1433 Hijriah...Jadilah Insan Yang Bersyukur

Sunday, November 27, 2011



Pertamanya, marilah kita panjatkan segala puji dan kesyukuran kita ke hadrat Allah kerana masih lagi memelihara kita dengan nikmat Islam dan juga iman serta dengan segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Di samping itu, marilah kita zahirkan juga kesyukuran kerana masih lagi diberi kesempatan untuk mengecapi tahun baru, 1433 Hijriah. Andainya kita diberi masa untuk menghitung nikmat yang telah diberikan, nescaya kita tidak akan terhitung banyaknya. 

Sesungguhnya untuk menjadi insan yang bersyukur adalah bukan sesuatu perkara yang senang dan juga bukan sesuatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Tidak hairanlah di dalam al-Quran terutamanya, kita seringkali diingatkan agar sentiasa menjadi insan yang bersyukur dalam segenap aspek kehidupan. Allah SWT tidak pernah jemu-jemu mengingatkan kita agar menjadi insan yang tidak ingkar atau kufur dengan segala nikmat yang diberikan oleh-Nya. Bukankah dengan peringatan yang diberikan oleh Sang Pencipta menggambarkan kepada kita bahawa untuk menjadi insan yang bersyukur bukanlah sesuatu perkara yang senang bukan? Ya, kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah agar usaha kita menjadi lebih senang dan akhirnya mencapai matlamat sebagai insan yang bersyukur di sisi-Nya, mudah-mudahan.

Jika kita merenung kisah-kisah yang dinukilkan di dalam al-Quran, pasti kita akan bertemu dengan banyak kisah manusia serta umat yang tidak bersyukur. Malah yang teruknya ada yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan seperti Firaun pada zaman Nabi Musa a.s. Inilah contoh insan yang benar-benar kufur dan melampaui batas, malah sanggup menentang para Nabi atau Rasul yang mahu mengajaknya supaya menjadi insan yang beriman dan bersyukur. Kisah sebegini walaupun telah berlalu, namun pengajarannya janganlah turut sama berlalu. Bawakan bersama dalam kehidupan seharian kita. Kini, masih ada juga insan yang berani mengaku dirinya sebagai ‘rasul’, malah mencipta ajaran tersendiri yang terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Juga ada insan yang lebih senang hidupnya tanpa agama atau tidak bertuhan. Mahu segala-galanya ‘bebas’ hanya berpandukan kepada akal yang terbatas sifatnya. Sudah tentu anugerah akal jika tidak dipandu dengan agama yang benar, kita akan sesat. Bukankah akal itu Sang Pencipta yang anugerahkan? Mengapa masih lagi kita mengingkari segala suruhan serta larangan-Nya?
  
Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk mempertingkat kefahaman tentang Islam dan elakkan diri agar tidak terpesong dengan ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Jangan sesekali kita merasakan bahawa ilmu kita sudah cukup banyak dan telah sempurna. Usaha untuk sentiasa memperbaiki diri serta menambah ilmu tentang Islam perlu ada dalam diri kita. Jangan hanya sekadar mengejar ilmu keduniaan semata-mata, ilmu tentang agama kita abaikan pula, malah, memandangnya dengan sebelah mata sahaja. Nauzubillah…

Perlu diakui juga, terkadang kita ‘terpesona’ dengan kefahaman yang kita ada tentang Islam. Kita menganggap kita sudah sempurna tanpa mahu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan yang melaut luas sifatnya. Kita lebih nampak tentang kefahaman Islam orang lain salah dan banyak kelompangannya, sedangkan ‘kelompangan’ yang ada pada diri kita, kita sendiri tidak nampak? Usahlah saling menyalahkan di antara satu sama lain apabila wujudnya perbezaan atau percanggahan kefahaman. Carilah titik persamaan. Tanyalah orang yang lebih berilmu tentangnya. Jika ada perbezaan sekalipun, ambillah pendekatan yang berhikmah serta bijaksana dalam menegur atau memperbetul.  

Akhir kata, saya doakan agar kita semua menjadi insan yang sentiasa bersyukur dalam erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya dianugerahkan nikmat mengecapi Tahun Baru 1433 adalah merupakan nikmat yang harus kita syukuri juga. Semoga kesempatan merasai tahun baru ini mampu kita penuhi dengan amalan-amalan yang mampu memberi kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak ada gunanya jika peluang untuk berada pada tahun baru ini kita sia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat dan merugikan.

Ibu Bapalah Yang Mencoraknya

Wednesday, November 16, 2011



Ketika kita dilahirkan di dunia ini, kita diumpamakan seperti bayi yang suci daripada dosa-dosa. Warnanya begitu putih dan tidak terpalit sedikitpun warna-warna lain. Yang mencorak dengan warna lain adalah tangan-tangan ibu bapa kita. Ibu bapalah yang layak untuk mencoraknya. Jika tersilap corak, maka tidak cantiklah hasilnya nanti. Jika corakan kita betul, maka sungguh indah sekali hasil yang bakal kita perolehi.

