Berkorban Perasaan

Wednesday, November 28, 2012



Hari Khamis bersamaan 15 Muharam 1434H (29 November 2012) genaplah tiga hari anak saya ke pra tadika. 

Jadual waktunya sudah berubah. 360 darjah berubah. Biasanya selalu melekat dengan ibu mertua di rumah. Namun, untuk terus melekat dengan mertua sudah pasti mustahil. Hampir sebulan ibu mertua bertemu Kekasih abadi. Mustahil dalam konteks hubungan fizikal. Barangkali hubungan emosi atau perasaan tidak begitu. 

Jika tidak bersama ibu mertua, pasti dengan ibu bapanya tempat anak ini mengadu dan bermain. Walaupun sekali-sekala dibawa ke pejabat, namun keadaan itu terpaksa dikorbankan. Demi masa depannya serta ibu bapanya juga. 

Berkorban perasaan sungguh berat. Allahu rabbi…

Selama tiga hari anak saya ke pra tadika, saya melihat perasaannya begitu bergelora. Saya turut merasai. Ibunya juga turut merasai. Fikir saya, pasti anak kecil itu tidak memahami langsung betapa peritnya berkorban perasaan atau mungkinkah saya sendiri tidak tahu bahawa anak kecil itu juga sudah memahami, cuma tidak mampu memberitahu sepertimana saya lakukan sekarang.

Sebahagian besar waktu, dihabiskan bersama dengan guru-gurunya di pra tadika. Pendek kata, anak kecil itu membesar di tangan orang lain sewaktu ibu bapanya sedang tekun berkerja. Mahu tidak mahu, itulah hakikat yang perlu saya dan isteri tempuhi sejak mendaftarnya di pra tadika. Ia keputusan yang wajar menurut pandangan serta penilaian kami sekeluarga.

Masa anak itu untuk bersama dengan saya sudah terbatas. Hanya selepas sesi pra tadika, baharulah saya boleh bertemu dengannya. Sekali lagi ujian perasaan hadir. Ia menguji keseluruhan emosi. Gembira, sedih, terkilan, semuanya ada. Ujian itu sungguh berat pada saat awalnya, tidak pada akhirnya.

Entri yang ditulis bukanlah  untuk menceritakan kisah anak saya dan juga diri sendiri semata, ia kisah bersama untuk dikongsikan. Hayatilah entri ini pada sudut isinya, bukan pada jalan ceritanya. Ujian anak-anak sering diperkata di dalam al-Quran. Berkali-kali ia disebut dalam pelbagai surah dan ayat. Malah ada ilmuan serta para alim-ulamak berpandangan bahawa ujian daripada anak-anak jauh lebih berat untuk dihadapi berbanding dengan ujian daripada isteri. Emosi serta perasaan pula cepat tersentuh jika ia berkait dengan anak-anak.

Teringat peristiwa kecil yang berlaku pada hari kedua. Ketika saya mahu menghantar anak ke pra tadika, tiba-tiba anak saya menangis di dalam kereta. Pada mulanya beliau kelihatan baik-baik sahaja. Tidak sangka lain jadinya. Berikut saya catatkan kata-kata yang cukup menyentuh hati saya.

“Abah… Abah nak hantar Yid ke mana? Yid nak ikut abah ke pejabat. Yid tak mahu sekolah. Yid nak ikut abah…Yid nak ikut abah…”

Berkali-kali anak saya menjerit ‘Yid nak ikut abah’ sehingga memaksa tiga orang gurunya memujuk. Saat itu saya tidak berkata apa. Hanya Allah sahaja tahu perasaan saya pada ketika itu. 

Sungguh, perasaan itu anugerah Allah yang cukup unik berbanding makhluk lain. Saya tidak mampu menafikan nikmat apabila dapat merasai pelbagai jenis perasaan serta emosi.

Cukuplah maksud ayat 46, Surah Al-Kahfi menjadi ingatan buat diri:-

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

Persoalannya, ketika ‘berkorban perasaan’, adakah kita lakukan kerana-Nya?

Penghujung 1433H

Thursday, November 8, 2012


Hari ini 23 Zulhijjah 1433H. Mengikut kiraan tahun Hijri, lebih kurang seminggu sahaja lagi kita bakal menyambut tahun baru 1434H. Begitulah putaran masa beredar, tahun silih berganti tanpa mempedulikan kita. Putaran masa ini pasti berhenti apabila Yang Maha Kuasa menetapkan supaya berhenti. Sunnatullah tiada siapa yang boleh menghalangnya.

Putaran ini saling berkait dengan kejadian siang dan malam serta putaran bumi pada orbitnya sekali setiap 24 jam. Begitulah masa, hari, bulan dan tahun silih berganti dan bertukar. Padanya ada pengajaran untuk difikirkan bahawa betapa besarnya kekuasaan Allah iaitu Tuhan sekalian makhluk dan alam raya ini.

Benarlah maksud ayat 62, Surah al-Furqaan:-

“Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk orang yang ingin mengambil pelajaran ataupun orang yang ingin bersyukur.”

