Kisah Sebuah Kejayaan

Saturday, January 28, 2012


Berita yang disiarkan melalui Utusan Online bertarikh 28 Januari 2012 tentang kejayaan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan 10 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 membuatkan saya tersenyum sendirian seketika. Senyum tanda gembira. Senyum tanda syukur. Senyum kerana kisah kejayaan anda sudahpun menjadi realiti pada hari ini. Tahniah buat mereka yang berjaya. Yang lebih indah, di antara pelajar-pelajar yang berjaya itu ada yang saya kenali juga.  


Kisah kejayaan ini merupakan di antara kisah-kisah kejayaan mereka yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan yang pernah saya baca dan kaji. Kajian saya bukanlah kajian yang terlalu akademik sifatnya. Ia adalah kajian ringkas untuk memotivasikan diri sendiri. Walaupun saya sudah lama tidak berada di dalam dunia ‘peperiksaan’ akademik, paling tidak ia mampu memberikan motivasi kepada kehidupan saya di dunia ini yang tidak sunyi daripada pelbagai ‘peperiksaan’ lain untuk diuji dan dihadapi. 


Apabila membaca berita kejayaan tersebut, saya amat tertarik dengan faktor kejayaan Muhammad Syarifuddin Mohd. Lotfi yang mengatakan bahawa sahabat karibnya iaitu Muhammad Adam Abdul Azid menjadi faktor utama mengapa beliau mendapat keputusan cemerlang 10 Mumtaz. Sudah tentu ia menjadi lebih manis dan indah untuk dikongsikan kejayaan ini kerana sahabatnya juga mendapat keputusan yang sama dengan beliau. Kebiasaan yang saya baca dan temui ialah faktor ibu bapa atau guru yang selalunya menjadi faktor utama kepada kejayaan seseorang pelajar di dalam peperiksaan. Namun, ia agak berbeza dengan kisah kejayaan yang saya kongsikan melalui tulisan ini. Saya mendapati bahawa faktor ‘sahabat’ telah menjadi kunci kejayaan buat Syarifuddin dan juga Adam dalam peperiksaan STAM 2011.


Amat benar sekali, sahabat yang baik mampu memberikan natijah yang baik juga buat kita. Jika kita tidak mendapat natijah yang baik sekalipun, paling tidak kita mampu merasai juga ‘natijah’ yang baik itu padanya. Ibarat seorang penjual minyak, haruman yang wangi itulah yang menjadi tempias kepada kita yang berdekatan dengannya. Tidak seperti tukang besi, selain busuk baunya, ia boleh memberikan mudarat kepada kita yang berada berdekatan dengannya. 


Sekali lagi, tahniah buat Muhammad Adam Abdul Azid dan Muhammad Syarifuddin Mohd. Lotfi kerana cemerlang dalam peperiksaan STAM 2011. Sesungguhnya, ia adalah kisah sebuah kejayaan anda berdua untuk saya banggakan. Semoga cita-cita untuk menyambung pelajaran ke Asia Barat akan menjadi kenyataan buat diri anda berdua. 

Saya dan Abang Iwan Syahman

Saturday, January 21, 2012



Tarikh 21 Januari 2012 merupakan tarikh yang cukup bermakna buat diri saya. Bermakna kerana saya baru sahaja sehari melangkah dan merasai umur baru. Bermakna kerana Allah masih lagi memberikan nikmat umur yang cukup berharga untuk saya manfaatkan serta syukuri. Selain itu, ia juga bermakna kerana saya dipertemukan dengan Abang Iwan Syahman atau lebih popular dengan gelaran ‘Raja Dangdut’ pada suatu ketika dahulu melalui satu program yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu. Itulah antara makna-makna yang tersimpul melalui tarikh ini. 

Bukan untuk menumpang glamour atau mencari publisiti murahan di sini. Hanya sekadar mencoret apa yang dirasa, difikir serta dikecapi bersama dengan teman-teman sekalian. Ia sebuah coretan biasa daripada insan yang biasa seperti saya ini. Semoga ia mampu membawa kepada kebaikan dan manfaat terutamanya buat diri saya sendiri. Kisah artis berhijrah sepanjang tahun 2011 cukup banyak saya baca melalui tulisan-tulisan di akhbar atau laman internet. Tidak kurang juga ada kisah artis yang mendapat tempat di kaca televisyen walaupun telah berhijrah. Seakan-akan ia merupakan tahun penghijrahan artis boleh saya katakan di sini. Tidak terkecuali juga dengan diri Abang Iwan Syahman. Beliau merupakan di antara artis-artis yang memilih dan telahpun membuat pilihan yang besar untuk berhijrah dari dunia dangdut kepada dunia yang lebih Islami sifatnya.

