Mohonlah Pengampunan…

Tuesday, July 24, 2012

Kesan kepada tindakan yang kita lakukan hanya ada dua sahaja, sama ada kita mendapat pahala ataupun dosa. Tidak ada di tengah-tengah atau separuh-separuh. Sifir asasnya adalah begitu.

Jika kita melakukan kebaikan dan amal soleh, pasti mendapat pahala. Jika kita melakukan kejahatan atau kemungkaran pula, pasti mendapat dosa. Soalnya, yang mana kita banyak lakukan saban hari? Sama ada perkara kebaikan ataupun sebaliknya? 

Soalan kelihatan ringkas, tetapi jawapannya mungkin tidak seringkas soalan yang ditanya. Agak saya begitu. Fitrah manusia ialah melakukan kesalahan, kesilapan, kejahatan dan kesemuanya mampu membawa kepada dosa. Apabila yang banyak tercatat itu adalah dosa berbanding pahala, pasti destinasi kita akan ke neraka. Nauzubillah…
 
Bersempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita mengejar dan merebut peluang pengampunan ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sama ada dosa kecil ataupun besar. Sama ada dosa yang kita sedari ataupun tidak sedari. Sama ada dosa melibatkan hubungan kita dengan Allah ataupun sesama manusia. Sebaik-baiknya manusia ialah memohon keampunan di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini.  


Peluang dan ruang untuk bertaubat dan memohon keampunan sentiasa terbuka, lebih-lebih lagi ketika kita masih berada pada bulan Ramadhan ini. Maka, amat rugilah jika kita tidak bersungguh-sungguh merebut peluang yang diberikan ini.

Selain beristighfar atau bertaubat, melalui puasa juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada masa lalu. Berpuasa bukannya sekadar menunaikan rukun Islam yang ketiga atau menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sahaja, melaluinya juga kita sebenarnya berpeluang untuk menghapuskan dosa-dosa yang lalu jika ia dilakukan penuh keikhlasan dan keimanan kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Selain pahala yang diraih, kita bakal mendapat pengampunan ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Begitulah kasih serta sayangnya Allah kepada kita, setiap saat dan ketika di dalam bulan Ramadhan pasti ada ruang untuk diberi pengampunan. Itu baharu dengan berpuasa, lihat pula dengan sabdaan Rasulullah tentang saranan untuk berqiamullail. Natijah yang sama dijanjikan iaitu pengampunan dosa oleh Allah.

“Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Apabila meneliti kembali kedua-dua sabdaan Rasulullah SAW, saya mendapati bahawa ruang pengampunan dosa adalah setiap saat, setiap minit, setiap jam dan setiap hari. Logiknya begini, siang hari kita berpuasa, maka di sana ada ruang pengampunan untuk kita perolehi. Pada malam hari pula, kita berqiam atau mendirikan waktu malam dengan berterawih, berqiamullail, bertadarus atau apa sahaja amal ibadah yang memberi erti kita ‘menghidupkan malam’, maka di sana ada juga ruang pengampunan untuk kita. Allahu Rabbi…Kasih sungguh Allah kepada kita, bukan? 

Yang tinggal hanya, sejauh mana kita merebut peluang tersedia dan terbentang luas sepanjang Ramadhan ini?
Seruan untuk diri sendiri dan juga kalian yang membaca entri ini, “Mohonlah Pengampunan…”

Lantas sebelum menutup entri ini saya terlintas ingatan tegas daripada Rasulullah SAW sewaktu baginda menaiki mimbar di Madinah:-

“Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi)

Semoga Allah mengampuni dosa kita semua sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya!

"Allah...Jagalah Anakku!"

Monday, July 16, 2012

Kisah ini terjadi pada minggu lepas. Ia terjadi ketika saya mahu bersolat Isya’ berjemaah di masjid. Kebetulan pula, anak saya sedang tidur nyenyak di bahagian belakang tempat duduk kereta. Sungguh sukar untuk meninggalkan anak saya keseorangan pada mulanya. Pelbagai perasaan hadir.

Fikir saya pada saat itu terlintas sebegini, “alangkah ruginya jika saya meninggalkan solat Isya’ berjemaah pada saat ini. Lagipun saya sudah berada berhampiran dengan kawasan masjid.” Bisikan syaitan juga amat kuat untuk menidakkan saya untuk berjemaah. Nafsu juga begitu… Apabila diri mula mahu melakukan kebaikan, datanglah pelbagai godaan pula. Ia godaan yang biasa-biasa untuk orang lemah seperti saya. Godaan untuk gagal berjemaah di masjid!

