Tazkirah Dr MAZA Di Masjid Mukim Chekok

Monday, June 13, 2011

 

Tanggal 10 Jun 2011, saya berpeluang untuk mengikuti tazkirah yang disampaikan oleh bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr Mohd Asri atau lebih sinonim dengan gelaran Dr MAZA di Masjid Mukim Chekok, Pengkalan Chepa.

Saya sungguh bertuah kerana dipilih untuk bersama-sama di majlis tersebut dan inilah nikmat yang tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata melainkan hanya mampu bersyukur di atas segala kurniaannya. Sewaktu tiba di rumah Allah, hati saya sungguh tidak sabar untuk melihatnya secara lebih dekat. Inilah peluang yang saya ada barangkali. Jika tidak direbut, entah bila pula saya akan bersua dengannya.

Saat yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Kelihatan insan yang saya hormati ilmunya telah melangkah masuk ke rumah Allah. Semua mata ahli jemaah tertumpu padanya. Tidak terkecuali juga saya. Jarak saya dengan tempat beliau duduk untuk berkuliah hanya dibezakan dengan tiga saf sahaja. Alhamdulillah, inilah nikmat yang Allah berikan untuk saya. Nikmat bersua dengannya. Sesungguhnya tazkirah yang diperolehi secara ‘live’ ini amatlah saya hargainya. Sebelum ini, saya hanya mengikutinya melalui tulisan di akhbar dan majalah serta melayari webnya di internet. 

Pandangannya kritis, berautentik dan bernas dalam pelbagai lapangan ilmu. Malah pandangannya juga mampu membuka minda serta mengetuk pintu hati saya. Ia membuatkan saya begitu dekat dengan agama dan terasa indahnya Islam. 

“ Ya, Allah! Semoga Engkau merahmati usaha yang dilakukan oleh Dr MAZA.”

Bukanlah saya taksubkan Dr MAZA, cuma sekadar meminatinya serta menyokong usaha dakwah yang dilakukannya. Kata-kata atau tulisannya ibarat lautan ilmu yang ada pada diri beliau. Sudah pasti ilmu Allah ini cukup luas untuk kita pelajari. Jika dijadikan air laut sebagai tinta sekalipun, sudah pasti ia tidak cukup untuk menulis kalam Allah ini.

Hampir dua jam beliau bertazkirah, maka peluang yang tidak mahu saya lepaskan adalah untuk bersalaman dengannya. Alhamdulillah, saya sempat bersalaman dengannya. Pada awalnya, mahu juga saya panjangkan untuk berbual dengannya tetapi keadaan tidak mengizinkan buat saya. Maka, saya tangguhkan niat saya buat seketika.

Niat saya tidak terhenti di situ sahaja. Melihat situasi semakin reda dan orang ramai semakin kurang, saya membawa buku tulisannya untuk beliau tandatangani. Alhamdulillah, ketika beliau menurunkan tandatangannya pada buku berjudul ‘Bicara Buat Pemimpin Dan Juga Rakyat’, rasa gembira saya tidak mampu digambarkan melalui tulisan ini. 

Betapa besarnya nikmat yang Allah kurniakan kepada saya pada malam itu. Ia sesuatu inspirasi dan motivasi besar buat diri saya untuk terus mencari kebaikan ketika di dunia ini. Sudah pasti, ia merupakan bingkisan kenangan yang terindah buat saya bersama dengan Dr MAZA di Masjid Mukim Chekok. 

Tiada lain yang mampu saya berikan melainkan dengan kata-kata ini :-

“Terima kasih Dr MAZA! Semoga Allah memperkuat serta memperteguh perjuangan Dr dalam menyampaikan risalah Islam ini di bumi Malaysia khususnya. Semoga Allah merahmati Dr.”

Bersegera Untuk Kebaikan

Thursday, June 9, 2011


 

Apabila membaca dan merenung ayat 61, surah al-Mukminun yang bermaksud, 

“mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.”

Saya terasa seakan-akan terpanggil untuk melakukan segala kebaikan. Sungguh banyak kebaikan yang dituntut di dalam Islam. Terlalu banyak sekali. Malah ia pelbagai. 

Sungguh indah ajaran Islam yang sentiasa menyuruh umatnya melakukan kebaikan dan amal soleh. Ibarat kata, nasi sudah terhidang di hadapan mata dan hanya menunggu masa untuk menjamunya sahaja. Begitu juga dengan kebaikan yang ada, ia sudah tersedia di hadapan kita. Hanya menunggu kita melakukan sahaja. 

Hati kita selalu diusik. Selalu diuji untuk tidak melakukannya. Jika tidak dikawal akal, nafsu serta musuh-musuh di sekeliling, pasti kita tertewas di dalam mengejar 1001 jenis kebaikan yang dituntut. Jika tertewas, kebaikan yang terhidang hanya tinggal sebagai kebaikan sahaja. Yang tidak mampu dinikmati oleh kita jika kita tidak melakukannya.