Kehadiran Abang Iwan ke Kota Bharu adalah bagi memenuhi jemputan penganjur bagi satu program yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan. Saya diberi kesempatan untuk berada pada program tersebut dan sempat mendengar 6 buah lagu yang disampaikan oleh beliau secara ‘live’. Penampilannya cukup sederhana sekali dengan memakai jubah putih ala Punjab. Suaranya pula cukup lunak serta masih lagi mengekalkan lenggok ‘dangdut’nya walaupun telah berhijrah. Pendek kata memang ‘power’ habis suaranya. Cuma, yang jelas berbeza adalah pada mesej lagu yang disampaikan oleh beliau. Mesejnya sekarang lebih berbentuk kepada keinsafan diri, dakwah serta ketuhanan dan amat ketara bezanya jika mahu dibandingkan dengan zaman dangdutnya dahulu. 

Jujur saya katakan, setelah beliau berhijrah, saya hanya pernah mendengar lagu ‘Shalat Dulu’. Itupun kerana kerap dimainkan di stesen radio-radio. Lagu-lagu lain memang tidak pernah saya dengari langsung. Alhamdulillah, semasa program tersebut, saya berkesempatan untuk mendengar lagu-lagu lain daripada Abang Iwan sendiri. Antara lagu yang disampaikan ialah ‘Segalanya Allah’, ‘Fadhilat Selawat’, ‘Semua Allah Punya’ dan ada satu lagu yang amat menyentuh hati saya iaitu ‘Ke Jalan Lurus’. Lirik lagu yang ditulis sendiri oleh beliau membuatkan saya berasa begitu dekat dengan kisah penghijrahan yang telah beliau lakukan. Sungguh menginsafkan apabila didengari, diamati dan dihayati lirik lagu tersebut. Berikut adalah di antara bait-bait yang saya petik pada lirik lagu tersebut :

Aku bersujud hanya untuk merinduiMu
Aku berdoa hanya untuk menyintaiMu
Aku berharap diberikan hidayahMu
Aku bermohon ampunkanlah hambaMu

Oh Tuhanku tunjukkanlah
Jalan lurus yang Kau redhai...

Pasti apa yang disampaikan oleh beliau melalui lagu-lagunya cukup ‘jujur’ kerana ia lahir daripada sebuah kisah penghijrahan yang cukup murni dan suci. Berhijrah ke arah kebaikan. Berhijrah kepada jalan yang lurus serta diredhai oleh Tuhan. Meninggalkan segala keburukan dan meninggalkan jalan yang dimurkai oleh Tuhan. Itulah sebaik-baik hijrah yang perlu kita lakukan pada setiap masa dan ketika. Bagi mereka yang sudah dikurniakan dengan nikmat hidayah, hargailah serta syukurilah. Jangan sesekali kita sia-siakan nikmat yang tidak ternilai harganya ini. Usah pula menyesal jika nikmat ini ditarik balik kerana kita gagal untuk memeliharanya. Sesungguhnya, hidayah itu milik Allah dan berdoalah setiap masa agar kita dikekalkan dengan nikmat taufiq serta hidayah-Nya. 

“Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (surga), dan menunjuki orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus (Islam).”
(Maksud ayat 25, surah Yunus)

Jelingan Mata Pramugari Itu

Tuesday, January 10, 2012


Kisah ini berlaku lewat petang kelmarin ketika saya sedang minum-minum bersama dengan seorang junior saya di universiti pada suatu ketika dahulu. Lokasi kisah ini adalah di sebuah kafe di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu. Kisahnya biasa sahaja, namun ia mampu menjadikan ia luar biasa. Mungkin itulah telahan saya pada peringkat awalnya.

