Padanya Ada Hikmah

Thursday, September 20, 2012

Satu tulisan yang baik daripada Tuan Bahruddin Bekri. Buku ini terhasil melalui temubual penulis dengan Prof Dr Muhaya dan dibukukan melalui penulisan serta penceritaan yang segar. Pasti, maksud asal serta hikmah yang dikongsikan oleh Prof Dr Muhaya telah sedaya-upaya disampaikan oleh penulis. 

Buku yang memuatkan 35 cerita pelbagai tajuk disampaikan melalui penceritaan yang digarap bersama dengan watak-watak seperti tukang cuci, pemandu teksi, jururawat, doktor pelatih, pensyarah dan beberapa watak lain lagi. Hakikat yang tidak boleh saya nafikan ialah mesej serta pengajaran yang ada pada setiap tajuk cerita sungguh menyentuh akal untuk berfikir dan hati untuk merasa.

Biarpun buku ini tidak setebal 300-400 muka surat, namun masa yang saya ambil untuk menghabiskannya adalah enam hari juga. Ia bertujuan untuk saya benar-benar memahami, menghayati dan merasai sendiri suasana-suasana yang berlaku di dalam setiap cerita yang ada pada buku tersebut.

Yang paling tertarik ialah cerita-cerita yang disampaikan melalui watak-watak yang ada saling berkait. Tidak terhenti pada satu cerita sahaja. Pada cerita lain, watak tersebut kita akan temui kembali dalam cerita yang berbeza. Seakan ada pertalian cerita di antara watak-watak yang digarapkan.

Apa-apapun, "Untuk manusia, Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia." Itulah hikmah yang saya perolehi apabila menghabiskan naskhah secara berdikit-dikit.

Semoga Tuhan merahmati usaha murni penulis.

Tuan Imran : Saya Hanya Baru Bermula

Wednesday, September 12, 2012

Tidak banyak kisah atau cerita yang boleh saya titipkan tentang peribadi Tuan Imran. 

Saya mengenalinya ketika bertemu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Tarikh pertemuan masih lagi tersemat pada buku tulisannya yang berjudul ‘Meja Runding: Dari Konflik Ke Solusi Strategik’ iaitu pada 28 April 2011. Itulah tarikh yang menjadi saksi pertemuan saya dengannya. Pertemuan yang cukup indah untuk diingati.

Ia menjadi pertemuan kali pertama dan juga kali terakhir saya dengannya apabila mengetahui berita pemergiannya pada awal pagi Rabu, 12 September 2012 melalui rakan-rakan Facebook. Allahu Akbar. 

Bertemu dan berpisah, hidup dan mati, semuanya di dalam pengetahuan-Nya. Kita tidak mampu menduga banyak hal dalam kehidupan kita, namun kita mesti bersiap-sedia untuk melalui pelbagai kemungkinan hidup. Segala-galanya adalah di dalam pengetahuan dan ilmu Allah.

Pasti, buku ini menjadi kenangan terindah di antara saya dan pemilik karya agung ini. Saya hanya baru bermula, sedangkan Allah sudahpun ‘menamatkan’ perjalanan hidup insan yang telah memberikan nasihat ringkas ketika bertemu di PBAKL 2010 yang lalu. 

Nasihatnya dahulu kini kembali segar. Walaupun bertemu hanya seketika, namun karyanya tetap segar dan hidup pada akal dan hati saya. Apatah lagi mereka yang sempat berguru serta belajar daripadanya, sudah tentu ia merupakan saat yang sukar dilupakan dan memilukan. 

Nasihat ringkasnya kepada saya:-

“Kalau mahu menulis, kena berguru. Saya syorkan agar menulislah dengan PTS. Sebuah syarikat yang mahu memandaikan bangsa.”

Lebih kurang begitulah nasihatnya yang masih terpahat pada minda. 

