Jika Tidak Tahu, Bertanyalah...

Sunday, January 27, 2013

Hari ini dapat berborak dengan peguam senior yang saya hormati kredibiliti serta kepakarannya. Pengalaman serta tunjuk ajar secara tidak langsung amat berharga untuk diri saya.

Ada dua perkara yang saya belajar daripada mereka:-

1) Katakan 'Tidak Tahu'

Jangan segan untuk katakan 'tidak tahu' jika ada persoalan yang tidak mampu kita jawab. Bukan semua perkara kita tahu. Bukan semua undang-undang kita kuasai serta mahir.

Dengan berkata 'tidak tahu', secara tidak langsung kita telah berlaku jujur pada diri sendiri serta orang lain. Nilai diri akan bertambah baik apabila kita berlaku jujur dan tidak memandai untuk mengulas atau menjawab tanpa ilmu pengetahuan.

2) Bertanya

Walaupun berstatus peguam senior, mereka suka bertanya dalam banyak hal walaupun orang yang ditanya itu lebih muda daripadanya.

Pesannya cukup mudah, "dengan bertanyalah kita memperolehi jawapan. Walaupun jawapan itu belum tentu tepat, sekurang-kurangnya kita sudah ada jawapan yang hampir tepat. Selebihnya kita kena rajin membaca, membaca dan membaca."

Allahu Akbar... Dua poin itu amat terkesan pada sanubari saya. Selaku peguam yang cetek ilmu, banyak perkara yang perlu saya pelajari daripada mereka. Sungguh, ilmu itu ada di mana-mana. Malah, sifatnya sungguh luas.

Dengan 'bertanya' sebenarnya kita dapat mengurangkan risiko untuk berkata 'tidak tahu'.

Memuliakan Ibu Bapa

Monday, January 21, 2013

Lebih kurang jam 11.30 pagi, saya ada menulis satu status di laman Facebook berkaitan memuliakan ibu bapa. Status tercatat adalah sepertimana di bawah:-
 
“Mulianya kita di sisi Tuhan kelak banyak bergantung kepada cara kita memuliakan ibu bapa kita sewaktu di dunia.

Allah memuliakan mereka yang memuliakan ibu bapanya sewaktu di dunia. Malah, Allah pasti memuliakan juga mereka yang tidak jemu-jemu mengirimkan doa serta menjadi anak yang soleh atau solehah untuk ibu bapanya yang sudah meninggalkan alam dunia ini. Itulah maksud asal mengapa status itu ditulis.

10 minit sebelum jam 1 tengahari, ibu saya di kampung ada menelefon. Bertanya khabar cucu kesayangan serta sempat meninggalkan persoalan bilakah mahu berjumpa dengannya. Ingatan saya terus kembali mengingati bait-bait status yang ditulis pada awal pagi tadi. Ia cukup menyentak hati serta perasaan. Apakah ia merupakan ‘ujian’ ke atas apa yang ditulis?

Allah...Allah...Allah...

Walaupun pertanyaan itu kelihatan kecil, namun ia cukup besar pada pandangan seorang ibu dan bapa, barangkali. Mulut sentiasa digoda oleh syaitan serta nafsu untuk memberikan alasan itu dan ini. Magnet untuk tidak menunaikan permintaan kecil itu sungguh kuat. Nafsu pula sangat seronok jika kita mengabaikan permintaan baik-baik, apatah lagi permintaan itu datang daripada kedua ibu bapa pula.

Sebab itu, ada ingatan Allah di dalam al-Quran yang menuntut kita tidak menjadi anak derhaka walau hanya dengan berkata ‘Ahh...’  Cara derhaka itu pelbagai. Malah, cara untuk tidak menderhaka juga pelbagai. Jadi, memilih untuk tidak melakukan cara derhaka itu merupakan salah satu cara kita memuliakan ibu bapa sewaktu di dunia ini.  

Walaupun persoalan itu kecil dan ringkas, namun untuk menghurai melalui perkataan atau mencontoh melalui perbuatan tidak semudah yang disangka. Terkadang ia banyak melukakan daripada memuliakan mereka. Terkadang ia banyak menyakitkan daripada menyembuhkan mereka. Ia perlu kepada usaha serta mujahadah yang berterusan.

Teringat satu kata-kata daripada sebuah buku ‘Dari Lubuk Hati Ibu’:- 

“Kalau kau sudah habis belajar dan bekerja, masih ingatkah kau pada ibu lagi? Tidak banyak yang ibu inginkan... Hanya menyapa ibu pun cukuplah.”  