Kisahnya begini…Junior saya ada urusan di Mahkamah Kota Bharu dan mahu pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya. Jadi, saya memilih untuk menghantarnya ke lapangan terbang walaupun beliau agak keberatan pada mulanya. Bukan apa, dia bimbang kalau-kalau menganggu urusan saya di pejabat nanti. Memang kebetulan, hati saya ‘terbuka’ untuk menghantarnya ke lapangan terbang. Jika mahu menunggu teksi, mungkin memakan masa juga fikir saya. “Biarlah saya menghantarnya sahaja!” Itulah kata hati saya. “Mudah-mudahan ia menjadi amal kebaikan saya pada hari ini. Mungkin hari ini saya tolong dia, mungkin esok, dia pula akan tolong saya. Manalah tahu…” Begitulah hati saya terus berkata-kata.

Diringkaskan cerita, ketika kami asyik berborak dalam pelbagai topik, saya perhatikan ada seorang pramugari yang sedang makan ‘burger’ di satu sudut meja yang lain. Mejanya bertentangan dengan meja saya dengan jarak hanya selang satu meja sahaja. Apa yang mengejutkan saya, pramugari itu membuat jelingan tepat ke arah saya. Memang terkejut juga pada mulanya. Cuma saya buat ‘don’t know’ dahulu, kot-kot dia tersilap jeling ke arah saya. Manalah tahu kan?

Ketika berborak, saya cuba-cuba juga untuk menjeling ke arahnya pula, bukan apa, kot-kot dia masih lagi menjeling ke arah saya. Ketika mata mula mengalih pandangan ke arahnya, saya agak terkejut buat kali kedua kerana pramugari itu masih lagi menjeling ke arah saya. “Astaghfirullah…” Itulah yang terdetik dalam hati. “Bimbang kalau-kalau ia membawa kepada niat yang tidak baik…Nauzubillah!” Hati saya masih lagi membisik.  

Saat itu juga saya teringat akan satu peribahasa Melayu, ‘dari mata turun ke hati’, ketika itu jugalah saya teringatkan ayat al-Quran yang menyebut tentang pandangan mata. Maksud pada ayat 19, surah al-Mu’min, Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat (terlarang) dan apa yang disembunyikan oleh hati”, segala-gala nasihat tentang ‘mata’ mula bersarang pada minda saya. Sungguh bahaya jelingan mata si pramugari itu, berkali-kali juga dia menoleh ke arah saya. Sekali-sekala, sempat juga dia melepaskan senyumannya yang manis. Cuma saya buat-buat bodoh sahaja, takut-takut senyumannya itu dilontar kepada orang lain, bukannya kepada saya. Malu dibuatnya nanti..

Sungguh benar ingatan Allah tentang ‘mata’ ini. Kalau iman tak kuat, sudah pasti akan terkena panahan mata si pramugari itu. Kalau iman tak kuat juga, sudah pasti akan ada tindakan susulan diambil selepas itu. Itulah syaitan dan nafsu yang tak putus-putus mengoda kita dengan pelbagai cara agar kita melakukan kejahatan walaupun dengan hanya pandangan mata. Pandangan mata yang mampu membutakan pandangan hati atau iman jika tidak dijaga serta dikawal betul-betul.

Huh…sungguh bahaya jelingan mata pramugari itu. Sedikit-sebanyak ia mampu menggugat iman saya yang nipis ini…Semoga Allah mengampuni dosa ‘jelingan’ saya terhadapnya! 
 

Kasihanilah Anak Itu…

Sunday, January 8, 2012



Anak itu sepatutnya mendapat kasih sayang daripada keluarga, tetapi terpaksa menghadapi ujian kasih sayang yang tidak bertepi ini. Anak itu sepatutnya membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia, namun terpaksa mengharungi detik-detik yang sukar untuk mengenal erti sebuah kebahagiaan daripada ibu bapa mereka sendiri. Begitulah peritnya melihat, mendengar, membaca serta menguruskan anak daripada keluarga yang bercerai.

