Diminta Baca Doa Qunut

Wednesday, January 29, 2014

Semasa berada di sebuah kedai makan bersama dengan seorang sahabat yang mahu meminta nasihat berkaitan proses jual beli hartanah, kami didatangi dengan seorang remaja lelaki yang mahu meminta derma untuk membina sebuah sekolah tahfiz.

Sahabat saya meneliti dokumen yang ditunjukkan serta bertanyakan kepada beliau beberapa soalan.

Disebabkan remaja itu bersekolah tahfiz, lalu sahabat saya meminta beliau membacakan 'Doa Qunut' di hadapan kami berdua. Mukanya sedikit berkerut. Barangkali terkejut dengan 'permintaan' untuk ditunaikan.

Beberapa minit kemudian, saya lihat mulutnya mula membacakan sesuatu. Saya dengar satu persatu 'doa' yang dibaca olehnya sehingga selesai.

Tatkala itu saya lihat sahabat saya menyeluk saku seluarnya dan menghulurkan beberapa not wang kepada remaja itu. Allahu Akbar...

Selepas remaja itu beredar dari tempat kami duduk, sahabat saya tanyakan soalan ini, "Okey ker kawe (saya) buat macam tu kat dia? Apa pendapat demo (kamu)?"

Sambil menghirup Air Laici Kang, saya memberitahu, "Bergantung pada niat. Cuma kenapa demo uji macam tu kat dia?"

"Bukan apa... Diakan pelajar tahfiz. Minta derma pun untuk sekolah tahfiz. Jadi kawe minta dia hafal sesuatu.. Sekurang-kurangnya dia bukan sekadar minta derma sahaja," terang sahabat saya penuh rasional.

Saya senyum sahaja atas rasionalisasi yang diutarakan. Apa-apapun, saya doakan remaja itu belajar sesuatu daripada apa yang telah berlaku di meja makan kami hari ini.

Status pertama selepas berumur 33 tahun

Saturday, January 25, 2014

Pertamanya, saya ucapkan jutaan terima kasih atas doa baik-baik serta ucapan 'selamat pendek umur' kepada saya tempoh hari.

Kedua, sepanjang 6 hari tidak berfacebook, ada di kalangan tuan dan cik puan yang baik hati sudi bertanyakan khabar tentang diri saya dengan pelbagai soalan.

"Ada masalahkah?"

"Sihatkah?"
dan sebagainya.

SEJUJURNYA, saya sihat dan tiada masalah - Alhamdulillah.

CUMA, sepanjang tempoh tersebut saya berada di Kuala Lumpur (2 hari), Terengganu (2 hari) dan perlu memfokuskan kepada urusan mahkamah (2 hari). Esok dan lusa, perlu tumpukan kepada kes mahkamah dan projek perumahan daripada seorang pelabur - Insya-Allah.

Alhamdulillah, hari ini Allah masih izinkan saya untuk menulis dan berkongsi di sini. Ia merupakan nikmat yang tidak boleh saya dustakan kerana cinta saya pada Facebook cukup tinggi.

Walaupun tidak menulis apa-apa di Facebook sepanjang 6 hari, Allah ilhamkan sesuatu untuk saya fikirkan dan ambil iktibar. Allahu Akbar...

Astaghfirullah...

Tangki Air

Saturday, January 18, 2014

Sebelum ke tempat kerja, hati terdetik untuk 'check' keadaan kereta yang lama tidak dibuka bonet enjinnya.

Satu persatu saya lihat, minyak silinder, minyak gear dan akhirnya tangki air. Alangkah terkejutnya selepas membuka penutup bekas tangki air, apa yang dilihat adalah isian air hampir-hampir berada pada bahagian bawah tangki. Bagi mengelakkan saya tersilap lihat, saya berkali-kali juga 'check' sehinggalah mulut berkata, "Memang sah, air dah hampir tiada!"