Namun, saya tertanya juga adakah corakan yang mahu kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak agama? Jika tidak selari dengan kehendak agama, sudah pasti corak yang kita sendiri mahukan tidak boleh digunakan sama sekali walaupun pada pandangan mata kasar kita ia amatlah indah. Saya pasti bahawa setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anaknya, bukan? Semuanya mahukan ‘first class’ untuk anak-anaknya. Sehinggakan ada ibu bapa yang sanggup berbelanja besar dalam mendidik anak-anak mereka. Mereka mahukan tadika yang terbaik, sekolah yang terbaik, pusat tuisyen yang terbaik, universiti yang terbaik dan akhirnya mahukan kehidupan yang terbaik buat anak mereka. Tidak salah untuk mencari tempat pendidikan yang ‘first class’ untuk anak-anak, namun yang penting adalah kita mampu juga memberikan pendidikan agama yang ‘first class’ juga.

 Pernah satu ketika, saya menonton rancangan Sentuhan Qalbu di TV9. Topiknya berkaitan dengan ‘5 Minit Aje’. Topik tersebut amat bagus untuk kita tontoni terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak. Satu persoalan yang ditimbulkan ialah “sudahkah kita mengajarkan anak-anak kita tentang agama?” Soalan yang cukup ringkas dan dalam maknanya itu membuatkan hati saya begitu tersentuh. Saya terfikir apakah pengisian yang terbaik untuk diberikan kepada anak kesayangan kita nanti. Takkanlah saya mahu menunggu anak saya membesar dahulu. Kemudian, baru terhegeh-hegeh untuk mengajarnya tentang agama. Takut-takut kita pula yang diajarkan oleh mereka. Ibarat pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
 
Rata-rata ibu bapa yang berkerjaya menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak atau paling tidak ada orang lain yang menjaganya ketika ibu bapa mereka keluar berkerja. Itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Sebahagian besarnya mengalami situasi sedemikian, tidak terkecuali saya. Kadang-kadang kita hanya mampu melihat wajah anak kita ketika mereka sudahpun tidur. Itu belum dikira lagi dengan ibu bapa yang berpisah jauh disebabkan kerja yang perlu dilaksanakan, berbulan-bulan lamanya tidak dapat menatap muka anak sendiri. Ada setengah ibu bapa pula hujung minggunya juga berkerja, sudah pasti masa untuk bersua muka dengan anak kesayangan amatlah terhad. Bagi saya, yang paling seronok ialah ibu bapa yang diberikan nikmat untuk melihat anaknya setiap hari. Tentu seronok bukan untuk melihat anak-anak membesar di hadapan mata kita.

Selaku ibu bapa yang mempunyai anak, jangan pula segan-silu untuk belajar dan terus belajar bagi mendapatkan ‘corakan sebenar’ daripada pakar atau mereka yang berpengalaman dalam bidang pendidikan anak-anak. Selain kita menadah kitab, kita harus juga belajar tentang teknik dan skil keibubapaan lebih-lebih lagi kita berada pada zaman yang penuh dengan kecanggihan teknologi. Cabarannya juga cukup canggih. Ibarat kata, jika kita tidak mempunyai apa-apa ilmu tentang agama, bagaimana mungkin kita mampu memberikan ilmu agama kepada anak-anak pula. Selain itu, ibu bapa juga wajib menjaga hubungan dengan Allah terutamanya dengan menjaga solat . Ia merupakan kekuatan sebenar dalam membesarkan anak-anak kita. Jadikanlah al-Quran sebagai bacaan wajib kita setiap hari dan ajarilah anak-anak kita juga dengan al-Quran.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ringkas pada kali ini, marilah kita sama-sama merenung petikan kata-kata yang saya ambil daripada rancangan Sentuhan Qalbu yang bertajuk ‘5 Minit Aje’,

“Demi Allah, bukan 5 minit, bukan waktu yang tak cukup, pertanyaannya, sudahkah kita mengajarkan anak-anak kita tentang Allah? Sudahkah kita mendidik anak-anak kita tentang Allah? Walaupun hanya 5 minit. Sudahkah kita duduk bersama mereka mengajarkan mereka tentang Allah? Mengajarkan mereka tentang siapa Nabi Muhammad? Mengajarkan mereka tentang siapa dirinya?”

Semoga ada kebaikan dengan perkongsian tulisan ini. Di sini, saya hanyalah berkongsi rasa dan bukannya berniat untuk mengajar pembaca sekalian kerana masih banyak lagi pelajaran yang wajib saya pelajari untuk mencari ‘corakan’ terbaik bagi mendidik anak-anak ketika masa masih berbaki.

