Blog Mati?

Sunday, February 26, 2017

(Sumber gambar : Google)

Apabila merenung dua tahun ke belakang – 2016 dan 2015 – tidak banyak saya berkongsi tulisan di blog. Jumlah tulisan bagi kedua-dua tahun adalah sebanyak 14.

Akur dengan pelbagai sebab, blog belum dinoktahkan oleh saya buat selama-lamanya.

Saya pilih untuk kekalkan kerana tulisan-tulisan yang pernah dikongsikan sebelum ini masih lagi diikuti oleh pembaca maya saban hari.

“Biarlah ia kekal begitu.” Itulah kata hati.

Namun, di sebalik ‘biarlah ia kekal begitu’ pasti ada sisi lain yang menyebabkan ia terjadi sebegitu rupa.

Salah satu sisi ialah kecendurangan saya pada medium Facebook.

Barangkali ia turut menyumbang sedikit sebanyak perkembangan penulisan blog saya.

Hakikat nyata yang perlu dihadapi oleh penulis era teknologi ialah kepelbagaian media sosial yang wujud. Hakikat ini juga tidak terkecuali ke atas diri saya.

Ramai penulis blog atau istilah mudahnya ‘blogger’ yang saya kenali kini sudah beralih medium penulisan. Mereka lebih gemar menulis di Facebook kerana tahap interaktifnya tersangat tinggi. Untuk mengaksesnya jauh lebih mudah ditambah pula dengan pelbagai fungsi (function) yang menarik disediakan oleh pihak FB.

Jika ditanyakan saya soalan, “Blog mati?” – pasti dengan penuh rendah hati saya memberitahu, “Biarlah ia kekal begitu. Mudah-mudahan ada kebaikan serta manfaat tercatat buat penulisnya selagimana ia kekal dan wujud.”

Pun begitu, bagi saya dua-dua punyai kelebihan tersendiri. Blog ada kelebihannya. FB pun ada kelebihannya.

Seboleh-bolehnya, saya mahu memanfaatkan kedua-duanya sekali.

Doa serta sokongan khalayak dapat membantu usaha murni saya ini terus kekal relevan. Insya’ Allah – mudah-mudahan.