsung?

Biarpun banyak amalan sunat yang terhidang untuk kita kerjakan, namun untuk menewaskan hawa nafsu bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ia ada kaedah tersendiri untuk menjinakkan seterusnya mendidik nafsu kita agar mudah dikawal. Jika tidak, ia sukar dikawal dan akan memudaratkan pula. Pertarungan nafsu sungguh kuat apabila kita mahu melakukan perkara yang dituntut oleh agama berbanding dengan perkara yang disukai oleh nafsu. Ia situasi yang sungguh mencabar keimanan diri. Alasannya, jika kita meminati sesuatu perkara, kita sanggup berkorban untuknya. 

24 Rejab 

Saya sungguh terpanggil untuk mengajak diri dan juga teman-teman membuat muhasabah tentang kehadiran bulan Rejab yang akan berakhir beberapa hari sahaja lagi. Ajakan kecil ini dibuat tatkala pesta bola masih lagi rancak diperkatakan. Sudah pasti ajakan saya akan kelihatan kecil jika kita tidak cuba untuk membuka mata hati kita seluas-luasnya.

Bulan Rejab yang dipenuhi dengan pelbagai peristiwa besar untuk direnungi, seolah-olah kelihatan sepi pada mata masyarakat. Hari ini sudahpun 24 Rejab dan beberapa hari sahaja lagi Peristiwa Isra’ dan Mikraj bakal diraikan oleh umat Islam. Suasananya tidak sehebat kita meraikan kehadiran pesta bola UERO 2012. Mungkin kempennya agak kurang dimainkan di media massa atau media cetak. Yang ada hanyalah berita tentant bola. Ia mendapat perhatian eksklusfi kebanyakan syarikat akhbar atau televisyen. Tambah pula, diri sendiri sememangnya agak kurang suka untuk bercakap tentang bulan Rejab, sebab itulah kehangatannya tidak dirasai. Wallahu alam…

Biarlah kehadiran Rejab lebih dirasai berbanding kehadiran EURO 2012. Tidak salah untuk menjadi kaki bola. Pada masa yang sama juga, biarlah kita mampu menjadi kaki solat atau kaki masjid pula mudah-mudahan. Pasti kehadiran Syaaban dan Ramadhan akan menjadi lebih bermakna buat diri setelah kita mampu menanam minat serta suka kepada solat pada bulan Rejab ini. Ia selari dengan turunnya perintah solat kepada umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Rejab. Allahu Akbar…

Doa saya buat peminat bola sekalian, 
"Semoga EURO mampu dijadikan sebagai medan untuk kita melakukan amal kebaikan serta amal soleh yang lain juga. Mudah-mudahan Allah memudahkan usaha kita...Amin"


Manual Hidup

Sunday, June 10, 2012

Manusia dihidupkan dan akan dimatikan. Itulah hakikat perjalanan hidup seseorang manusia. Perjalananan kehidupan seseorang dan juga diri sendiri sebenarnya sudah diaturkan. Ada panduan untuk dituruti. 

Jika kereta yang baharu dibeli ada manual untuk menggunakannya, inikan pula sebuah kehidupan. Sudah tentu ada juga manualnya. Jika tidak, takut terpesong dan mengalami masalah di kemudian hari nanti. Begitulah pentingnya merujuk manual. 

Hakikat hidup bukanlah sekadar untuk makan dan minum sahaja. Jika untuk makan dan minum, berapa ramaikah manusia di luar sana yang sudah tidak boleh makan dan minum akibat kesakitan atau penderitaan yang ditanggung.

Saban hari kita melihat manusia yang masih hidup seakan-akan tidak sedar akan tujuan kehidupannya. Tidak sedar dalam erti kata untuk menjadi hamba-Nya yang patuh dalam segala suruhan serta meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, manusia tetap manusia. Masih lagi melakukan apa yang dilarang dan meninggalkan apa pula yang disuruh. Malah, berasa seronok serta megah pula apabila melakukan perkara yang dilarang. Sedikitpun tidak berasa bersalah atau berdosa apabila tidak melakukan apa yang disuruh. Sungguh sombong dan angkuhnya kita.