Maka saya perlu buat pilihan segera, sama ada mengejutkan anak saya yang sedang tidur nyenyak atau membiarkan seketika di dalam kereta. Ia pilihan yang mudah, tetapi teramat sukar apabila ia berkait dengan keselamatan anak pula. 

Lantas, saya bulatkan tekad dan terus membuat pilihan yang kedua. Saya tinggalkan anak yang keletihan dan sedang enak dibuai mimpi di dalam kereta. Semasa mahu mengunci pintu kereta, saya berdoa dengan bersungguh-sungguh;

“Ya Allah…Engkau jagalah anak aku seketika. Aku mahu bersolat Isya’ berjemaah di sini. Sesungguhnya Engkau Maha Penjaga ke atas makhluk ciptaan-Mu!”

Sebaik sahaja pintu kereta dikunci, saya terus ke masjid yang jaraknya hanya 50 meter sahaja daripada kawasan parkir kereta. Mata saya masih lagi menoleh ke arah kereta walaupun kaki sudah menjejaki tangga masjid. Sekali lagi saya berdoa ringkas tetapi penuh pengharapan, “Allah…Jagalah Anakku!”
 
Seusai sahaja solat Isya’ dan berdoa, saya terus ke kereta. Semasa berjalan kaki, saya perhatikan ada sebuah kereta kancil yang parkir di hadapan kereta saya, kelihatan beberapa orang penumpang pada bahagian belakang tempat duduk kereta. Maknanya, ada orang lain lagi di sekitar kereta saya. Sungguh lega rasanya.

Malah, yang lebih memeranjatkan lagi ialah ada seorang pengawal keselamatan sedang meronda-ronda berhampiran dengan kereta saya. Ia berlaku di luar kotak fikiran logik saya. Allahu rabbi…Engkau amat mendengar doa hamba-Mu ini. 

Alhamdulillah…Segala-galanya selamat dan anak saya masih lagi nyenyak tidur tatkala saya kembali menghidupkan enjin kereta untuk menyambung perjalanan pulang ke rumah. Sungguh hebat kuasa tawakkal! Patutlah banyak ayat al-Quran menyarankan agar kita menjadi orang-orang yang bertawakkal dalam kehidupan.

Dua Jam Berfutsal

Tuesday, July 10, 2012

Lewat petang semalam, saya sempat berfutsal dengan para belia di pinggiran Bandar Kota Bharu. Lokasi permainan kami adalah di Kota United Futsal. Di dinding gelanggan futsal ini, tergantung dengan gambar-gambar pemain bola sepak Manchaster United. Ia sungguh menjengkelkan jika diperhati lama-lama kerana jiwa saya adalah ‘The Blues.’ Lihat sahaja gambar saya, tidakkah saya memakai jersey The Blues?

Ahh…Itu bukan persoalannya. Itu cerita lain. Noktah! 

Para belia amat sinonim dengan usia muda. Usia yang penuh dengan tenaga dan kudrat jika mahu dibandingkan dengan orang tua. Asasnya begitu. Permainan futsal juga cukup sinonim dengan permainan untuk golongan belia ataupun golongan remaja walaupun ada juga segelintir daripada golongan yang bukan belia turut bermain. Bilangannya tidaklah terlalu banyak.

Sebelum sepak mula pada jam 5.00 petang, saya nasihatkan kepada mereka yang mahu berfutsal supaya bersolat Asar terlebih dahulu. Tempoh kita bermain adalah dua jam pada hari ini. Saya bimbang kita melengah-lengahkan waktu untuk bersolat sahaja. Utamakan yang wajib, barulah yang sunat. Itu sebetulnya!
Terasa sungguh seronok bermain dengan mereka yang jauh lebih muda umurnya daripada saya. Ada yang belasan tahun dan ada juga yang sudah pertengahan umur dua puluh. Rata-rata beza umur di antara lima hingga sepuluh tahun dengan saya. Matematik saya adalah begitu. Tenaga muda mereka cukup pantas, laju dan lambat letih. Maklumlah, saya berfutsal pun bukanlah selalu. Tidak hairanlah cepat pancit dan hanya hebat bersorak di luar gelanggang sahaja setelah bermain untuk seketika.

Lantas saya sungguh terkenang sabdaan nabi yang membawa maksud agar merebut masa muda sebelum datangnya usia tua. Ingatan yang sungguh tajam menusuk kalbu ketika mana ada salah seorang belia bertegur, “dah berhenti bermain bang? Jomlah main lagi…”

Saya beralasan, “rehat sekejap. Kalau main lama-lama, sakit urat cepat terasa nanti. Maklumlah bukannya selalu main futsal abang ni…”

Alasan diberi memang tidak mahu sakit urat yang berpanjangan. Kesannya bukanlah kecil, ia melibatkan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Amat benar pepatah Arab menyebut, “akal yang sihat lahir daripada tubuh badan yang sihat.” Ia perlu dijaga dan dikawal. Terlebih berfutsal takut-takut memudaratkan pula. Ia perlu berada di tengah-tengah. Ia perlu seimbang.

