Seminar Marketing Power oleh Dr Azizan Osman

Sunday, April 24, 2011


Pada 22 April 2011 lalu, saya berkesempatan mengikuti Seminar Marketing Power yang dianjurkan oleh Jurulatih Kejayaan No.1 di Malaysia iaitu Dr Azizan Osman. Banyak perkongsian yang diperolehi melalui seminar yang hanya memakan masa selama kira-kira 3 jam ini.

Sudah pasti, rahsia kejayaan daripada seseorang 'mahal' harganya jika mahu dibandingkan dengan nilaian wang yang dilaburkan. Ilmu serta pengalaman dalam bidang pemasaran membuatkan saya begitu teruja untuk terus belajar daripadanya nanti, insya' Allah.

Bukan mudah untuk berjumpa dengannya. Hanya mampu melihat secara 'live' melalui pentas tempat beliau menyampaikan seminarnya. Untuk terus berjumpa dengannya, saya harus mengikuti siri-siri seminar yang bakal diadakan selepas daripada ini nanti.

Kata-kata seperti 'Saya Kaya, Saya Berjaya' menjadi kata-kata hikmat yang harus disusuli dengan tindakan pula. Jangan senang dengan berkata-kata sahaja, tetapi tindakannya tiada. Ingatan daripadanya adalah 9/10 bisnes yang wujud adalah gagal membuatkan saya terus bersemangat untuk mempelajari selok-belok dunia bisnes ini agar selari dengan tuntutan agama Islam untuk memperkasa ekonomi ummah.

Terima kasih Dr Azizan di atas perkongsian yang diperolehi melalui Seminar Marketing Power yang diadakan di Perdana Resort baru-baru ini.

Menanam Budi Melalui Insurans Sosial

Saturday, April 16, 2011


Hari ini saya ketemui ilmu baru berkaitan dengan hubungan sosial. Terma yang saya ketemui adalah 'insurans sosial' atau dalam Bahasa Inggerisnya adalah 'social insurance'. Pernah juga saya ketemui istilah 'kontrak sosial'. Semuanya mempunyai makna serta huraiannya yang tersendiri.

Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd kerana istilah yang saya ketemui ini adalah melalui tulisan beliau. 'Insurans sosial' yang dimaksudkan olehnya adalah kita menanam budi walau di mana kita berada. Sungguh mudah untuk difahami insurans ini jika dibandingkan dengan  polisi insurans-insurans yang 'dijual' oleh syarikat-syarikat insurans di luar sana. Cuma dalam tulisan Puan Ainon, beliau ada memberi contoh tersebut bersesuaian dengan bidang bisnes.

Pepatah Melayu juga ada menyebut, "kita berbudi, orang merasa" dan juga kata-kata orang dahulu kala ada juga menyebut, "berbudi kepada tanah, ada hasilnya". Perkataan berbudi sungguh indah pada perkataannya. Orang yang selalu berbudi selalu disebut dengan budiman. Cuma untuk bertemu dengan orang-orang budiman sekarang agak sukar barangkali. Semuanya mengaku berbudi, tetapi mahu ada balasannya. Mahu imbuhannya. Mahu projeknya dipercepat. Mahu urusannya dipermudah. Jika situasi sebegitu kita menamakan mereka berbudi, saya fikir kita tersilap. Jika wujud balasan di antara hubungan tersebut, sudah pasti hubungan tersebut dibina di atas dasar kerja atau untuk berbisnes sahaja.

Saya pernah mendengar pidato daripada Dato' Dr Siddiq Fadzil yang mengatakan bahawa budiman itu adalah orang yang berbudi, malah budinya itu ikhlas dan langsung tidak mengharapkan apa-apa imbuhan. Jika insurans sosial yang disebut oleh Puan Ainon Mohd lebih miripkan kepada konteks bisnes, saya pula melihatnya kepada konteks yang lebih luas lagi, iaitu untuk menyebarkan Islam ke seantero dunia. Cuma untuk memiliki insurans tersebut, sudah pasti saya haruslah memulakan untuk berbudi kepada sesiapa sahaja, dalam apa jua urusan kita dengan tidak memilih aspek-aspek tertentu atau golongan sasaran tertentu sahaja.