Saya bersegera mengisinya dan melihat air itu naik dan terus naik sehinggalah saya berhenti pada takat yang tertera pada tangki. Kali ini saya berasa lega. Lega seperti memasukkan air ke dalam rongga mulut setelah berlari pecut 100 meter.

Kata kunci permulaan hari Ahad saya ialah 'check' atau periksa. Jika tidak diperiksa, saya tidak tahu keadaan kereta saya. Apabila memeriksa, sekurang-kurangnya saya tahu bahawa ada perkara yang perlu diberi perhatian atau dibaiki.

Saya yakin bahawa kehidupan seorang insan pun begitu. Apatah lagi hubungan antara hamba dan Tuhannya. Jika tiada 'checking' dilakukan, pasti diri tidak tahu apakah kelebihan dan kekurangan, kekuatan dan kelemahan sepanjang nikmat hidup diberikan untuk kita.

Dalam ajaran agama Islam, kaedah muhasabah atau koreksi diri amat membantu dalam kelestarian hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi-Nya. Sehinggakan Saidina Umar al-Khattab menyebut, "Hisablah (hitunglah) diri kamu sebelum kamu dihisabkan kelak."

Sekiranya kereta ada tangki air, diri manusia ada tangki amal. Tangki amal bakal menentukan diri akan berjalan ke Syurga ataupun ke Neraka. Tangki amal boleh berkurang dan bertambah bergantung pada IMAN pada diri seseorang. Jika berat imannya, maka beratlah tangki amal. Logik saya begitulah...

Allahu Akbar ... Disebabkan kisah 'tangki air' kereta saya pada pagi ini, saya diberi ilham untuk mencatat perkara lain pula. Maafkan saya kerana menyebabkan tuan dan cik puan 'terpaksa' membaca catatan yang begitu dhaif serta fakir ini. Astaghfirullah...

Tiga Tanda Sayang

Wednesday, January 15, 2014

Seawal pagi Khamis ini, saya membaca sebuah nukilan ringkas seorang guru yang begitu menusuk hati. Allahu rabbi... Walaupun nukilannya ringkas, namun ertinya cukup besar.

Perhatikan apa yang dikongsikan oleh guru saya;

 "Sayang Allah... jaga solat.

Sayang Rasulullah... banyak berselawat.

Sayang diri... sentiasa taubat.

Senyum yang paling indah ialah senyum yang membuat orang lain tersenyum!"

Gabungan solat, berselawat dan taubat mampu menatijahkan insan berhati emas jika ia benar-benar berjaya diterap serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian insan. Seandainya gabungan tersebut sebati dan menjadi darah daging insan, pasti ia mampu melahirkan insan luar biasa hebat di sisi Allah dan juga sesama manusia.

Tanpa mengenepikan aspek atau faktor yang lain, sejujurnya tiga gabungan ini jika diamali secara bersungguh dan penuh ikhlas, ia mampu membantu untuk melahirkan rasa sayang insan kepada Allah, Rasul dan juga diri sendiri.

Tanda 'sayang' begitulah... Ia perlu dibayar dengan harga yang mahal untuk mendapatkan sayang yang sejati.

Bukankah bersolat, berselawat serta bertaubat itu mahal? Jika jawapannya 'ya', maka kejarlah dan dapatkan ia tatkala peluang tersebut masih ada di hadapan mata. Insya-Allah, kelak ia mampu membuatkan kita tersenyum kepuasan kerana tanda sayang kita berbalas dengan balasan yang baik.

"Tuan, ambillah saya berkerja..."

Monday, January 6, 2014

"Tuan, ada kerja kosong di sini?" Tanya seorang wanita berusia 32 tahun yang tercegat berdiri di hadapan meja kerja saya.

Disebabkan rasa terkejut dan serba salah, saya beritahu secara jujur kepada beliau, "Maaf puan, tiada kekosongan di sini!" Mata saya perlahan-lahan beralih pada skrin komputer yang ada di meja kerja.

