Gunting Rambut

Thursday, May 31, 2012

Antara urusan saya pada hari ini ialah bergunting rambut. Terasa tidak selesa apabila berambut panjang. Jadi saya pilih pada hari ini untuk bergunting di kedai gunting yang berdekatan.

Ada dua orang pelanggan sudah menunggu dan saya adalah yang ketiga selepas mereka. Saya pilih untuk menunggu dan membaca akhbar yang disediakan. 

Saya perhatikan orang silih berganti memasuki kedai tersebut dan mungkin rezeki hari Khamis buat tukang gunting yang bertugas seorang diri pada hari ini. Kebiasaannya, ada 2 orang tukang gunting yang lain. Kebetulan pada hari ini, masing-masing ada hal. 

Saya masih sabar menunggu. 

Tiba sahaja giliran saya, tukang gunting memberitahu bahawa, “Tok Guru mahu datang bergunting. Bolehkah tunggu selepas Tok Guru selesai bergunting?” Pintanya dengan penuh sopan kerana dia tahu bahawa sekarang adalah giliran saya.

“Tak apa… Saya tunggu!” Saya beritahunya tanpa ada sebarang kekesalan di hati.

Ada seorang pelanggan memberitahu, “Tok Guru tak perlu dah datang ke kedai ni untuk bergunting. Dia kan Menteri Besar (MB). Suruh tukang gunting ke rumahnya terus untuk mengguntingkan rambutnya.”

“Tok Guru lain…” Balas pelanggan di sebelahnya. 

Beberapa minit sahaja selepas itu, Tok Guru pun tiba dan pelanggan yang ada di kedai tersebut mengambil peluang untuk bersalaman dengannnya. Tidak terkecuali juga saya. 

Seusai bersalaman, Tok Guru terus duduk di kerusi yang telah disediakan. Dia sempat menyantuni beberapa soalan ringkas yang diajukan oleh pelanggan yang ada di kedai tersebut walaupun dirinya kelihatan agak kepenatan. Raut wajahnya menggambarkan sebegitu. 

Tidak sangka, rezeki saya pada hari ini adalah dapat bertemu dengan tokoh agama yang dikagumi oleh orang ramai di dalam sebuah kedai gunting yang biasa. Melihat wajah Tok Guru dari sisi yang agak dekat amatlah luar biasa perasaannya bagi saya. 

Ia pasti sukar dilupakan oleh saya.

Pertemuan

Monday, May 28, 2012


Hari ini, saya sempat singgah di Syarikat Muda Osman (SMO). Kedai ini cukup popular di Negeri Kelantan kerana ia merupakan antara syarikat buku terawal di negeri ini. Kedai ini lebih memfokuskan kepada alatulis serta buku-buku untuk pelajar sekolah sahaja. 

Itu dahulu…

Kini, pelbagai genre buku sudah dijual. Fokusnya sudah berbeza. Sasarannya pun sudah pelbagai. Begitulah bisnes berubah mengikut keadaan semasa. Jika tidak, ia kelihatan statik sahaja.

Ketika asyik mencari buku pilihan, saya bertemu dengan seorang sahabat yang sudah lama terpisah. Hampir 7 tahun kami tidak bersua. Kami mengenalinya ketika belajar di universiti. Walaupun saya sudah lama tidak bersua, tetapi saya tetap mengingatinya. 

Hari ini saya dipertemukan di kedau SMO. Ia sesuatu yang sudah ditakdirkan. Biarpun pada awalnya, kaki saya tidak bercadang untuk melangkah ke sini. Barangkali inilah rezeki ‘pertemuan’ yang sudah diaturkan untuk saya. 

Ya Allah…Ia sesuatu nikmat yang tidak terkata dan perlu saya syukuri kerana dapat bertemu dengan sahabat yang pernah belajar bersama pada suatu ketika dahulu walaupun berlainan fakulti. Apatah lagi mampu berborak dan bertukar nombor telefon, ia tentu lebih bermakna.

