Saya dan Ujian Kepintaran

Tuesday, May 24, 2011


Hari ini, saya diuji dengan sedikit ujian serta 'masalah' yang diberikan melalui urusan kerja saya di pejabat. Masalah yang didatangkan melalui urusan kerja dan fail-fail yang saya kendalikan membuatkan saya terfikir seketika. Terfikir apakah kesalahan yang telah saya lakukan sehinggakan 'masalah' yang hadir pada hari ini tidak putus-putus hadir. Walaupun tidak kesemuanya, namun hampir kebanyakan urusan saya pada hari ini punyai 'masalah' yang tersendiri.

Mungkin ada orang boleh mengatakan bahawa, "Biasalah kerja, kalau tak ada masalah baik tak payah kerja." Benar juga kenyataan itu, tetapi saya tidak melihatnya dari sudut pengurusan kerja. Akan tetapi, saya melihatnya dari sudut hubungan dengan Allah dalam sesuatu urusan hatta kerja di pejabat sekalipun. Saya mahu setiap tenaga yang dicurah mampu menjadi ibadah serta amal yang soleh, insya' Allah.

Cuma, saya hanya memikirkan jika ada dosa yang dilakukan, saya mahu bersegera beristighfar dan bertaubat. Tidak mahu urusan kerja saya tidak mendapat keberkatan daripada-Nya. Melalui urusan inilah saya mencari rezeki. Bimbang jika urusan ini diselit dengan dosa-dosa, sudah pasti mahu mencari keberkatanNya agak sukar.
 
"Ya Allah, ampunilah dosaku andainya aku melakukan dosa pada-Mu! Sesungguhnya aku adalah insan yang tidak lari daripada dosa dan Engkaulah Maha Pengampun segala dosa-dosa hamba-Mu ini."

Saya percaya pasti ada sebab dan hikmahnya mengapa Allah memberikan 'masalah-masalah' dalam urusan saya di pejabat. Segala masalah, pasti ada penyelesaiannya. Mungkin saya hanya memikirkan bahawa sayalah yang bijak dan pintar dalam melaksanakan sesuatu urusan tanpa mengembalikan doa, tawakkal serta pengharapan kepada-Nya bagi setiap urusan yang dijalankan. Dialah yang menyelesaikan segala urusan.

Saya juga sebahagian daripada ciptaan-Nya dan saya juga tidak mampu untuk menyelesaikan 'masalah' yang diberikan tanpa bantuan-Nya. Itulah yang terlupa barangkali. Memang benar kita berbeza dengan makhluk lain kerana kita diberikan akal untuk berfikir. Barangkali Allah mahu mengingatkan saya tentang bahawa kepintaran yang ada pada manusia amat terbatas, Allahlah yang Maha Pintar dan Bijaksana. 

Saya memuhasabah diri ini dan terjumpa satu ayat al-Quran tentang ujian kepintaran ini. Sungguh syahdu dan insafnya saya apabila Allah telah mengingatkan melalui ayat 49, surah az-Zumar yang bermaksud :

"Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui."

Saya perlu bersabar dan bersabar serta menghadapi 'masalah' tersebut dengan redha serta mengambil sikap positif untuk menyelesaikannya. Semoga saya digolongkan di dalam golongan orang yang sabar sebagaimana firman Allah SWT melalui surah Huud, ayat 11 yang bermaksud :

"...kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh, mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar."


Lupa Untuk Berdakwah Kepada Diri Sendiri

Sunday, May 15, 2011



Hari kelima belas pada bulan Mei 2011, barulah saya mampu mencoret sesuatu di laman Firdaus Shope ini. Semoga coretan ini memberi sedikit kebaikan kepada pembaca yang saya kasihi sekalian. Moga-moga ia mampu memberikan kebaikan hendaknya.

Sekitar bulan Mei 2011, jadual saya agak sibuk sedikit. Sibuk dengan urusan kerja di pejabat dan juga beberapa urusan luar yang perlu saya utamakan terlebih dahulu. Agak terkilan juga kerana pada saat inilah baru saya mampu menulis walaupun jari-jemari agak gelisah untuk mencoret di laman FS ini. Sudah pasti, saya perlu utamakan apa yang lebih utama dan bersifat ‘segera’ terlebih dahulu. 

Bagi saya, tulisan yang dihantar di laman ini merupakan sebahagian dakwah khusus buat diri saya sendiri. Kadang-kadang terasa juga bersalah apabila diri saya tidak mampu berdakwah di kala hati ini teramat memerlukan kata-kata nasihat serta tunjuk ajar. Semoga Allah mempermudah apa yang saya mahukan
.
Jika ditanya, “Siapalah yang mampu berdakwah kepada saya jika diri sendiri tidak memulakan terlebih dahulu?” Inilah persoalan yang sering bermain di fikiran saya setelah saya mengharungi alam kerjaya dan juga alam berumah tangga. Jika di sekolah atau universiti, sudah tentu orang yang menyuruh saya berbuat baik adalah guru-guru serta pensyarah. Tidak kurang juga sahabat-sahabat di sekeliling yang menegur andai saya melakukan kesilapan. Mereka semua mampu berdakwah kepada saya jika saya alpa, lalai dan rendah motivasinya.

Jika sebelum berkahwin pula, ibu bapalah yang sentiasa mengingat saya agar bersolat, menjaga akhlak serta tidak jemu-jemu melarang agar saya tidak melakukan keburukan. Jika mahu diharap kepada diri sendiri, sudah pasti ia memerlukan kekuatan iman yang cukup tinggi untuk terus kekal agar diri saya tidak tewas dengan dugaan di sekeliling dan sentiasa dipimpin di atas jalan kebenaran. Lagipun, diri ini bukanlah saya yang menguasainya secara mutlak. Saya tidak mampu melihat, berkata-kata ataupun melakukan sesuatu andai Allah tidak mengizinkannya. Allah jua yang Maha Berkuasa di atas segala ciptaan makhluknya. 

Sering saya perhatikan, ramai orang yang mampu berdakwah kepada orang lain tetapi gagal pula untuk diri sendiri. Kadang-kadang kita jauh lebih mampu dan senang untuk menasihati dan berdakwah kepada orang lain berbanding untuk diri kita sendiri. Kita mampu menegur orang lain di sekeliling, tetapi jika orang lain menegur kita, kita pula yang tidak mampu menerimanya. 

Benar firman Allah di dalam ayat 44, surah al-Baqarah yang bermaksud :

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Bagi memudahkan kita memahami ayat tersebut. Berikut adalah huraiannya yang diriwayatkan oleh al-Wahidi dan ats-Tsa'labi dari al-Kalbi, dari Abi Shaleh yang bersumber dari Ibnu Abbas :-

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahwa turunnya ayat tersebut di atas (S.2: 44) tentang kaum Yahudi Madinah yang pada waktu itu berkata kepada mantunya, kaum kerabatnya dan saudara sesusunya yang telah masuk agama Islam: "Tetaplah kamu pada agama yang kamu anut (Islam) dan apa-apa yang diperintahkan oleh Muhammad, karena perintahnya benar." Ia menyuruh orang lain berbuat baik, tapi dirinya sendiri tidak mengerjakannya. Ayat ini sebagai peringatan kepada orang yang melakukan perbuatan seperti itu. 

Semoga saya tidak tergolong dalam golongan tersebut dan mampu untuk berdakwah kepada diri sendiri setiap masa. "Ya Allah, Engkau perkuat diriku agar mampu menasihati diri sendiri walaupun aku sering alpa kepadaMu sentiasa. Ya Allah, bantulah diriku."