Takdir sudah tertulis untuknya dan untuk kita juga sebenarnya. Yang menjadi persoalan, amalan apakah yang mampu menjadi ‘saham’ atau ‘pendapatan’ kita di akhirat nanti? Itulah yang memerlukan kepada jawapan yang realistik, bukannya retorik. Allahu rabbi… Terkadang jawapannya sudah ada, tetapi kita pula masih terleka dengan keseronokan dunia. 

Doa ini khas saya titipkan buat Tuan Imran:-

“Ya Allah...Biarlah kasih yang mahu diraikan di langit syurga menjadi miliknya. Tempatkanlah Tuan Imran di kalangan mereka yang soleh, beriman dan bertaqwa di sisi-Mu. Mudah-mudahan, Syurga Firdaus menjadi persinggahan abadi buatnya. Amin.”

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah untuk Tuan Imran. Al-Fatihah.

Usia

Monday, September 10, 2012


Usia seseorang jika dibincang akan memberi reaksi berbeza-beza. Ada yang boleh menerimanya dengan baik dan ada pula sebaliknya. Seakan-akan ia begitu sensitif.

Hakikatnya, hidup kita amat berkait rapat dengan usia. Usia bertambah, tidak berkurang. Apabila bertambah, ia semakin hampir kepada penghujung kehidupan kita. Teringat pula bait-bait puisi yang ditulis oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said tentang ‘Tetamu Senja.’ Antara rangkap pertama puisi tersebut ialah:-

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila tiba detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Sudah tentu pengakhiran kehidupan kita di dunia ini adalah melalui kematian. Ia selaras dengan ayat 2, Surah Al-An’aam yang bermaksud:-

Dialah Yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukannya ajal (kematianmu), dan ada lagi suatu ajal yang ada pada sisi-Nya (yang Dia sendirilah mengetahuinya), kemudian kamu masih ragu-ragu (tentang berbangkit itu).

Usia dan ajal. Saling berkaitan. Ia adalah dalam pengetahuan Allah. Kita tidak tahu usia kita sampai angka berapa, bila tarikh ajal kita. Namun, kita digalakkan untuk beramal soleh setiap masa dan berdoa agar usia yang ada dapat dimanfaatkan untuk menjadi hamba yang taat serta patuh pada suruhan-Nya. Tidak perlu tunggu usia kita sekian-sekian baharulah mahu berubah dan beramal soleh. Tidak perlu!

Mudakah usia kita atau tuakah usia kita, ia tidak menjadi persoalan ‘besar’ jika kita tahu untuk memanfaatkan nikmat usia yang diberikan kepada kita. Ini kerana, kita tahu bahawa setiap detik atau perjalanan usia ini bakal dihitung atau dihisab kembali di akhirat kelak. 

Begitulah usia dan kita, lihatlah pada kaca mata yang positif. Usah melenting atau sensitif jika ada orang yang lebih muda daripada kita berkata bahawa kita sudah berumur atau ‘sudah tua.’ Hakikatnya, ia benar. 

Saya juga merasakan diri sendiri sudahpun berusia dan ‘tua’ jika mahu dibandingkan dengan orang yang lebih muda daripada saya. Cukuplah ayat 60, Surah Al-An’aam menjadi ingatan tegas buat kita:-

“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan, kemudian kepada Allah-lah kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Ketika kita masih lalai dan alpa, sebenarnya Allah masih sayangkan kita. Dia terus memberikan nikmat usia walaupun tidak diminta. Itulah sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah kepada hamba-hamba-Nya.



21 Hari Tidak Berblog

Tuesday, September 4, 2012

Entri terakhir yang ditulis ialah pada 15 Ogos 2012. Rasa-rasanya, inilah entri yang saya tulis sejak Ramadhan berlalu pergi. Hampir tiga minggu juga tidak berblog. 

