Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Wednesday, November 5, 2014

Beberapa bulan lepas, seorang rakan penulis bertanyakan saya sesuatu yang menyebabkan saya sukar tidur lena. Tercari-cari jawapan terhadap persoalan yang pernah beliau lontarkan.

"Kata orang sastera .. Orang sastera kena ada sifat sastera dalam dirinya. Salah satunya ialah membaca buku sastera." Kongsi rakan penulis penuh semangat.

"Contoh buku?"

"Buku tulisan Pak Hamka. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Buku yang baik untuk dihadami."

Belum sempat saya bertanyakan sesuatu, beliau segera menyambung perkongsiannya, "Sesetengah orang melihat buku itu dari sudut fiksyennya. Sebenarnya ia melangkaui fiksyen, ada sudut sastera yang luar biasa dalam karya Pak Hamka."

= = =

Begitulah perkongsian rakan penulis yang masih saya ingat di minda. Memandangkan ia buku yang dinyatakan secara langsung oleh rakan penulis, saya menanam azam untuk mencari karya tersebut.

Cari, baca dan hadam. Buku yang dimaksudkan saya jumpai. Ia merupakan cetakan tahun 1976. Buku kaver biru.

Beberapa kali saya hadam demi mencari nilai 'sastera' itu.

Sehinggakan saya mengguna pakai teknik 'careful reading' terhadap karya tersebut. Setiap pata kata saya tekuni. Setiap bai-bait ayat saya cermati. Setiap lenggok bahasa saya telusuri.

Allah ya Allah .. Sungguh, ia merupakan karya hebat legasi Pak Hamka buat ummah ini. Di sebalik kisah yang dipaparkan, ada 'sesuatu' yang mahu disampaikan oleh beliau.

Moga Allah berkati serta rahmati buat Pak Hamka.