Untuk melihat tujuan kehidupan, kita sudah dipesan agar berpandukan kepada manual yang ada iaitu, al-Quran dan as-Sunnah. Itulah manual kehidupan kita. Bukannya buku atau tulisan selain daripadanya. Jika manual ini hanya disimpan dan digunakan pada waktu atau bulan tertentu, sudah pasti kita tidak merasai kewujudan manual tersebut sepenuhnya. 

Jika kita tidak mampu untuk memahami apa yang terkandung di dalam kedua-dua manual tersebut sepenuhnya, maka belajarlah. Tiada alasan untuk terus menjadi jahil dengan menafikan untuk belajar. Kemudahan untuk belajar amat terbuka luas, ruangnya ada di mana-mana jika kita mahu belajar. Bak kata pepatah Melayu, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’ 

Kekadang kita terlebih merujuk internet atau Facebook daripada manual yang agung. Alasan kita, semuanya ada dalam dunia internet. Pantas dan mudah. Ya, kemudahan tersebut saya tidak nafikan. Namun, jangan abaikan sama sekali untuk menatap al-Quran dan as-Sunnah juga. Ia adalah jaminan daripada Allah tentang dua manual ini. Selagi mana kita berpegang dengannya, kita pasti tidak akan sesat. Itulah jaminan pemilih kepada alam raya ini.

Hadis yang direkodkan oleh Imam Abu Daud dan Tirmizi menjadi renungan saya pada hari ini. Ia sungguh mengesankan jiwa.

“Kamu semua harus berpegang teguh pada sunnahku (setelah Al-Quran) dan sunnah Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk Allah sesudahku, berpeganglah dengan sunnah itu, dan gigitlah dengan gigi geraham kalian sekuat kuatnya, serta jauhilah perbuatan baru (dalam agama), kerana setiap perbuatan baru itu adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”

Semoga manual ini tidak kita lupai. Ia perlu ditatap serta diikuti walaupun sesukar mana keadaan kita. Semoga Allah terus memandu kehidupan kita ke arah yang lebih baik.

Motivasi…

Thursday, June 7, 2012

Hari ini dihubungi oleh dua buah sekolah untuk memberikan ceramah motivasi. Ia adalah di luar jangkaan kerana saya tidak pernah memberikan motivasi secara formal di sekolah. Perasaan terkejut menguasai hampir keseluruhan diri. 

Saya mula mempersoal tentang diri sendiri, “layakkah aku memberikan motivasi kepada orang lain sedangkan aku sendiri perlukan kepada motivasi?” Saya bimbang apa yang diberikan tidak sama dengan apa yang sedang saya lakukan sekarang. Ia amat bertentangan. Itulah ketakutan saya. 

Minda mula melayang-layang mencari jawapan yang mampu menyakinkan hati. Logiknya begitu apabila hati mula tidak keruan. Teringatkan kepada kata-kata Saidinan Ali r.a yang pernah berkata-kata, “Janganlah melihat kepada siapa yang berkata, lihatlah kepada apa yang dikatakan.”
 
Jika direnung lama-lama kata-kata ini, ia mampu memotivasikan diri seketika. Namun, saya harus berfikir semasak-masaknya sebelum memberi kata putus. Mereka begitu berharap agar saya mampu memenuhi hajatnya. Sungguh besar harapan untuk saya tunaikan.

Saya tanyakan kepada mereka yang menghubungi saya, “mengapa saya dipilih?” Persoalan yang saya lontarkan hanyalah untuk mengetahui alasan mengapa saya dipilih sedangkan masih ramai lagi yang berpotensi. Soalan saya lebih untuk mengetahu, bukannya mahu menguji. Ia tidak lebih daripada itu.

“Secara jujurnya, saya sebenarnya telah lama mengikuti blog serta tulisan tuan di Facebook. Saya fikirkan ada kelainan pada tulisan tuan dan mungkin tuan mampu berkongsi kebaikan dengan anak murid kami nanti.” Jelasnya dengan terang tanpa berselindung.

Saya terkedu seketika. Terkedu kerana alasan tersebut membuatkan diri saya dihubungi. Sedangkan saya menulis adalah untuk berkongsi di alam maya sahaja. Mungkin medium saya berkongsi, saya tidak tahu siapakah yang mengikuti secara jujur atau tidak berkenaan penulisan saya. Mediumnya tanpa batasan serta tiada sempadan. Itulah alam maya yang menjadi tempat saya menulis dan berkongsi.