Mereka tidak tahu apa-apa tentang kehidupan awal. Ada yang masih bayi, ada juga yang masih kanak-kanak dan tidak kurang juga yang sudah meningkat remaja serta dewasa. Cuma fokus saya adalah anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa tentang erti sebuah keluarga bahagia. Mereka lahir ke dunia ini adalah hasil perkongsian hidup ibu bapa mereka yang terdahulu. Bukannya tidak ada jalan cerita tentang kelahiran ke dunia ini. Hidup ini bersebab dan ada jalan ceritanya. Disebabkan oleh pelbagai faktor, maka ibu bapa mereka mengambil keputusan untuk berpisah dan tinggallah anak itu terkontang-kanting untuk diuruskan tanpa adanya kedua ibu bapa di sisi nanti. Tanpa adanya di sisi bermakna tidak sentiasa 24 jam bersama dengan anak seperti keluarga yang tidak bercerai. Saya yakin dan percaya bagi ibu bapa yang bertanggungjawab walaupun mereka telah bercerai, mereka akan menjaga serta memelihara anak tersebut dengan sebaik mungkin demi masa depan anak-anak mereka. Namun, berapa ramaikah yang bersikap sedemikian? 

Saya cukup teruja dengan satu kes di bawah nasihat serta seliaan saya yang anaknya baru sahaja memasuki 8 bulan umurnya, manakala ibu bapa mereka masih dalam proses untuk bercerai di atas sebab-sebab tertentu di mahkamah. Saya melihat sendiri bagaimana perebutan untuk mendapat hak penjagaan anak di antara ibu bapa mereka. Sungguh dahsyat sekali sehinggakan terpaksa melibatkan pihak ketiga untuk campur tangan. Sudah pasti, masing-masing mempunyai ego serta sebab tersendiri untuk mendapatkan hak jagaan anak tersebut. Jika ditanya si ayah, si ayah kata si ibu tidak layak untuk menjaganya dan begitulah sebaliknya jawapan yang diberikan oleh si ibu jika ditanya tentang si ayah pula. Dua-dua tidak mahu mengalah. Saling mahu menegakkan benang yang sudah lamanya basah. 

Dari sehari ke sehari, anak itu tetap membesar dan membesar di pangkuan mereka walaupun dalam keadaan yang cukup huru-hara dan tidak tentu arah. Kadang-kadang anak itu berada di rumah ibu bapa si A dan kadang-kadang pula berada di rumah ibu bapa si B, keadaan sering berpindah-randah. Selaku orang yang tidak berada dalam situasi tersebut secara langsung, beban derita anak tersebut tidaklah kita merasainya sepertimana mereka yang alami. Yang mampu kita katakan, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya!” Malah, ada yang lebih teruk lagi akan mengatakan, “nasib baiklah bukan anak kita atau cucu kita yer!”  

Sesungguhnya mereka tidak mengharapkan apa-apa bantuan daripada kita melainkan sentiasa memberikan kata-kata positif, mendoakan kebaikan serta memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepada keluarga mereka lebih-lebih lagi kepada anak tersebut. Jika memerlukan bantuan kewangan sekalipun, bantulah mereka seadanya. Jika itu tidak menjadi keberatan buat diri kita. Paling tidak, kita mahu juga melihat anak itu bahagia di kejauhan walaupun kita tiada pertalian apa-apapun dengan keluarga mereka, lebih-lebih lagi dengan anak itu. 

Mungkin masalah sebegini tidak berlaku kepada keluarga kita, setidak-tidaknya kita mempunyai sifap empati atau kasihan belas terhadap anak itu. Moga-moga dengan sifat yang lahir dalam hati nurani kita mampu membuatkan hati kita celik serta sedar akan amanah untuk menjaga serta memelihara anak yang ada di hadapan mata kita pada hari ini. Semoga Allah terus membuka mata hati serta kesedaran ke atas diri kita, keluarga kita serta masyarakat kita setiap masa dan ketika. Janganlah sesekali menjadi manusia yang ‘tidak menjaga tepi kain orang’ pada hari ini terutamanya yang seagama dengan kita.

Sekali lagi saya katakan untuk diri saya, “kasihanilah anak itu…”

Entri Pertama 2012

Tuesday, January 3, 2012



Hari ini, sudah tiga hari tahun 2011 berlalu pergi dan ia tidak mungkin akan kembali lagi untuk kita. Sesungguhnya, amat beruntunglah bagi mereka yang berjaya menguruskan tahun 2011 sebagaimana yang dirancang dan sungguh rugi pula bagi mereka yang gagal untuk menguruskan tahun 2011 dengan sebaik mungkin. Gagal bermakna tidak mencapai apa yang dirancang atau gagal untuk merancang sepanjang tahun 2011. Biarlah tahun 2012 berbeza dengan tahun 2011 dan tahun-tahun sebelumnya untuk kita. Apa yang lebih penting ialah mempunyai perancangan yang tersusun serta dilaksanakan setiap perancangan yang dibuat. Tidak cukup hanya mempunyai niat atau azam di hati ataupun perancangan yang hebat di atas kertas, malah ia mampu diterjemah kepada tindakan juga. Itulah yang terbaik yang perlu kita lakukan.  