Beliau ada mengajak untuk minum bersama-sama. Namun, saya menolaknya dengan baik kerana ada temujanji dengan klien di pejabat. Jika tiada temujanji, sudah pasti saya akan menyambungnya sehingga ke meja minum pula. 

“Tut..tut…” Tiba-tiba bunyi nada dering pada telefonnya. Sahabat saya memohon izin untuk membaca mesej yang baharu sahaja diterima olehnya, “Maaf lah, isteri ambo sedang menunggu di dalam kereta. Insha Allah, lain kalilah kita minum-minum!”

Saya memberitahu tanpa ada rasa bersalah kepadanya, ”Tidak mengapa, mungkin lain kali kita boleh minum-minum bersama. Kebetulan, masa pada hari ini agak tidak sesuai, sebab itu kita tidak dapat minum-minum.”

Sungguh, jika Allah mahu pertemukan kita dengan seseorang, bagi-Nya amat mudah. Jika Allah mahu memisahkan kita daripada untuk terus bertemu, bagi-Nya juga amat mudah. Allahu Rabbi…

Chelsea Di Hatiku

Sunday, May 20, 2012

Hari ini hari tanpa undang-undang pejabat buat diri saya. Saya mahu pakai jersey yang dihadiahkan oleh adik saya ketika berpraktikal di Jepun pada hari ini. Baju ini saya tidak pakai sehinggalah saya berkata kepada diri sendiri, "Jika Chelsea menang trofi Liga Juara-Juara, baharulah saya mahu memakainya. Jika tidak menang, ia bakal menjadi hiasan di dalam plastik yang berbalut elok sahaja!" 

Walaupun adik saya peminat tegar Man Utd dan AS Roma, tetapi kami agak terbuka serta rasional apabila bercakap tentang pasukan bola yang diminati. Ia tidak lebih daripada itu. Tidak salah kita meminati sesuatu perkara, tetapi janganlah melampaui batasan dan membuatkan kita menjadi lalai.

Misalnya, kita minat bola sepak. Tetapi sebab terlalu minat, kita sanggup menghabiskan wang untuk membeli perkara-perkara berkaitan dengan pasukan bola sepak yang kita minati. Sedangkan dengan wang yang ada, kita sebenarnya boleh gunakan untuk membeli keperluan yang jauh lebih penting dan berfaedah untuk diri dan keluarga di rumah. 

Yang lebih teruk adalah kita sanggup meninggalkan suruhan Tuhan kerana bola. Ketika perlawanan bola mahu bermula, ketika itulah syaitan mula menggoda agar kita melengah-lengahkan untuk bersolat. Mula-mula kita berlengah-lengah, akhir sekali kita terus tinggalkan. Tidak kurang juga yang sudah tidak meletakkan soal solat di dalam kepala ketika saat pintu stadium mulai dibuka. Yang difikir ialah bersegera untuk memasuki stadium. Yang bersolat, Alhamdulillah. Yang meninggalkannya pula, bagaimana? Tanyalah diri masing-masing.

Tidak salah meminati bola. Ia boleh menjadi perkara pendorong dalam hidup jika kita melihat bola dalam sudut pandang positif dan membina. Mungkin ia mampu menjadi topik perbincangan yang santai dan umum ketika berdepan dengan orang ramai. Jika sebab bola kita mampu bersatu, apalah salahnya untuk meminati bola, bukan?

Namun, ada juga yang bergaduh dan bermasam muka disebabkan oleh bola. Bahkan, sanggup merusuh, merosakkan harta awam dan berbunuhan. Ia amat ditegah sama sekali oleh agama. Apa-apa perkara sekalipun, jika terlalu fanatik dan melampaui batas, maka kesannya amatlah buruk.

Bagi saya, buatlah pertimbangan yang munasabah ketika meminati sesuatu perkara dalam hidup. Jangan terlalu ‘over’ ketika meminati sesuatu kerana ia bakal mengundang mudarat, sama ada mudarat kecil atau mudarat besar. 