Tiba-tiba, alam maya tersebut bakal menjadi alam yang nyata sebagai tempat untuk saya terus berkongsi. Secara jujurnya, saya lebih selesa dengan alam maya berbanding dengan alam nyata. Tentulah berkongsi pada alam nyata amat berbeza sekali suasananya. Ia lebih kepada keselesaan diri.

Saya mula menelah dan berfikir tentang sudut motivasi yang harus saya sampaikan jika ia menjadi kenyataan. “Begitulah ketetapan Allah untuk saya terus berkongsi barangkali!” Hati mula berbicara.

Saya kenal diri saya, saya juga kenal potensi saya. Saya tahu, saya adalah insan yang begitu lemah dan sering melakukan dosa. Saya tidak sangka ketika pada saat yang begitu sukar untuk saya memberikan jawapan, masih ada orang yang sudi menjemput saya memberikan motivasi. 

Ketika saya perlukan kepada motivasi dalam hidup, ada pula pihak yang mahu menjemput saya memberikan motivasi. Pertentangannya wujud pada diri apabila saya merenungi ayat 44, surah al-Baqarah yang bermaksud :

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Itulah kebimbangan yang ada. Semoga saya dijauhi dengan sifat tersebut. 

 “Ya Allah, bantulah hamba-Mu dalam membuat pilihan dan keputusan. Sesungguhnya, Engkau amat mengetahui tentang diri ini.”

  

Bercuti

Tuesday, June 5, 2012

Seronok melihat ramai rakan karib serta teman-teman Facebook (FB) saya bercuti pada musim cuti sekolah ini. Ada yang bercuti di dalam negeri dan ada juga yang bercuti di luar negera. Kebanyakkannya memilih untuk bercuti, sama ada bersama keluarga, rakan terdekat atau secara berseorangan.

Pilihan tempat bercuti pula pelbagai. Ada yang memilih di tepi pantai, di tengah pulau, di tanah tinggi, berdekatan dengan kawasan air terjun dan ada juga di tempat yang bersejarah sebagai destinasi percutian. Sungguh indah masa diisi dengan bercuti di tempat pilihan hati. 

Di kala ramai yang bercuti, saya pula masih begini. Perlu berkerja. Memilih untuk bercuti secara formal bukanlah pilihan terbaik buat diri saya pada waktu terdekat ini. Kebetulan pula pelbagai tugasan serta urusan yang perlu diselesaikan dan menunggu pada waktu terdekat ini.

Melihat gambar rakan-rakan bercuti di laman sosial FB membuatkan keinginan saya untuk bercuti juga menjadi tinggi. Malah membuak-buak rasanya di hati. Teringin sekali membawa keluarga tercinta pergi bercuti dan melihat mereka berseronok dengan pakej percutian yang diambil. Sekurang-kurangnya, dapat melupakan ‘bebanan kerja’ atau ‘tugasan rumah’ yang ada seketika dengan bercuti secara formal.  

Mengorbankan dua atau tiga hari untuk pergi bercuti adalah bukan suatu perkara yang mudah. Ia tidak semudah yang disangkakan kerana saya punyai ibu mertua yang sedang sakit dan perlu dijaga serta diberi perhatian. Sudah tentu, memilih untuk pergi bercuti di kala ibu mertua yang sedang sakit bukanlah tindakan yang bijak. Asas pertimbangannya adalah begitu. 

Biarlah saya bercuti di rumah sahaja menemani ibu mertua tercinta. Jika masa dan keadaan yang sesuai untuk saya pergi bercuti, pasti saya akan bercuti juga. Ia merupakan saat yang amat dinanti-nantikan kerana sudah lama saya tidak bercuti secara formal dengan keluarga tersayang. Kali terakhir adalah di Cameroon Highland pada tahun 2008. 

Tiadalah yang saya mahu daripada cuti saya melainkan dapat melihat kebesaran Allah yang menciptakan alam raya ini, ia bukan sekadar untuk bercuti biasa sahaja. Ayat 61 dalam Surah an-Naml menjadi bukti kepada tujuan penciptaan alam raya ini dan tujuan saya mahu segera bercuti. 

“Atau siapakah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat berdiam, dan yang menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya, dan yang menjadikan gunung-gunung untuk (mengukuhkan)nya dan menjadikan suatu pemisah antara dua laut? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) kebanyakan dari mereka tidak mengetahui.