Wanita itu berkali-kali mengasak soalan yang sama ke arah saya tanpa belas ihsan, "Tuan, bagilah kerja kepada saya. Gaji murah pun tak apa. Saya sanggup. Bagilah kerja menyapu sampah ker, kemas-kemas pejabat pun tak apa...," rayunya penuh pengharapan.

Rasa kasihan pun ada melihat wanita ini. Namun, untuk termakan pujuk rayu tidak secepat ais kiub menjadi cair setelah terkena pancaran haba mentari. Saya bertegas dengan nada penuh hikmah, "Maaf puan, di sini tiada kekosongan. Jika ada kerja nanti, saya akan hubungi puan. Mohon puan tinggalkan nombor telefon dan nyatakan nama kepada staf saya di luar." Pinta saya dalam keadaan mahu membantu selagi termampu.

"Tuan...Tuan ambillah saya berkerja sekarang! Gaji berapa pun tak apa.. Saya tak kisah. Bagilah kerja kepada saya tuan."

Aduh... Mati akal saya dibuat oleh wanita ini. Habis idea dikerah.

"Maaf puan... Maaf puan... Maaf sangat-sangat..." Saya mengakhiri dengan perkataan 'maaf' sebanyak tiga kali. Kali ketiga ia cukup perlahan tanda saya benar-benar tidak berdaya untuk menunaikan hajat besarnya.

Selepas itu, saya perhatikan beliau menundukkan kepala ke bawah. Tanda pasrah barangkali. Tiada sepatah kata yang keluar daripada mulutnya kali ini.

Akhirnya, beliau akur dan melangkah keluar daripada pintu bilik saya penuh longlai tanpa meninggalkan sebarang maklumat diri kepada staf yang setia menanti.

Hati saya berdetik kencang, "Maafkan saya puan... Ya Allah, maafkan hamba mu ini kerana tidak dapat membantu wanita berusia 32 tahun yang amat memerlukan kerja dalam hidupnya."

Ya. Sesetengah insan itu 'Mencari Kerja' dan fikiran saya kembali teringatkan ilham 'Mencipta Kerjaya' yang pernah dikongsikan akhir tahun 2013. Allahu' Mus'taan...


Matinya Ariel Shahron

Sunday, January 5, 2014

Segelintir sahabat FB saya melahirkan rasa gembira dan syukur di atas kematian tokoh Yahudi - Ariel Shahron. Kezalimannya, sudah tercatat dalam lipatan sejarah. Ia mustahil dipadamkan dalam ingatan manusia zaman-berzaman.

Bagi saya, kematiannya sedikitpun tidak melegakan kerana beliau telah berjaya mencetak tokoh-tokoh lain sepanjang hayat hidup beliau. Legasi Ariel Shahron wujud sebelum kematian beliau lagi.

Kewujudan legasi Ariel Sharon bukan bermakna jasadnya seratus peratus sama, rupanya sama ataupun DNAnya sama, tetapi legasi itu wujud melalui sifat, karekter dan perangai yang beliau tinggalkan. Sebagaimana wujudnya 'Firaun' pada zaman serba moden ini, walaupun Firaun sebenar telah berabad lamanya telah meninggal dunia. Tetapi manusia yang berperangai serta bertopengkan 'Firaun' ataupun 'Ariel Shahron' ada di mana-mana ceruk dunia.

Mungkin saya sendiri yang sedang asyik menulis catatan ini sedang mewarisi sifat tinggalan mereka tanpa sedari atau sedari? Astaghfirullah...

Ya. Pemimpin zalim itu datang dan pergi. Hakikat memerangi kezaliman yang ada pada diri tidak sesenang memerangi pemimpin yang zalim. Ia peperangan sepanjang hayat di antara haq dan batil, benar dan salah, zalim dan adil.

"Ya Allah, Kau lindungi kami daripada sifat zalim yang menzalimi. Kau pelihara kami daripada mereka yang berlaku zalim ke atas diri kami. Kau tunjukkan yang haq itu haq dan yang batil itu batil buat kami agar kami tidak tergolong dalam golongan yang berlaku zalim."  Amin ya Allah!