1433 Hijriah...Jadilah Insan Yang Bersyukur

Sunday, November 27, 2011



Pertamanya, marilah kita panjatkan segala puji dan kesyukuran kita ke hadrat Allah kerana masih lagi memelihara kita dengan nikmat Islam dan juga iman serta dengan segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Di samping itu, marilah kita zahirkan juga kesyukuran kerana masih lagi diberi kesempatan untuk mengecapi tahun baru, 1433 Hijriah. Andainya kita diberi masa untuk menghitung nikmat yang telah diberikan, nescaya kita tidak akan terhitung banyaknya. 

Sesungguhnya untuk menjadi insan yang bersyukur adalah bukan sesuatu perkara yang senang dan juga bukan sesuatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Tidak hairanlah di dalam al-Quran terutamanya, kita seringkali diingatkan agar sentiasa menjadi insan yang bersyukur dalam segenap aspek kehidupan. Allah SWT tidak pernah jemu-jemu mengingatkan kita agar menjadi insan yang tidak ingkar atau kufur dengan segala nikmat yang diberikan oleh-Nya. Bukankah dengan peringatan yang diberikan oleh Sang Pencipta menggambarkan kepada kita bahawa untuk menjadi insan yang bersyukur bukanlah sesuatu perkara yang senang bukan? Ya, kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah agar usaha kita menjadi lebih senang dan akhirnya mencapai matlamat sebagai insan yang bersyukur di sisi-Nya, mudah-mudahan.

Jika kita merenung kisah-kisah yang dinukilkan di dalam al-Quran, pasti kita akan bertemu dengan banyak kisah manusia serta umat yang tidak bersyukur. Malah yang teruknya ada yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan seperti Firaun pada zaman Nabi Musa a.s. Inilah contoh insan yang benar-benar kufur dan melampaui batas, malah sanggup menentang para Nabi atau Rasul yang mahu mengajaknya supaya menjadi insan yang beriman dan bersyukur. Kisah sebegini walaupun telah berlalu, namun pengajarannya janganlah turut sama berlalu. Bawakan bersama dalam kehidupan seharian kita. Kini, masih ada juga insan yang berani mengaku dirinya sebagai ‘rasul’, malah mencipta ajaran tersendiri yang terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Juga ada insan yang lebih senang hidupnya tanpa agama atau tidak bertuhan. Mahu segala-galanya ‘bebas’ hanya berpandukan kepada akal yang terbatas sifatnya. Sudah tentu anugerah akal jika tidak dipandu dengan agama yang benar, kita akan sesat. Bukankah akal itu Sang Pencipta yang anugerahkan? Mengapa masih lagi kita mengingkari segala suruhan serta larangan-Nya?
  
Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk mempertingkat kefahaman tentang Islam dan elakkan diri agar tidak terpesong dengan ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Jangan sesekali kita merasakan bahawa ilmu kita sudah cukup banyak dan telah sempurna. Usaha untuk sentiasa memperbaiki diri serta menambah ilmu tentang Islam perlu ada dalam diri kita. Jangan hanya sekadar mengejar ilmu keduniaan semata-mata, ilmu tentang agama kita abaikan pula, malah, memandangnya dengan sebelah mata sahaja. Nauzubillah…

Perlu diakui juga, terkadang kita ‘terpesona’ dengan kefahaman yang kita ada tentang Islam. Kita menganggap kita sudah sempurna tanpa mahu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan yang melaut luas sifatnya. Kita lebih nampak tentang kefahaman Islam orang lain salah dan banyak kelompangannya, sedangkan ‘kelompangan’ yang ada pada diri kita, kita sendiri tidak nampak? Usahlah saling menyalahkan di antara satu sama lain apabila wujudnya perbezaan atau percanggahan kefahaman. Carilah titik persamaan. Tanyalah orang yang lebih berilmu tentangnya. Jika ada perbezaan sekalipun, ambillah pendekatan yang berhikmah serta bijaksana dalam menegur atau memperbetul.  

Akhir kata, saya doakan agar kita semua menjadi insan yang sentiasa bersyukur dalam erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya dianugerahkan nikmat mengecapi Tahun Baru 1433 adalah merupakan nikmat yang harus kita syukuri juga. Semoga kesempatan merasai tahun baru ini mampu kita penuhi dengan amalan-amalan yang mampu memberi kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak ada gunanya jika peluang untuk berada pada tahun baru ini kita sia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat dan merugikan.

0 comments:

Post a Comment