Salam Aidil Adha 1432H

Saturday, November 5, 2011


Esok 10 Zulhijjah, bagi penganut agama Islam, kita bakal merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji bagi tahun 1432H. Sungguh besar perayaan yang bakal kita rayakan nanti sehinggakan Allah telah mengharamkan kita untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah banyak amalan-amalan sunat yang dituntut agar kita lakukan. Berzikir, bertakbir, beristighfar, berpuasa sunat, melakukan ibadah korban serta ziarah-menziarahi adalah di antara amalan yang boleh kita lakukan semasa menyambut hari raya ini.

Sinonimnya perayaan tersebut dengan diri kita adalah kita sentiasa dikaitkan dengan kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Ketaatan ayah dan juga anak kepada perintah Allah melebihi segala-galanya walaupun si ayah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya hanya melalui mimpi. Jika kita berada pada situasi tersebut, sudah tentu kita hanya mengatakan perintah tersebut sebagai ‘mainan mimpi’ sahaja. Apatah lagi, mimpi tersebut meminta kita untuk menyembelih anak sendiri pula. Mungkin kita tidak tergamak atau berasa berat hati untuk menyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu merupakan anak yang kita sayangi pula. Itulah pertarungan perasaan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. sungguh luar biasa pertarungan tersebut. Namun, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri.

Saya pasti kisah ini seringkali kita baca atau dengari, paling tidak kita akan mendengarnya melalui ceramah-ceramah atau melalui pak khatib yang akan membacakan kisah agung ini melalui khutbah bersempena Hari Raya Aidil Adha. Tinggalnya sahaja adalah pengorbanan yang bagaimanakah yang mampu kita berikan bagi mencapai ketaatan kepada Allah SWT. Mungkin pengorbanan tersebut tidaklah sehebat yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Namun, sifat berkorban demi agama amatlah dituntut lebih-lebih lagi di saat agama kita masih lagi belum didaulatkan pada tempat yang tertinggi. Kita boleh mengorbankan masa kita, fikiran kita, tenaga kita, keluarga kita, harta kita, kedudukan kita, kepentingan kita, perniagaan kita dan pelbagai lagi demi kebaikan Islam serta umat Islam seantero dunia.

Jika tidak sampai ke Palestin pun harta kita dikorbankan, paling tidak kita membantu fakir miskin, anak yatim atau jiran-jiran yang susah di tempat tinggal kita. Tenaga yang ada pula, kita boleh salurkan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan atau membantu membersihkan tandas atau laman masjid, kubur dan seumpamanya. Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan sebenarnya. Paling tidak kita berfikirlah tentang nasib saudara seIslam dengan kita dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Jangan sesekali menjadi manusia yang hanya mengambil berat tentang diri sendiri serta keluarga kita sahaja. Tidak cukup sekadar itu, kita mesti juga mengambil berat tentang orang lain. Jiran-jiran, rakan sepejabat, rakan taulan, kaum kerabat dan waris, masyarakat setempat dan pelbagai peringkat lagi yang boleh kita ambil tahu dan ambil berat. Jika mereka memerlukan bantuan atau khidmat, maka hulurkanlah dengan seadanya. Mudah-mudahan usaha kita itu akan menjadi sebahagian amal soleh di sisi-Nya kelak.

Bersempena musim haji ini juga, saya mendoakan agar para jemaah haji mendapat haji yang mabrur dan diterima Allah kelak. Sesungguhnya peluang bertandang ke Tanah Suci Mekah merupakan nikmat yang cukup besar sekali, bukan hanya setakat menunaikan rukun Islam kelima sahaja, malah ia merupakan peluang untuk kita benar-benar dekat dan hampir dengan Allah SWT. Moga-moga kita akan menjadi manusia yang bertaqwa di sisi-Nya kelak. Itulah sebaik-baik natijah yang kita mahukan dalam melakukan apa jua sahaja ibadat untuk-Nya. Biarlah timbul sifat kehambaan dan tawadduk dengan Tuhan yang menciptakan kita dan alam ini. Jika masih lagi ‘kurang rasa takut’ dengan larangan Allah dan masih lagi ‘leka’ dengan suruhan-Nya, sudah pasti masih ada lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dan dimuhasabah oleh kita.

Akhir kata, selamat berpuasa pada hari ini, 9 Zulhijjah iaitu bersempena dengan Hari Wuquf di Padang Arafah dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1432H buat semua umat Islam serta pembaca blog saya khususnya. Maaf zahir dan batin di atas kesilapan yang dilakukan sama ada saya sedari atau tidak sedari semasa menulis serta menghantar entri di blog ini. Semoga saya mendapat keampunan di sisi-Nya. Doakan saya juga agar cepat-cepat sampai ke Kota Mekah. Sungguh tidak sabar untuk menjadi tetamu di sana.

Tingkatkan pengorbanan setiap masa dan juga keadaan!