Sekurang-kurangnya masa dua jam saya semalam terisi dengan aktiviti yang bermanfaat, setidak-tidaknya saya dapat merasakan aura orang muda mengalir ke dalam jasad diri sendiri. Biarpun diri sudah semakin tidak muda, namun hakikat yang perlu diterima oleh saya ialah saya masih lagi berada dalam lingkungan umur belia jika menurut takrifan umur belia di Malaysia. 

Allah…Allah…Sungguh bermakna dua jam berfutsal. Ia mengingatkan saya tentang usia muda yang masih berbaki ini.

Sehelai Jersey Sepanyol

Monday, July 9, 2012

Hari Sabtu lepas, saya sekeluarga sempat berkunjung ke Rantau Panjang untuk membeli-belah. Antara barangan di dalam senarai kami ialah toto ‘Tulip’, set periuk bersaiz kecil, jersey bola sepak serta sedikit buah-buahan. Sudah lama kami sekeluarga tidak ke sana. Sejujurnya, saya sendiri baru sahaja ke sana dua minggu lepas bersama sahabat seuniversiti dahulu. Pada kali ini, isteri saya beria-ria mahu ke sana. Apa salahnya jika saya ke sana sekali lagi untuk memenuhi hasrat isteri pula.

Di samping memenuhi hasrat isteri, saya diminta oleh ayah saya untuk membelikan sehelai jersey bola sepak negara Sepanyol untuknya. Permintaan ayah begitu bersungguh-sungguh dan ia bermain di minda saya sepanjang perjalanan ke Rantau Panjang.

“ Tolong belikan jersey negara Spain untuh abah deh! Abah nak yang warna merah! Jersey negara Jerman dah ada…England pun dah ada!”

Setibanya di Rantau Panjang, kelihatan kenderaan begitu banyak sekali. Kelibat manusia juga tidak kurang ramainya. Kebetulan cuti hujung minggu pula. Sudah pasti tempat ini menjadi tumpuan pelancong serta kebanyakkan orang untuk dikunjungi. 

Misi untuk membeli barangan di sini hampir selesai. Yang tinggal hanyalah sehelai jersey yang dikirim oleh ayah sahaja yang belum dibeli. Rata-rata, sudah kehabisan stok dan kekurangan saiz yang dikehendakki. Pada awal pencariannya, ia cukup sukar.

Dipendekkan cerita, hanya sebuah kedai sahaja yang masih lagi mempunyai stok jersey Sepanyol berwarna merah. Alhamdulillah…Mujur ada! Harga jersey tersebut ialah RM27.00. Mahal atau murah, itu bukan soalnya. Yang penting, saya dapat penuhi hasrat serta permintaan ayah terlebih dahulu. Itulah yang paling utama.

Seusai membeli-belah di Rantau Panjang, saya segera mencari masjid untuk bersolat Zohor dan seterusnya mahu mengisi perut dengan mencari kedai makan. Kedua-dua urusan telah dipermudahkan. 

Tiba sahaja di pintu rumah ibu bapa saya, saya menyerahkan plastik yang berisi dengan jersey kepada ayah saya dan berkata, “nasib baik ada…Kebanyakkan kedai sudah kehabisan stok!”

“Berapa harganya?” Ayah saya segera bertanya kepada saya.

“RM27.00.” Balas saya dengan jujur tanpa berselindung.

“Nanti abah bayar. Tunggu sekejap. Nak ambil pitis (duit) dulu…” Ayah terus menyambung kata-katanya.

“Tak apalah… Kira sebagai hadiah untuk abah. Bukannya sokmo (selalu).” Saya tidak mahu ayah membayar harga jersey tersebut. Awal-awal lagi, ketika memandu kereta ke Rantau Panjang saya sudah memasang ‘niat’ untuk membelanjakannya. Biarlah ia menjadi hadiah daripada seorang anak kepada ayahnya.

Biarpun jersey tersebut tidak mahal, tetapi ia sungguh berharga pada dirinya. Begitulah saya menelah. Tambahan pula, jersey tersebut dihadiahkan oleh anak sulungnya pula. Pasti terharu!

