Sirna Cahaya Mentari

Friday, November 27, 2015

 (sumber Google Image)

Keberadaan kita di dunia ini mempunyai tempoh waktu. Rekod manusia paling lama hidup pun akan berakhir dengan kematian jua. Tiada sejarah yang mencatatkan bahawa wujudnya manusia kekal hidup selamanya. Sebaliknya sejarah kehidupan manusia akan dinoktahkan dengan sebuah kematian.

Yang bermula pasti berakhir.

Yang hidup pasti mati.

Apabila 'kematian' telah tersemat pada lubuk minda, tiada apa yang lebih penting dalam hidup ini melainkan untuk menyediakan bekalan yang terbaik bagi dipersembah pada Tuhan sekalian alam.

Maka persoalannya, apakah yang mahu dibekalkan?

Berapakah tempoh waktu yang diperlukan bagi mengumpulkan bekalan tersebut?

Jawapan yang hadir pasti berbeza-beza. Namun ia perlu diselarikan dengan hakikat bahawa tempoh keberadaan kita di dunia ini hanyalah sementara sifatnya. Umur yang ada semakin singkat dan berkurangan walaupun dari sudut angka ia sentiasa bertambah. Dua tahun lepas  umur kita 34 dan jika diizinkan hidup lagi tahun hadapan (2016) maka umur kita akan bertambah menjadi angka 36.

Jaminan umur bertambah belum tentu menjadi ukuran terbaik bahawa bekalan turut bertambah. Sifatnya tidak berkadar terus. Mungkin songsang.

Umur bertambah, amalan berkurang. Akhirnya menjadi sifar dalam buku amalan yang menjadi rekod sulit antara hamba dan Tuhannya. Kemungkinan itu ada. 

Kira-kira atau congkak kasar saya yang kerdil ini begitulah .. Lantas melalui panduan al-Quran dan as-Sunnah tentang perjalanan kehidupan di dunia ini perlu mengikat atas setiap amalan atau perbuatan agar tidak terpesong.

Umur bertambah, amalan bertambah. Harapan di hati sentiasa begitu. Malah azam tahun baharu pun hampir majoriti kita mengharap sebegitu.

Biarlah harapan dan azam itu disertai dengan siri-siri tindakan yang benar-benar konsisten dan bersungguh-sungguh. 

Tatkala sinar mentari masih menyinar, peluang menambah bekalan yang 'terbaik' masih terbentang luas. Tiada jaminan bahawa diri akan dapat melihat Sang Mentari hari esok. Jangan sampai sirna Sang Mentari hilang, saat itu tiada lagi 'tempoh' beramal buat kita.