Sehinggakan perlawanan akhir Chelsea menentang Bayern secara langsung pun saya tidak tonton kerana saya masih dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dengan menaiki bas. Saya sebenarnya boleh membuat pilihan untuk menontonnya di sekitar Kuala Lumpur, namun ia bukan menjadi keutamaan buat diri saya pada ketika itu. Yang menjadi keutamaan saya ialah untuk bersama dengan keluarga tersayang pada hari Ahad kerana ia merupakan cuti peristiwa yang dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan buat rakyatnya bersempena perlawanan akhir Piala FA.

Bagi saya, meminati bola bukan hanya setakat mengetahui sejarah atau fakta tentang sesebuah pasukan bola sahaja atau mampu menonton perlawanan penuh dan mengulasnya sehebat pengulas sukan bertauliah. Ia bukan begitu. Ia lebih kepada persoalan hidup yang ringkas tapi jelas, iaitu apakah ia mampu membawa kita dekat dengan-Nya? Soalan tersebut sentiasa bermain di fikiran ketika saya masih setia meminati Chelsea. Itulah persoalan yang kadang-kadang saya gagal untuk menjawabnya dengan baik. 

Walaupun Chelsea di hatiku, namun biarlah Allah jauh lebih besar tempatnya di hatiku!

Ibu

Thursday, May 10, 2012


Tema yang dipilih oleh dua stesen TV pada malam ini. Satu di TV1, tajuk dalam Forum Perdana Ehwal Islam, “Wajah Terindah.” Satu lagi di TV9, tajuk rancangan Semanis Kurma, “Air Tangan Ibu.”

Dua-dua siaran saya tonton secara bergilir-gilir. Dua-dua rancangan menyebabkan panelis mengalir air mata. Mungkin topiknya cukup dekat dengan hati. Maka perkongsian juga lahir dari hati. Sudah pasti jatuh ke hati juga. Mudah-mudahan ia jatuh ke hati saya bersama.
 
Ketika ibu masih hidup, nasihat diberi adalah supaya berbaktilah untuk mereka. Jagalah percakapan dan rajin-rajinlah ziarahi mereka jika berdekatan. Jika kita berjauhan dengan ibu, rajin-rajinlah telefon mereka. Tanyalah khabar mereka. Berkongsilah cerita dengan mereka.

Andai ibu sudah tiada, banyakkan berdoa untuknya. Jadilah anak yang soleh atau solehah ketika kita masih hidup di dunia. Pasti roh ibu nyaman dan bahagia di alam sana. 

Melihat siaran di TV9, topik yang dibincangkan adalah lebih kepada penyediaan masakan ibu kepada kita. Walaupun masakan ibu amat mudah dan cukup ‘simple’, namun ia disertai dengan niat yang ikhlas untuk mendidik dan juga untuk melihat orang yang memakan masakannya menjadi insan yang berguna kelak.

Tiada perkataan yang disukai oleh ibu jika kita mengucapkan ucapan ‘terima kasih’ setelah memakan masakan ibu kita. Ia merupakan ucapan yang patut kita lafazkan untuk ibu, bukan hanya untuk makanan yang dimakan, malah segala pengorbanan yang telah dicurahkan untuk kita. 

Ambillah masa untuk merenung ibu dengan penuh kasih-sayang. Ia adalah pahala yang percuma untuk kita. Apatah lagi jika kita mampu menyentuh dan memeluk ibu. Sudah pasti, besar pahalanya untuk kita. 

Tema kedua-dua rancangan yang saya tonton pada malam ini cukup besar ertinya buat kita. Hargailah ibu kita. Sudah pasti tiada kata-kata yang mampu kita ungkapkan bagi menterjemah balasan yang mampu kita berikan untuk ibu kita, melainkan menjadi anak yang tidak durhaka kepadanya! Rasa-rasanya itu sudah cukup untuk membalas jasanya pada hemat saya, iaitu mampu untuk menjadi anak yang soleh atau solehah kepada ibu kita yang masih ada.