Apalah sangat jersey Sepanyol jika mahu dibandingkan dengan pakaian yang dibelikan sewaktu saya kecil sehinggalah dewasa. Saya tidak pernah kekurangan pakaian ketika dibesarkan oleh ayah. Alhamdulillah… Ayah cukup menjaga kebajikan anak-anaknya. Itulah yang saya fikirkan ketika dalam pemanduan ke Rantau Panjang. Nilai pengorbanannya tidak terbalas. 

Kalau setakat RM27.00, ayah saya terlebih mampu untuk membayar kembali kepada saya. Tetapi, itu bukanlah asas pertimbangan saya. Ia lebih kepada mahu memenuhi permintaan ayah. Tiada maknanya hidup jika tidak mampu berbakti terhadap kedua ibu bapa kita yang masih hidup. Mereka mahukan kasih-sayang kita tatkala usia meniti senja. Setidak-tidaknya, biarlah kita mampu menjadi anak yang soleh dan tidak derhaka kepada mereka walaupun ia kelihatan sukar untuk dilakukan. Hakikatnya, kita boleh lakukan. Cuma ia bergantung kepada sejauh mana niat, kesedaran serta kemahuan yang ada pada diri. Jika tidak berjaya juga, berdoalah kepada-Nya. Allahu rabbi…

Ketika beransur pulang ke Kota Bharu, saya bersalaman dengan kedua ibu bapa saya dan ayah saya sempat mengucapkan kata-kata yang sungguh menyentuh perasaan saya, “terima kasih kerana hadiahkan jersey untuk abah!” Kata-kata tersebut lahir dari hatinya. Saya sungguh terasa ketulusan kata-kata ayah itu.

“Sama-sama.” Walaupun jawapan yang saya berikan cukup ringkas, tetapi ia amat berbekas pada lubuk hati kecil saya.

Sudah tentu ia berkaitan dengan sehelai jersey Sepanyol.

Kuliah Maghrib oleh Prof Muhd Kamil

Tuesday, July 3, 2012

Jarak tempat untuk berkuliah hampir 50 kilometer dari Bandar Kota Bharu dan jarak masa pula hampir 45 minit hingga satu jam perjalanan jika mengikut kiraan masa saya memandu kereta.

Segala-galanya untuk ‘bertemu mata’ dan mendengar secara langsung daripada mulut penulis buku ‘Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman’ dan ‘Bersyukur Saat Diuji’, saya gagahi juga untuk tiba di Masjid Bandar Machang tempat di mana Prof akan memberikan kuliah maghribnya.

Sejujurnya, kehadiran Prof ke bumi Kelantan sudah lama saya nantikan. Ditakdirkan di masjid inilah saya bertemu mata buat pertama kalinya. Allahu Akbar… Ia nikmat pertemuan yang tidak dapat digambarkan melalui tulisan ini. Cukuplah saya nyatakan bahawa ia sungguh manis dan indah. Manis dan indah apabila segala-galanya dilakukan kerana Allah. 

Hujan Lebat 

Ketika dalam perjalanan menuju ke Machang, hujan turun dengan lebatnya. Cuaca petang yang gelap dan kadang-kala diiringi dengan kilat membuatkan perjalanan saya semakin mendebarkan. Seolah-olah ujian cuaca yang perlu saya hadapi sebelum tiba di masjid. Hati saya berdoa, 

“Ya Allah… Janganlah disebabkan oleh hujan lebat pada petang ini membuatkan aku gagal ke sana. Semoga Engkau kabulkan niat aku untuk bertemu dengan Prof pada hari ini!”

Cuaca di Bandar Machang agak berbeza dengan perjalanan saya yang diiringi dengan hujan lebat. Cuacanya agak mendung dan hujan baru sahaja mulai turun. Negeri yang sama, daerah yang berbeza, cuma cuaca yang berbeza. Betapa hebatnya aturan dan kekuasaan-Mu Ya Allah…

Setibanya di simpang jalan berhampiran dengan pintu utama perkarangan masjid, saya terlihat kelibat Prof yang berjubah putih sedang turun daripada kereta Mercedes hitamnya. Allahu rabbi… Insan yang mahu saya bertemu sedang berada di hadapan mata sekarang. 

“ Alhamdulillah… Engkau telah kabulkan niat hamba-Mu ini Ya Allah!”

Seusai sahaja bersolat Maghrib, pengerusi majlis telah memperkenalkan serba sedikit latar belakang Prof walaupun ada kesilapan kecil tempat kelahiran Prof yang diumumkan, itu tidak menjadi halangan untuk saya fokus dan mendengar mutiara kata serta perkongsian yang bakal disampaikan oleh Prof nanti. Sejujurnya, saya tidak pernah mendengar ceramah Prof sama ada melalui CD, DVD ataupun di laman Youtube. Inilah kali pertama saya akan mendengar secara langsung suara Prof Muhd Kamil sepanjang saya mengenalinya melalui pembacaan di blog dan melalui koleksi buku tulisannya. Saat yang dinantikan sungguh mengujakan.