Maksud ayat di atas sungguh jelas dan terang. Hanya mereka yang mahu mengambil pelajaran dan bersyukur sahaja dapat ‘melihat’ setiap sisi kejadian alam ini. Melihat di sini bererti mahu mengambil pelajaran dan pengajaran. Subhanallah… Tidak ada satupun kejadiaan alam ini tidak membawa sebarang erti bermanfaat.
Apabila berada di penghujung tahun, maka ramailah yang sibuk untuk melakukan azam tahun baru serta perancangan baru. Tidak keterlaluan dikatakan, ramai juga yang sibuk mengumpul ‘kalendar baru’. Rata-ratanya begitu. Jarang sekali yang mahu bermuhasabah atau melakukan ‘post-mortem’ sepanjang tahun ini dilalui. Jika ada, mungkin sedikit sahaja golongan sebegini. 

Muhasabah tidak benar-benar dirasai jika dilakukan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Tidak hadir dari hati. Tidak hadir dari rasa lemah dan sifat kekurangan yang ada pada diri setiap insan. Jika organisasi atau syarikat pula, muhasabah dilakukan tidak lebih daripada untuk melengkapkan aktiviti tahunan. Tidak lebih daripada itu. 

Sesetengah muhasabah yang dilakukan di peringkat organisasi atau syarikat, hanya mempamerkan ‘kisah-kisah kejayaan’ sahaja, ‘kisah-kisah kegagalan’ tidak pula dipamerkan. Dibimbangi akan dikomen atau dikritik orang. Maka, awal-awal lagi muhasabah kegagalan itu tidak diketengahkan. Walhal, melalui kegagalan atau kelemahanlah kita membina langkah untuk memperbaiki perancangan kita. 

Dengan tidak mengenepikan kepentingan muhasabah tentang kejayaan yang boleh meningkatkan motivasi serta estim diri, muhasabah tentang kegagalan jangan sesekali dipinggirkan atau dipandang sepi. Sebenarnya, di sinilah kita membina kejayaan demi kejayaan. Insan berjaya tidak akan jatuh pada lubang yang sama dua kali. Apatah untuk membenarkan ular mematuknya pada lubang yang sama berkali-kali.

Ketika hari masih berbaki dalam tahun 1433H ini, lakukanlah muhasabah. Mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Usah menunggu hari esok untuk melakukan muhasabah. Ketika diri masih berada di penghujung tahun 1433H, ambillah kesempatan masa untuk melakukan muhasabah sebelum tibanya tahun baru 1434H. Padanya ada 1001 manfaat dan kebaikan untuk diraih. 

Pusingan Roda

Monday, November 5, 2012


Hidup ini ibarat roda. Sentiasa berpusing untuk menuju ke destinasi idaman. Apabila tiba di tempat yang dituju, pasti roda tadi turut berhenti sama.

Begitulah kehidupan kita. Ada mula dan akhirnya. Ada destinasi yang mahu dituju. Tidak selama-lamanya berada pada tempat yang sama. Dunia ini adalah di antara destinasi-destinasi yang mahu dituju. Kita telah melalui alam roh dan alam rahim ibu kita selama 9 bulan. Di hadapan kita, masih ada lagi alam kubur dan alam akhirat. Itulah destinasi perjalanan kehidupan seorang insan yang juga merupakan seorang hamba di sisi Penciptanya.

Tidak dijadikan kehidupan ini sia-sia melainkan untuk memperoleh bekal berguna kelak. Dunialah tempat untuk kita bercucuk tanam. Hasilnya dituai di akhirat nanti. Maka pertalian dunia dan akhirat begitu rapat serta cukup sinonim. Saling berkait.

Dunia ini kita tidak boleh pinggirkan, akhirat pula jangan sesekali dilupakan. Destinasi ini amat pasti dan sering disebut-sebut di dalam al-Quran atau sabdaan nabi junjungan kita. Banyak perkataan ‘dunia’ dan ‘akhirat’ disebut sebagai ingatan kepada insan. Konteks sebutannya pula pelbagai. Namun, itu bukanlah persoalan di sini. Cukuplah sebagai ingatan umum agar kita sentiasa berwaspada dan tidak mempersia setiap inci kehidupan ini.

Persoalannya, sejauh mana kita telah memanfaatkan ingatan ini? 

Yang pasti, destinasi dunia ini pasti berlalu pergi. Sudah ramai yang telah meninggalkan kita. Mereka telah pergi menemui Pencipta alam raya ini. 

Putaran roda pasti berhenti apabila telah tiba masanya. Samalah dengan kehidupan ini, ada pengakhirannya. Ada penghujungnya.

Ketika roda masih berpusing, ketika itulah bekalan dikumpulkan. Carilan bekalan berguna dan sebanyak mungkin. Mudah-mudahan, ia memberi kebaikan kepada kita kelak.

Cukuplah maksud ayat 32 Surah Al-An’aam menjadi ingatan bersama pada entri kali ini.

Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?

Bak kata orang pandai-pandai, “Dunia tempat kita berpenat, di akhirat nanti kita berehat.”