Saya tidak mahu memfokuskan tentang sambutan tahun baru atau membicarakan tentang persoalan hukum menyambutnya. Juga, saya tidak memfokuskan tentang permasalahan sosial atau budaya berhibur ketika meraikan malam tahun baru ini dengan pelbagai program hiburan, konsert, parti dan bermacam-macam lagi bentuknya jika mahu ditulis satu persatu. Cuma pada kali ini, saya mahu mengajak diri saya dan juga pembaca sekalian untuk membuat sedikit ‘muhasabah’ atau penilaian sepanjang tahun 2011 sebelum kita membuat perancangan baharu untuk tahun 2012. Itulah fokus saya melalui tulisan pada kali ini. Paling tidak kita mengenal kelebihan dan kekurangan diri, mengetahui kekuatan serta kelemahan perancangan kita, mengenalpasti peluang serta halangan yang ada di sekeliling serta banyak lagi perkara yang perlu kita ‘lihat’ sebelum membuat sesuatu perancangan.


Sudah pasti, kita ghairah untuk membuat perancangan-perancangan baharu, mahu mencapai impian besar dalam hidup, mahu bisnes bertambah maju, mahu menjadi orang berjaya dalam bidang yang diceburi, semuanya membuatkan kita begitu ghairah untuk mengejarnya atau begitu ‘passionate’ untuk direalisasikan. Itu tidak salah, malah dituntut oleh agama untuk kita capai. Menjadi senang itu tidak salah, malah amat dituntut oleh agama. Cuma, biarlah kesenangan yang dicari mampu membuatkan kita menjadi tenang dan bahagia. Jika kita senang tetapi hati tidak tenang, tiada gunanya juga. Kerana itulah yang akan membuatkan kehidupan kita mula porak-peranda, bisnes bermasalah, persaudaraan terputus, reputasi terjejas dan akhirnya membuatkan diri lupa pada Allah. Ambillah pengajaran kisah Firaun, Qarun, Hamman dan yang terkini, Hosni Mubarak, Muammar Ghadafi yang begitu hebat dan ‘kaya’ pada pandangan mata kita, tetapi Allah menunjukkan kekuasaannya ke atas manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan. 


Melalui muhasabah, siapapun kita, apapun pangkat dan kedudukan kita, kita tidak boleh lupa tujuan asal penciptaan kita di muka bumi ini iaitu untuk menjadi hamba-Nya yang taat dan patuh dengan segala apa yang disuruh dan meninggalkan atau menjauhi segala apa yang dilarang dalam setiap saat dan ketika. Itulah fokus utama yang perlu dicapai setiap masa sehinggalah ajal menjemput kita. Kita tidak akan berhenti untuk terus beribadah kepada-Nya selagimana kita masih hidup di muka bumi ini. Apabila kita mengenal diri, sudah pasti kita lebih ‘jelas’ dengan apa yang mahu kita lakukan dan capai seiring dengan konsep penghambaan diri kepada Allah. Jika ‘tidak jelas’, kemungkinan kita tersasar dan mampu sesat dalam kehidupan dunia yang penuh pancaroba dan fana ini. Jika diteliti di dalam al-Quran, sudah berapa ramai manusia dan juga kaum yang telah diazab oleh Allah kerana kekufuran mereka.  


Saya yakin dan pasti bahawa dengan mengetahui matlamat besar ini akan membuatkan perancangan kita menjadi semakin ‘jelas’ dan tidak hanya terfokus untuk kesenangan di dunia sahaja, malah mampu membawa bersama untuk kesenangan di akhirat juga. Jika kita berjaya menjadikan apa sahaja amalan dan perbuatan kita serta perancangan kita selari dengan konsep ibadah, nescaya kita bakal memperolehi kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat juga. 

Semoga tahun 2012 menjadi tahun yang lebih baik daripada tahun 2011 dan tahun-tahun sebelumnya. Amin…