Insan Terpilih

Sepanjang Kuliah Maghrib, pelbagai isu yang disentuh dalam konteks pengalaman Prof dan yang paling utama adalah ingatan Prof untuk menjadi ‘insan terpilih’ adalah tidak sukar. Ia perlu kepada usaha yang berterusan. Berdoalah di sepertiga malam, bersolatlah jemaah di masjid dan amalkan puasa sunat. Allahu rabbi… Ingatan yang biasa-biasa untuk orang biasa-biasa juga. Namun, ia cukup sukar diamalkan agar ia menjadi luar biasa seandainya diri sendiri tidak mahu berusaha untuk  tergolong di kalangan ‘insan terpilih’, lebih-lebih lagi ketika kita berada di akhir zaman.

Hampir satu jam setengah Kuliah Maghrib yang disampaikan dengan pelbagai nada suara oleh Prof membuatkan saya sungguh malu dengan diri sendiri. Saya sungguh malu dan sedar dengan pelbagai kelalaian serta dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar. Detik ini sungguh ‘mahal’ pada diri saya. Sebab itulah saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan Prof ketika Prof bercuti dan pulang ke Malaysia. Terfikir juga, jika saat terhidang saya lepaskan serta sia-siakan, maka tiada jaminan yang mampu saya berikan terhadap setiap saat yang terlepas itu akan kembali lagi. Ia teramat mustahil! Apatah lagi untuk berangan-angan untuk bertemu sekali lagi… Mungkin ia menjadi realiti dengan aturan-Nya dan mungkin juga ia menjadi fantasi yang berterusan kita.

 
Tandatangan Prof

Selesai sahaja bersolat jemaah Isya’ dan berdoa, saya segera keluar daripada masjid dan mahu mengambil peluang keemasan untuk memperkenal diri kepada Prof. Sekurang-kurangnya, saya mampu menunjukkan rasa hormat saya kepada Prof. Di samping itu, saya juga mahu Prof turunkan tandatangan pada buku ‘Bersyukur Saat Diuji’ yang saya bawa bersama. Ketika memperkenal diri kepada Prof, saya sempat memberitahunya sesuatu,

“Prof…Saya sudah baca 28 bab dalam buku ini. Ada dua bab sahaja lagi dan insha Allah akan saya baca setelah mendapat tandatangan Prof!”

Prof tidak berkata apa-apa dan hanya tersenyum simpul sahaja. Makna senyuman tersebut hanya Prof sahajalah yang tahu. Setidak-tidaknya, kata-kata yang terpacul keluar daripada mulut saya datangnya dari hati, ia ada makna khusus pada diri sendiri. Allahu rabbi...Kelihatan tangan Prof pula sedang menulis sesuatu di atas buku yang dihulurkan. Sungguh tidak sabar untuk membaca apa yang ditulis oleh Prof terhadap saya.

Pasti, tulisan tangan ini akan kekal sampai bila-bila melainkan ia terkoyak atau dimakan lipas sahaja. Mudah-mudahan ia menjadi doa yang berterusan oleh Prof kepada saya. 

Bergambar 

Sebelum meninggalkan perkarangan Masjid Bandar Machang, saya berkesempatan mengambil gambar kenang-kenangan dengan Prof serta ahli jawatankuasa masjid. Walaupun nampak agak keterlaluan untuk bergambar dengan Prof ketika beliau sedang menjamu selera, saya buat muka tebal sahaja. Maklumlah, dalam waktu terdesaklah katakana. Apa sahaja boleh terjadi.

Apa yang memeranjatkan saya, Prof serta pihak jawatankuasa masjid pula mempelawa untuk menikmati hidangan nasi kerabu bersama mereka. Allah…Allah…Namun, saya tolak pelawaan tersebut dengan baik dengan memberi alasan ‘cover line’,

“Prof, saya sudah makan di rumah tadi…” 

Bergambar secara ringkas dan ia menjadi petanda bahawa pertemuan saya dengan Prof sudahpun menjadi kenyataan. Ia nikmat pertemuan kerana Allah yang saya sendiri rasai apabila kita benar-benar berharap dan mahukan ia menjadi realiti. 

Akhir sekali, saya doakan agar Prof sentiasa dirahmati dan menjadi 'insan terpilih' di sisi Allah. 

Doakan saya juga Prof!