Apa-apapun, Tuhan masih memberikan lagi kekuatan untuk berblog dan berukhwah dalam alam yang tiada sempadan ini. Alam maya yang merentasi negara-negara yang tidak saya pernah jejaki secara nyata. Dengan berblog, ia tidak mustahil lagi. Bezanya ialah ia hanya dapat dirasai secara ‘maya’ sahaja. Logiknya begitu.

Bulan berganti bulan, kini bulan Syawal 1433H sudahpun berada di pertengahan. Madrasah Ramadhan terasa sudah lama kita tinggalkan. Walhal, ia masih lagi belum mencukupi sebulan kita tinggalkan. Madrasah yang menjadi dambaan ramai di kalangan kita seolah-olah kelihatan sepi apabila bulan Syawal memasuki. 

Mahu melihat orang berduyun-duyun melakukan kebajikan serta amal soleh sebagaimana pada bulan Ramadhan, sudah tentu kita perlu menunggunya pada Ramadhan akan datang. Mahu melihat pada bulan-bulan selain bulan Ramadhan, sudah tentu ia cukup mustahil. Pada bulan Ramadhan, siang dan malam kita cuba penuhi dengan amal soleh. Jika boleh, kita tidak mahu lepaskan saat-saat bersama dengan bulan Ramadhan untuk beribadat. Begitulah sebahagian besar di kalangan kita apabila berhadapan dengan bulan Ramadhan, walaupun ada segelintir yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan bulan Syawal. Terasa seperti dipenjara apabila melalui madrasah Ramadhan ini. Bagi mereka yang beriman, perasaan sebegitu tidak lahir, malah tidak mahu pula berpisah dengan Ramadhan ini.

Hakikatnya, kita telah lama melepasi madrasah Ramadhan. Hari-hari kita ialah hari pada bulan Syawal. Bukan lagi hari-hari pada bulan Ramadhan. Terfikirkah kita, seandainya kita layak menerima Piala Taqwa atau bergraduan dengan ijazah taqwa pada Ramadhan yang lalu, apakah ijazah yang diterima itu mampu kita pertahankan sekarang? Atau bagaimana?

Mungkin pada bulan Ramadhan, kita menjadi lebih positif dan bersemangat untuk melakukan kebaikan disebabkan oleh suasana persekitarannya cukup membantu. Maka, kita dengan sendirinya terdorong untuk melakukan kebaikan tanpa menghadapi sebarang masalah. Bagaimana pula dengan bulan selain bulan Ramadhan, mampukah kita mendorong diri sendiri untuk melakukan kebaikan tatkala persekitarannya tidaklah sebaik atau sepositif persekitaran pada bulan Ramadhan? Di sinilah persoalan serta muhasabah yang perlu dilakukan.

Beramal soleh bukan ‘hebat’ pada bulan Ramadhan sahaja, bahkan ia perlu juga ‘hebat’ pada bulan-bulan lain. Alasannya cukup mudah, kita tidak tahu bilakah tarikh sebenar kematian kita. Sedangkan mati itu pasti! Jadi, biarlah kita konsisten walaupun amalan yang kita lakukan itu kecil kerana nabi begitu suka dengan amalan yang dilakukan oleh umatnya yang kecil tetapi istiqomah (konsisten). Jika kita boleh khatam al-Quran pada bulan Ramadhan, biarlah kita boleh khatam juga pada bulan-bulan lain. Jika kita mampu bersedekah dalam amaun yang banyak pada bulan Ramadhan, biarlah kita boleh bersedekah dalam amaun yang banyak juga pada bulan-bulan lain. Jika kita boleh solat berjemaah di masjid, biarlah kita boleh berjemaah juga pada bulan-bulan lain.

Semoga kita mampu mengekalkan serta meneruskan amal soleh serta kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan Ramadhan yang lalu pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain juga. Biarlah madrasah Ramadhan yang lalu mampu memberi kesan kepada diri kita untuk menjadi hamba-Nya yang bertaqwa pada setiap ketika dan keadaan.