Kereta Rosak

Saturday, February 28, 2015

(sumber : Google)

Ketika berada di persimpangan sebuah lampu isyarat, saya agak pelik kerana kenderaan yang berada di hadapan saya bergerak begitu perlahan. Perlahan sangat-sangat walaupun lampu isyarat sudah lama menghijau.

Beberapa kereta telah membunyikan hon supaya kenderaan yang berada di hadapan mereka itu segera bergerak. Namun, ia tidak banyak berubah.

Tiba sahaja giliran kenderaan saya menghampiri sebuah kereta, saya dapati kereta itu menyalakan lampu signal kecemasan. Rupa-rupanya kereta itu rosak..

Allah ya Allah .. Nasib baik mulut masih bersabar daripada mengeluh atau berkata yang bukan-bukan.

Saya pernah alami situasi yang hampir sama. Kenderaan yang dipandu tiba-tiba rosak di persimpangan lampu isyarat. Malu bukan main kepalang pada saat itu. Tertekan atau stress hanya Allah sahaja yang tahu. Cuma saya teringat pada nasihat seorang guru tatkala kejadian itu menimpa ke atas diri saya,

"Saat ujian atau musibah itu datang, perkara yang utama perlu dilakukan adalah bersabar. Bersabar bukan bermaksud selepas ujian atau musibah itu berlaku, tapi semasa serta saat ujian atau musibah itu sedang berlaku. Itulah maksud sabar yang setepatnya."
Ya. Bersabar saat diuji. Itulah yang mahu disampaikan melalui nasihat guru saya itu.

Saya buntu dan bersabar sambil mendoakan agar ada insan sudi membantu pada waktu itu. Kereta di belakang saya sudah lama membunyikan hon dan saya hanya mampu mengangkat tangan tanda ada masalah berlaku pada kereta yang dinaiki.

Sehinggalah datang tiga orang anak muda yang sedang minum di sebuah kedai makan membantu saya. Mereke bertiga menolak kereta saya hampir 100 meter tanpa mengharapkan apa-apa habuan daripada saya.

Kata salah seorang daripada mereka, "Tak perlu apa-apa upah bang. Kebetulan kami juga mengalami masalah kenderaan yang masih tersadai di tepi jalan."

Terkejut dek penerangan yang diberikan, saya segera bertanya, "Apa masalah kenderaan?"

"Kenderaan kami tenggelam semasa banjir besar yang berlaku tempoh hari. Tak sempat nak diselamatkan. Kereta abang masih lagi bernasib baik," ulas beliau panjang lebar.

"Nasib baik? Maksud adik macam mana tu?"

"Yelah. Masih lagi boleh bergerak walaupun terpaksa kami tolak."


Saya tersenyum kerana beliau bijak berseloroh. Saya faham kiasan beliau itu. Apa-apa pun, tatkala diri ditimpa ujian atau musibah, ingatlah bahawa masih ada lagi insan yang lebih hebat diuji berbanding kita.

Salah seorangnya ialah pemuda yang pernah menolak kereta saya yang rosak beberapa bulan lepas. Peristiwa itu kemas tersemat pada buku pengalaman hidup saya - Insya-Allah.

Berwajah Ceria

Di sebuah kedai kopi di hujung bandar Kota Bharu, sewaktu diri asyik menikmati secawan nescafe O panas, mata terpandang individu yang cukup saya kenali. Beliau segak berpakaian pejabat.

Oh, ya! Kali ini beliau bukannya seorang wakil rakyat seperti cerita yang saya kongsikan pada hari semalam. Kisah tersebut boleh dirujuk pada status Facebook saya bertarikh 28 Februari 2015.

Beliau yang saya kenali merupakan individu yang mengepalai sebuah organisasi yang menguruskan sistem bekalan air bersih di Kelantan. Wajah beliau saya cermati dan cam betul-betul agar tidak tersilap cam pula.

Selepas 10 saat mengambil masa untuk sesi pengecaman, ternyata saya tidak tersilap orang. Saya begitu yakin!

Segera saya lontarkan senyuman yang manis (manis seperti nescafe O yang dipesan) ke arah beliau. Beliau balas senyuman saya dan perlahan-lahan mula mengambil tempat duduk untuk bersarapan pagi.

Hati saya segera berkata, "Alangkah indahnya dunia ini jika insan berwajah ceria dan tidak lokek dengan senyuman. Bukankah memberi senyuman serta berwajah ceria terhadap saudara seagama itu merupakan sebahagian daripada sunnah serta ajaran tinggalan Baginda Muhammad SAW untuk diamalkan oleh umat akhir zaman?"

Tampak mudah, namun saya sendiri juga bukan senang untuk mengamalkan .. Semoga Allah berikan kekuatan pada diri setiap daripada kita untuk mengamalkan 'sunnah' Nabi walau dengan sekecil-kecil sunnah.
 
Insya-Allah, di sisi-Nya kelak ganjaran besar setia menanti kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam mengamalkan setiap sunnah Baginda.