Gerhana Matahari

Wednesday, March 9, 2016


(sumber foto : Google)

"Fenomena gerhana bukan sekadar fenomena alam," ulas seorang pakcik. Ulasannya terhenti seketika apabila rakan baiknya pantas menyampuk, "Maksud kamu?"


"Yelah .. Di sebalik kejadian alam, ada tanda kebesaran Tuhan yang wajib kita amati dan hayati. Jika tidak, sia-sia sahaja!" Jelas pakcik berkain pelikat berwarna hitam.

Disebabkan penjelasan yang diberikan tidak memuaskan hati, rakannya sekali lagi melontarkan soalan, "Sia-sia? Apa maksud kamu sia-sia?"

"Ohh .. Janganlah cepat melatah. Begini maksud saya .." Sambil menguntumkan senyuman manis tanpa paksa.

"Sia-sia apabila fenomena yang berlaku itu tidak memberi kesan walau sedikit dari sudut ketuhanan. Ya .. Secara saintifiknya, ia merupakan fenomena luar biasa dan tidak selalunya berlaku. Tidak salah untuk kita sama-sama melihatnya. Lagipun agama Islam menyarankan agar kita melakukan solat sunat gerhana." Pakcik itu mula berkilas kata.

Pantas rakannya menyambung, "Bab itu aku setuju."

"Apabila fenomena alam tidak dikaitkan dengan kebesaran serta keagungan Tuhan, maka ia akan menjadi sia-sia. Di sebalik kejadian dan fenomena yang berlaku sepatutnya mampu menghadirkan rasa kehambaan serta ketaqwaan dalam diri. Bukankah di sebalik kejadian itu terzahirnya keagungan serta kebesaran Tuhan?"

"Erm .. Erm .." Mulut rakannya mengiakan persoalan yang dilontarkan.

"Benar .. para saintis mengkaji soal 'bagaimana' fenomena itu berlaku secara terperinci. Namun bagaimana pula dengan soal 'siapakah' yang menjadikan fenomena ini? Adakah ia turut diperincikan sebaik mungkin oleh setiap daripada kita? Kaitan persoalan bagaimana dan siapakah semestinya hendaklah seiiring dan tidak boleh dipisahkan." 

"Oo .. Maksud kamu, apabila melihat kejadian gerhana sepatutnya kita semakin mengenali Tuhan?"

"Benar sekali! Mengenali Tuhan melalui fenomena alam adalah tanda seseorang itu beriman." Pakcik itu menutup bicara sambil meninggalkan kawasan kaki lima sebuah surau yang usang.  


0 comments:

Post a Comment