Yang menerima budi kita, pasti akan ada tindak balasnya kepada orang yang memberi budi tersebut. Paling kurang kita akan menerima dua patah perkataan yang paling berharga daripada mulut seseorang iaitu 'Terima Kasih' ataupun 'Thank You' ataupun 'Syukran Laka/Laki'. Tidak salah untuk berharap balasan ke atas budi yang kita tanam, tetapi ingatlah, sebenarnya  kita sudah membina sifat 'berharap' atau 'kurangnya ikhlas' ketika kita berbudi.

Jika tidak ada balasan ke atas budi yang telah kita tanam, usahlah kita bersedih atau kecewa. Ingatlah, setiap budi yang kita berikan pada hari ini mempunyai perkiraan pahala daripada Allah kelak. Budi yang pernah kita tanam pada hari ini akan dituai juga pada Hari Akhirat kelak. Bukankah itu yang kita mahukan?

Santapan Minda

Wednesday, April 6, 2011


Inilah santapan minda saya pada bulan April 2011, di samping santapan-santapan lain yang menjadi kewajipan saya seharian. Buku-buku ini menjadi pilihan saya ketika saya menghadiri Pesta Buku Kelantan 2011 yang berlangsung baru-baru ini. Alhamdulillah, saya diberi peluang oleh-Nya untuk membeli buku-buku ini.

Saya suka buku pelbagai genre, tidak tertumpu kepada sesuatu disiplin ilmu sahaja, malah pelbagai. Yang menjadi minat saya adalah buku yang bersifat membina minda dan yang penting sekali adalah mampu membawa keinsafan serta mengagungkan kebesaran Yang Maha Pencipta alam ini.

Apapun, pada pesta buku lepas, saya berjaya mendapatkan buku tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan juga tulisan Puan Ainon. Terfikir juga, jika perut ini mampu diisi dengan makanan rutin setiap hari, mengapa pula tidak kepada minda  kita? Kadang-kadang kita mampu makan serta minum sehingga beratus-ratus ringgit untuk sebulan, tetapi untuk minda kita hanya diisi dengan tulisan-tulisan di akhbar sahaja. Bukan menafikan kepentingan akhbar, tetapi jika dilihat pada sudut undang-undang sekalipun,  akhbar hanyalah sumber ketiga yang boleh dirujuk. Bukannya sumber utama di dalam memutuskan sesuatu kes ataupun hukum. Kini, kita lebih suka merujuk kepada akhbar secara total tanpa membuat bacaan wajib yang lain dalam mensahihkan sesuatu maklumat yang diperolehi.

Selain bacaan wajib, jangan tinggalkan budaya membaca di dalam hidup kita. Biarlah kehidupan kita dilandaskan dengan asas-asas yang kukuh ataupun dalil-dalil yang sahih melalui pembacaan. Semaikanlah budaya membaca agar hidup kita lebih bermakna.

Semoga hujung minggu ini, saya mampu menjamah naskhah-naskhah yang dibeli, insya' Allah...

Di Manakan Ku Cari Ganti (Untukmu Rasulullah)

Tuesday, April 5, 2011


Ya Rasulullah
Ya Habib
Ya Syafi’

Di manakan ku cari ganti
Serupa denganmu
Tak sanggup ku berpisah
Dan berhati patah
Hidup gelisah

Alangkah pedih rasa hati
Selama kau pergi
Tinggal kami sendiri
Tiada berteman di dalam sepi

Ya Rasulullah
Ya Habiballah
Ya Syafi
Ya Rasulullah

Dunia terang menjadi gelita
Cahaya indah mengundang gerhana
Keluhan hati ku menambah derita
Rindukan dikau jauh di mata

Di manakan ku cari ganti
Serupa denganmu
Tak sanggup ku berpisah
Dan berhati patah
Hidup gelisah

Ya Rasulullah
Ya Rasul
Ya Habib
Ya Syafi’
Ya Rasulullah

Dunia terang menjadi gelita
Cahaya indah mengundang gerhana
Keluhan hati ku menambah derita
Rindukan dikau jauh di mata

Di manakan ku cari ganti
Mungkinkah di syurga
Untuk kita berjumpa
Di saat gembira
Selama-lamanya…
Petikan Lirik Nasyid daripada Raihan, Hijjaz, Inteam & Saujana