Genap Tiga Tahun

Tuesday, October 11, 2011



Tanggal 11 Oktober 2011 genaplah tiga tahun usia anak kesayangan saya, Farid Zakwan. Alhamdulillah…Allah masih memberi kesempatan dan peluang kepada saya untuk terus melihat beliau membesar di hadapan mata saya dengan penuh kesihatan, kegembiraan, kasih-sayang, perhatian yang penuh oleh kedua ibu bapanya.

Selaku seorang ayah sudah pasti saya mahu yang terbaik buat dirinya. Lebih-lebih lagi beliau merupakan satu-satunya anak saya setakat saat ini. Tidak terlalu ‘merajakan’ anak yang kita ada. Sayang saya dan kasih saya kepadanya haruslah berpada-pada, tidak boleh terlebih dan juga tidak boleh terkurang. Hendaklah sentiasa berada di pertengahan, itulah sebaik-baiknya yang perlu saya lakukan. 

Kebetulan pula, seawal pagi sebelum saya ke pejabat, sempat juga saya menonton siaran Tanyalah Ustaz di TV9 yang bertajuk Usia Muda (Siri 2) yang disampaikan oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz. Beliau memberitahu bahawa pada peringkat usia kanak-kanak, sebagai ibu bapa haruslah mendidik atau dalam bahasa Arabnya, men‘tarbiyah’. Maksudnya ialah kita hendaklah mendidik serta membentuk akhlaknya dengan penuh kasih-sayang. Tidak boleh marah-marah, menengking, memukul dan sebagainya. Selain itu, kita hendaklah ‘menunjukkan’ bagaimana sesuatu perkara itu harus dilakukan. Sebagai contoh adalah jika anak kita menyelerakkan barang-barang permainannya, kita hendaklah menyuruh beliau mengemaskannya dengan cara kita sama-sama berkemas dengannya. Itulah cara yang terbaik pada usia kanak-kanak.

Sudah pasti pada waktu inilah ‘kesabaran’ seorang ayah benar-benar diuji. Bagi yang berkerjaya, jangan pula sesekali melepaskan 100 peratus urusan mendidik anak-anak ini kepada orang lain. Jangan hanya membiarkan pengasuh, bibik, datuk, nenek, adik-beradik atau ipar-duai atau sesiapa sahaja yang menjaga atau mendidiknya.  Ambillah peluang yang diberi oleh Allah ini untuk kita sama-sama mendidiknya. Jangan sesekali memberikan alasan kesibukan kita untuk kita ‘escape’ atau mengelak daripada tanggungjawab mendidik ini. Ia adalah satu amanah dan kemuliaan yang Allah kurniakan buat si ayah. Jika kita melepaskan peluang ini, sudah tentu untuk melentur buluh yang sudah tua dan keras agak sukar. Walaupun masa kita agak terhad, gunakanlah semaksimum mungkin masa bersama anak-anak dan keluarga. Pernah juga saya mendengar pakar kanak-kanak menyarankan agar menggunakan sekurang-kurangnya satu jam sehari bersama keluarga dan jangan sesekali kita pulang ke rumah dengan tidak mengambil kisah urusan di rumah dek kesibukan kerja yang kita ada. 

Apa-apun, semalam saya bersama isteri sempat membawa anak makan ‘chicken chop’ dan menghadiahkan sebuah piano yang agak besar sedikit saiz untuknya. Mungkin inilah hadiah yang terbaik yang saya fikirkan setelah tiba di rumah jam 6.30 petang. Itupun setelah puas berbincang dengan isteri saya apakah hadiah yang paling sesuai untuk diberikan kepadanya. Sampai di rumah sahaja, anak saya terus menyuruh saya membukakan balutan kotak piano yang dibeli. Sah-sah memang tak sabar dah nak bermain piano. Doa-doa saya ialah agar piano yang dihadiahkan tidak rosak dikerjakan olehnya nanti. 

Selamat hari lahir yang ketiga tahun wahai anakku! Walaupun kamu tidak mampu membaca tulisan ayahmu ini lagi, tiba masanya nanti kamu akan membacanya juga. 

2 comments:

ayah hir said...

betul,baru jew lepas dengar kuliah lec yg bertajuk pendidikan anak2x menggunakn kitab karanagn abu nasih ulwan,its true,dont try to love but try to teach them as our next generation,

naQiu said...

suko dgn ayt abe mat last sekali tu "Walaupun kamu tidak mampu membaca tulisan ayahmu ini lagi, tiba masanya nanti kamu akan membacanya juga. "

Post a Comment