Jika sesuatu kebaikan dibiarkan sahaja, maka ia tidak akan ke mana. Hanya tetap berada di situ. Tidak berganjak sedikitpun. Malah kaku tidak bergerak. Tiada untung walaupun sedikit. Tiada manfaat walaupun sekelumit. Andai kebaikan itu tidak dilakukan.

Ia harus disegerakan. Malah disaran pula untuk berlumba-lumba bagi melakukan kebaikan. Memang tepat sekali ayat ini, disertakan saranan untuk ‘bersegera’ di dalam melakukan kebaikan. Jika diteliti, ayat ini cukup indah maksudnya. Fitrah manusia adalah suka kepada kebaikan tetapi lambat untuk bertindak. Jika kejahatan, fitrahnya kita memang membenci dan hati kita tidak suka, tetapi segera pula untuk melakukannya ketika ‘kejahatan’ terhidang di hadapan mata. Tidak disuruhpun kita mampu melakukannya.

Satu janji yang pasti, jika kita bersegera dan bertindak untuk melakukan kebaikan, kitalah orang yang memperoleh manfaatnya. Sudah pasti ganjaran pahala yang kita tagih bakal menjadi bekal kita di akhirat kelak. Tidak sia-sia ketika kita memilih untuk bersegera di dalam melakukan kebaikan ketika di dunia ini.

Rata-ratanya, kita memang suka bertangguh atau mengambil masa untuk melakukan sesuatu kebaikan. Apabila masa itu tertangguh terlalu lama, akhirnya kita lupa untuk melakukan kebaikan tersebut. Tidak hairanlah ada ayat al-Quran yang menyuruh kita berlumba-lumba di dalam mengerjakan kebaikan. Bukankah berlumba-lumba itu sesuatu tindakan yang mengambarkan kita bersungguh-sungguh dan tidak mahu ditinggalkan?

Oleh itu, ayuh kita sama-sama bersegera di dalam melakukan segala kebaikan yang ada. Rebutlah ketika kita masih diberi kesempatan waktu oleh-Nya. Ia tidak lain, hanya satu peringatan buat diri saya.

Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok

Sunday, June 5, 2011



Hari ini, 6 Jun 2011, saya berjaya menghabiskan sebuah buku tulisan Prof. Muhd Kamil Ibrahim. Bukunya bertajuk ‘Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok’ merupakan sebuah catatan pengalaman seorang insan yang benar-benar mahu berubah ke arah kebaikan dan sentiasa mencari redha Sang Pencipta dalam hidupnya.

Antara banyak-banyak bab dan kisah, saya begitu tersentuh dengan kisah beliau yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari huruf-huruf al-Quran dan mempelajari untuk membacanya ketika usia memasuki 40 tahun. Ketika usia ini, beliau juga berjaya menghabiskan bacaan makna ayat-ayat al-Quran ketika berada di Madinah.

“Ya Allah, semoga Engkau memberkati dan merahmati usaha Prof ini.” 

Ketika membaca bab demi bab, saya sentiasa merenung dan berfikir tentang tulisannya yang begitu ikhlas dan benar-benar lahir dari hati. Menjaga solat malam, membaca al-Quran, berpuasa sunat, menjaga solat lima waktu serta berdoa antara amalan yang saya ketemui dan benar-benar dijaga oleh Prof setelah pulang daripada mengerjakan haji. Sudah pasti ujian serta dugaan di dalam melakukan amal kebaikan pasti ada, lebih-lebih lagi kepada mereka yang benar-benar mahu mencari petunjuk serta keredhaan-Nya dalam hidup ini.

Begitu kerdil sekali jika mahu dibandingkan dengan usaha serta iltizam Prof dalam menjaga amal ibadatnya. Itulah bandingan terhadap diri saya. Pasti memerlukan usaha yang berterusan dan tawakkal bagi setiap urusan yang kita lakukan. Tiada yang lain, hanyalah Dia tempat kita bertawakkal dan berserah. Di samping itu, kisah-kisah Prof memberi motivasi secara tidak langsung kepada saya untuk terus beramal serta cuba berdakwah kepada diri sendiri yang sentiasa leka dengan kehidupan di dunia.

Contoh serta dakwah melalui tingkah laku amat berkesan berbanding dengan kita hebat berkata-kata. Itulah yang menjadi pilihan Prof di dalam dakwahnya. Apa yang dikata, telah dikota olehnya terlebih dahulu agar mesej yang ingin disampaikan olehnya benar-benar diterima oleh golongan sasar. Itulah dakwah bil-hal, melalui tingkah laku kita, kita sebenarnya sudah berdakwah.

Andai masa mengizinkan, saya benar-benar ingin bertemu dengan insan seperti Prof ini. Bila dan di mana, hanya Allah Yang Maha Mengaturnya. Itulah kata hati saya setelah membaca tulisannya di dalam buku ini. Ketika meniti hari esok, saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan bukunya yang terbaru hasil tulisan Prof.

Terima kasih Prof di atas tulisan di dalam buku ini. Ia amat bermakna buat saya.