Mudah-mudahan, kita adalah orang yang menghargai ibu…

Di Gelanggang Penulis PTS

Monday, May 7, 2012

Di Gelanggan Penulis PTS, saya sempat meluangkan masa untuk mendengar kupasan buku bertajuk ‘Pikat Remaja Dengan Kata-Kata’ hasil tulisan Dr Tengku Asmadi dan juga Tuan Hilmi Isa. Kupasan buku tersebut telah dikendalikan dengan baik oleh moderator yang juga merupakan penulis novel sejarah, Shamsiah Fakeh, iaitu Cik Puan Azzah. 

Tentang Cover Buku

Moderator memulakan persoalan dengan bertanyakan tentang ‘cover’ buku yang dipilih. Soalan mudah dengan jawapan yang mudah juga, “Biasanya Dr memakai jaket atau berkot dalam ‘cover’ buku-buku tulisannya sebelum daripada ini, mengapa untuk buku ‘Pikat Remaja Dengan Kata-Kata’ Dr memilih tidak berkot dan bertali leher?” Tanya moderator penuh semangat.

“Sebenarnya, saya memilih untuk berkemeja dan tidak bertali leher bagi menampakkan ia kelihatan santai dan ia juga bagi memudahkan remaja dekat dengan saya…” Begitulah jawapan Dr Tengku yang sempat saya rakam pada minda saya ketika entri ini ditulis. Bukan sahaja isi buku mahu didekatkan dengan jiwa remaja, malah ‘cover’nya juga sudahpun digambarkan untuk kelihatan remaja juga. Saya sempat perhatikan dari dekat ‘cover’ tersebut, memang ‘santai’ dan ‘sempoi’ habis gaya Dr Tengku Asmadi.

Perkataan ‘Maaf’

Seterusnya, moderator meneruskan dengan soalan lain kepada Dr Tengku iaitu berkenaan dengan pemilihan kata-kata paling baik untuk memikat jiwa remaja.

‘Maaf.” Itulah perkataan yang disebut oleh Dr Tengku sambil mengulasnya dengan panjang lebar tentang perkataan ‘maaf.’ Untuk meminta maaf, ia amat sukar jika perasaan ego terlalu menebal dalam diri. Ibu bapa yang mahu menegur anak remajanya, perlu mengikis perasaan ego terlebih dahulu jika mahu mendidik anak-anak berjaya dan mendengar kata-katanya nanti. Jika perasaan ego sudah menebal, kita susah mahu menerima teguran orang lain ke atas anak kita. Yang kita lihat hanyalah kebaikan anak yang kadang-kadang ‘dilakonkan’ di hadapan mata ibu bapa. Seringkali kita akan lebih percayakan anak-anak kita daripada orang luar. 

Jika anak-anak terbukti telah melakukan sesuatu kesalahan, jangan sesekali terus menghukumnya. Ambillah pendekatan untuk menasihati dengan kata-kata. Pemilihan kata-kata juga perlu bijak ketika menasihat. Jika kita terus menghukumnya, kesan lempang atau pukulan yang diberikan secara ‘percuma’ dibimbangi akan berbekas di hatinya. Yang paling parah, ia akan melahirkan tindakan di luar kawalan di kemudian hari nanti. 

Dua Telinga, Satu Mulut

Ibu bapa yang hebat adalah ibu bapa yang mampu menjadi pendengar yang hebat. Sebab itulah, hikmah dikurniakan dua telinga dan satu mulut kepada kita adalah untuk menunjukkan bahawa proses mendengar itu lebih penting daripada kita banyak bercakap. Orang yang mampu menjadi pendengar yang baik sebenarnya adalah orang yang tinggi sabarnya kerana untuk menahan telinga daripada terus mendengar jauh lebih sukar berbanding dengan menahan mulut daripada terus berhenti daripada membebel dan berkata-kata. 