Allahu rabbi...Kata-kata ini memang tepat pada masanya. 

Mohonlah dari-Nya supaya digolongkan di kalangan mereka yang memuliakan kedua ibu bapa kita. Sama ada yang masih hidup ataupun telah pergi buat selama-lamanya, teruskan berdoa.

"Ya Allah, perkuatkan diriku untuk terus memuliakan kedua ibu bapaku sewaktu mereka masih bernafas serta rahamtilah ibu mertuaku yang telah lama pergi mengadap-Mu."


Kisah Burung

Saturday, January 19, 2013

Subhanallah...Maha Suci Allah...
Alam ini dicipta untuk menyedarkan kita banyak perkara. Antaranya ialah untuk menambah rasa iman di dalam hati.

Sewaktu memerhati burung-burung berterbangan yang seronok bersiulan, Allah ilhamkan sesuatu. Sesuatu untuk direnungi, difikir seterusnya diambil pengajaran.

Seawal pagi, burung sudah keluar untuk mencari makanan kepada ahli keluarganya. Terbang ke sana ke mari, dengan satu tujuan. Sungguh sibuk. Tidak terbang tanpa tujuan. Itulah fikiran saya terhadap burung-burung yang dilihat.

Kebetulan ada seekor burung sedang hinggap di dahan. Pada paruhnya ada seekor cacing kecil yang dibawa. Mungkin berhenti menghilangkan penat barangkali. Sebab itulah burung tersebut hinggap seketika sebelum menyambung perjalanan pulang. Ahli keluarganya sudah tidak sabar-sabar untuk menikmati rezeki cacing yang dibawa pulang.

Perjalanan hidup seekor burung ada pengajaran 'iman' untuk dirasai. Mana mungkin Allah menciptakan burung sia-sia? Ia tidak lain hanyalah untuk memberi pengajaran kepada manusia agar rajin berfikir tentang kejadian alam serta makhluk ciptaan-Nya.

 
Di sebalik kisah burung, ada juga kisah iman.

Mencari Keberkatan Masa

Tuesday, January 15, 2013

Masa adalah kehidupan kita.

Seringkali kita berbicara tentang masa. Telinga juga kerap kali terdengar perkataan 'masa' disebut-sebut serta diceramahkan.

Kaitannya cukup banyak. Pembahagian masa pula pelbagai.

Ada masa untuk diri, masa untuk keluarga, masa untuk ibu bapa, masa untuk sahabat-handai, masa untuk masyarakat, masa untuk kerja, masa untuk itu dan ini. Terkadang, terlupa untuk diagihkan masa untuk Allah. Jika diagih, mungkin tidak sebanyak masa-masa untuk perkara yang dinyatakan tadi. Lumrahnya begitu.

Maka, masa itu hanya 24 jam sahaja. Jika mahu diagih atau dibahagi, barangkali tidak cukup. Tidak cukup pada akal serta 'cara kita' mengagih barangkali. Kiraan orang kebanyakan sering 'tidak cukup' dengan masa yang ada di tangan.

Selain itu, masa juga berkait rapat dengan soal 'keberkatan'. Ada orang berjaya melakukan itu dan ini dan ada pula tidak berjaya. Selain faktor pengurusan masa, ada faktor yang lebih besar untuk dilihat serta diteliti, iaitu faktor 'berkat'.

Sesungguhnya berkat masa itu amat dirasai oleh mereka yang memahami 'masa sebenar' di sisi agama. Sesaat, seminit, sejam, sehari atau setahun, ia cukup bermanfaat. 

Lalu, sepanjang tahun silih berganti, hari silih berganti, jam silih berganti, minit silih berganti, saat silih berganti, semuanya ada persoalan untuk ditanya. Apakah masa itu benar-benar memberi manfaat untuk kehidupan kita? Jawapan ada pada diri kita. Sekali-sekala, luangkan masa untuk bertanya pada diri sendiri. Pasti kita ada jawapan hakiki. 

Maksud ayat 16, surah al-Hadiid cukup memberi kesan sewaktu menukilkan entri ringkas ini. Ia ingatan bersama bagi yang mahu mengambil pengajaran serta pelajaran.

"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik."
 
Astaghfirullah...Mohon perlindungan serta dijauhkan sepertimana maksud ayat di atas.

Didoakan kita tergolong di kalangan insan yang mencari keberkatan masa.