Bukankah dalam banyak keadaan, kita juga dituntut untuk berdiam diri daripada berkata-kata. Memang benar, ia bergantung kepada situasi dan keadaan juga. Bercakap hanyalah ketika perlu sahaja. Bercakap tidak perlu banyak, tetapi perlulah jelas dan terang. Tidak perlu berbunga-bunga dan bermadah-madah ketika berkata-kata, yang penting mesej sampai. 

Agak-agaknya, anak remaja kita suka yang mana, suka kita banyak mendengar atau banyak bercakap? Sebab itulah, kadang-kadang ada anak remaja lebih suka bercerita di luar rumah berbanding di dalam rumah. Mereka lebih suka mencari kawan-kawan daripada ibu bapanya sendiri untuk bercerita. Jika mahu bercerita kepada ibu bapa, situasi yang diharapkan tidak menjadi kebanyakkan. Yang sering terjadi ialah ibu bapa pula yang banyak ‘bercerita’ daripada menjadi pendengar yang setia.

Kisah Anak Remaja Berumur 14 Tahun

Ketika sesi kupasan buku yang dikendalikan secara santai oleh moderator, pengunjung-pengunjung dibenarkan untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan daripada Dr Tengku walaupun ketika kupasan buku sedang berlangsung. Betapa santainya sesi tersebut dikendalikan. Saya suka dengan cara tersebut. 

Semasa kupasan buku ini berlangsung, saya tertarik dengan kisah seorang remaja berumur 14 tahun yang dikongsikan oleh Dr Tengku. Kisahnya begini. Ia bermula dengan ber’chit-chat’ dengan seorang lelaki yang umurnya sudah melebihi 20 tahun di ruangan ‘chatting’ saluran televisyen berbayar. Perkenalan di situ dipanjangkan sehinggalah remaja perempuan ini bertukar nombor telefon dan perhubungan tersebut berterusan sehingga berkomunikasi pula di alam maya. Dipendekkan cerita, perkenalan di alam maya berpanjangan sehinggalah remaja ini sanggup berjumpa dengan teman lelakinya. Si lelaki pula sudahpun memasang jerat dengan menyediakan lebihan helmet untuk membawa remaja ini ke rumah bujangnya. Disebabkan ‘tiada rasa malu’ lagi, remaja ini sanggup mengikuti teman lelakinya dengan menaiki motosikal. Apa yang mengejutkan, setibanya di pintu rumah, remaja ini telah menjadi ratahan rakus bukan teman lelakinya seorang, tetapi lima rakannya yang lain juga. 

Apabila Benteng Malu Sudah Roboh

 “Jika benteng malu sudah roboh dalam diri kita, maka kita mudah sahaja melakukan maksiat serta kesalahan-kesalahan. Sesungguhnya, ia adalah benteng penting dan terakhir yang ada pada diri kita.”

Kata-kata Dr Tengku saya sokongi dengan kata-kata memukau daripada Nabi Muhammad yang direkodkan oleh Imam at-Tirmizi. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Malu adalah sebahagian daripada iman dan iman adalah di syurga.”

Kisah remaja yang berumur 14 tahun amat berkaitan dengan benteng malu yang telah lama roboh dalam dirinya dan kisahnya diharapkan mampu menjadi menjadi pengajaran buat diri kita juga.

Nasihat buat ibu bapa seperti saya, awasilah anak-anak ketika mereka berinternet dan jadilah ibu bapa yang bijak mengawasi keadaan anak-anakketika di rumah. Biarlah kita mampu menjadi teman setia bagi mendengar cerita anak-anak daripada menjadi tukang bebel sepenuh masa. Ketika anak kita lebih selesa bercerita kepada ‘orang di luar’ berbanding kepada ibu bapanya sendiri, maka, pada ketika itu, air mata bercucuran kekesalan sudah tidak berguna lagi. 

Seusai sesi kupasan buku, saya sempat bersalaman dengan Dr Tengku sambil melontarkan senyuman kepada Cik Puan Moderator sebagai tanda terima kasih kerana berpeluang berkongsi ilmu melalui Gelanggang Penulis PTS ini.